Tuesday, July 01, 2008

Isu Anwar: Abim kongsi kebimbangan

Diciplak dari : malaysiakini

Selasa, 01 Julai 2008

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) berkongsi rasa terkejut, sedih dan bimbang dengan rakyat Malaysia berikutan timbulnya isu terbaru yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presidennya, Yusri Mohamad.

"Negara kita telah dan masih merasa perit dan pedih kesan krisis yang berpanjangan dan kompleks, melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Jika kita tidak berhati-hati, isu terbaru ini mungkin mengheret negara ke kancah krisis yang akan membawa akibat buruk kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, Abim berharap semua pihak yang terlibat menangani isu ini, benar-benar mengambil pengajaran dari episod gelap krisis yang lalu, untuk bersiap menanganinya dengan penuh kewaspadaan, teliti dan berhemah.

"Isu terbaru ini merupakan ujian dari Tuhan. Umat Islam diajar oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW agar kembali merujuk kepada Tuhan Rabbul Jalil ketika menghadapi situasi yang berat sebegini.

"Kita dituntut merujuk kembali kepada Tuhan dengan memperbanyakkan istirja', istighfar, solat dan bermunajat kepadanya.

"Kita juga dituntut untuk kembali kepada Tuhan dengan merujuk kepada ajaran-Nya dalam menangani persoalan yang timbul," kata Yusri.

Jangan jadi 'hakim'

Sesuai dengan semangat tersebut, katanya, Abim menganjurkan seluruh Umat Islam di Malaysia segera menumpukan permohonan kehadrat Allah "agar kita semua dikurniakan rahmat, panduan dan kekuatan untuk melalui ujian terbaru ini dengan selamat dan sejahtera".

Abim juga, kataya, mencadangkan agar semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan majlis solat hajat dan munajat untuk maksud ini.

"Seterusnya Abim berharap agar pihak berkuasa, media, pemimpin politik, turut merujuk kepada prinsip keadilan dalam memilih langkah dan tindakan terbaik sepertimana yang dianjurkan dalam Islam.

"Merujuk kepada pengalaman yang telah dilalui dalam krisis yang lepas, adalah wajar jika semua pihak lebih berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil," katanya.

Menurut Yusri lagi, pihak berkuasa harus memastikan setiap prosedur perundangan yang terlibat, dilaksanakan secara adil untuk meredakan kebimbangan di kalangan masyarakat awam.

Pihak terbabit juga, tambahnya, perlu mempertimbangkan faktor keselamatan Anwar sepertimana yang layak diterima olehnya.

"Pihak media juga diingatkan agar mengelak daripada menjadi 'hakim' yang membicarakan kes ini di luar mahkamah dalam setiap laporan serta liputan yang dijalankan.

"Oleh kerana kes ini membabitkan individu dan isu yang boleh membawa kesan dan akibat yang besar, justeru pihak media juga haruslah mengelak membuat laporan yang mengelirukan serta mensensasikan isu ini secara keterlaluan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?