Saturday, July 12, 2008

Perak Berhasrat Wujudkan Bandar Volkswagen Pertama Di Dunia

IPOH, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak bercadang memajukan sebuah bandar bertaraf dunia sempena jenama kenderaan Volkswagen (VW) sebagai satu produk pelancongan yang diminati di seluruh dunia, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata bandar VW yang pertama di dunia itu akan menawarkan kepelbagaian gabungan berkaitan dengan kenderaan buatan Jerman itu.

"Memandangkan pertambahan peminat yang kini menjadi pengumpul kenderaan jenama ini di serata pelosok dunia, adalah tidak mustahil bandar pelancongan ini dilengkapi dengan perkhidmatan membekal alat-ganti dan sebuah galeri pameran jenama itu.

"Mungkin akan ada sebuah bengkel dan makmal bagi peminat untuk mengkaji kehebatan kenderaan VW yang tahan lasak dan usia yang panjang ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Volkswagen Ipoh 2008 di Dataran Ipoh di sini Sabtu.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri mempunyai lokasi sesuai untuk tujuan itu dan bila bandar VW itu boleh diwujudkan, Mohammad Nizar berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan Jawatankuasa Pelancongan negeri dan pihak berkaitan terlebih dahulu.

"Tetapi kita melihat ia mempunyai potensi besar bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini termasuklah dari Jerman. Kita akan wujudkan sebuah kawasan di luar kawasan bandar raya yang serba lengkap dengan hotel dan restoran bagi semua pemilik dan peminat VW berhimpun," katanya.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. rasa2 nye bandar VW ade satu kat jerman.

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?