PERMATANG PAUH: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai dana yang cukup bagi menaja makan dan minum para penyokongnya yang hadir pada setiap ceramahnya.
"Puluhan ribu yang datang tetapi air pun tak ada. Saya tak mampu... Saya juga tidak mempunyai saham atau tanah," kata beliau kepada kira-kira 100 orang di ceramahnya di Kampung Belah Dua di sini malam tadi.
Anwar bertanding semula dalam pilihan raya kecil untuk mengekalkan dalam tangan pembangkang.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999.
Pada setiap ceramahnya, petugas PKR akan melakukan pungutan wang bagi menampung keperluan berkempen pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 26 Ogos ini.
Anwar yang sentiasa dilihat menaiki kereta jenis Mercedes S320 berwarna perang di setiap ceramahnya juga menafikan kenderaan itu adalah miliknya.
"Kereta saya naik itu bukan saya punya. Tapi pak (bapa) saya punya. Saya ni tiada apa-apa pun. Kalau tak percaya boleh tanya Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail- Presiden PKR)," kata beliau dipetik Bernama.
Sementara itu, dalam sesi ceramahnya di Bukit Jelutong di Permatang Pasir dekat sini, Anwar menasihati penyokongnya agar tidak bertindak di luar batasan dan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis.
"Saya ni bukanlah antipolis. Jadi kita buatlah apa yang mereka suruh asal jangan bertentangan dengan apa yang kita mahu. Kita bukan mahu keganasan, kita mahu satu perubahan," katanya kepada kira-kira 5,000 hadirin.
Penyokongnya mula bersorak sambil melaungkan laungan "reformasi" apabila sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlegar di sekitar tapak ceramah.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan sekumpulan yang dipercayai penyokong PKR memukul dan mencederakan dua petugas media yang meliputi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kelmarin sebagai amat memalukan.
Perdana Menteri berkata, perbuatan mereka itu adalah serius dan boleh dibawa kepada pihak berkuasa untuk dikenakan tindakan menurut undang-undang jenayah.
"Ini perbuatan yang salah. Anda cederakan seseorang, menyebabkan cedera parah, ia adalah serius dalam undang-undang jenayah dan sepatutnya orang itu diambil tindakan undang-undang," katanya di sini.
Katanya, perbuatan sedemikian juga tidak menggambarkan amalan demokrasi yang sebenar.
"Kita cakap kita nak amalkan demokrasi, kita nak kebebasan bersuara, kita mahu supaya pilihan raya itu menjadi cara untuk rakyat memilih wakil untuk ke Parlimen atau
Dewan Undangan Negeri. Maka bila jadi amalan demokratik, berkempenlah.
Beliau mengulas kejadian jurugambar Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohd Sairen Mohd Nafis, 26, dan Halim Berbar dari HBL Press News di Perancis diserang sekumpulan lelaki dekat pusat penamaan calon di perkarangan Institut Tuanku Bainun, Mengkuang dekat sini semalam.
-mSTAR Online
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?