Saturday, August 30, 2008

Susupan Pagi

Nak Percaya Tidak Percaya, Tidak Percaya Nak Percaya!

BEGITU terasa sekali susana di Parlimen semalam berbeza dengan hari-hari sebelum ini. Yang jelasnya para pemerhati makin ramai. Perbezaan itu bukan dari jumlahnya tetapi dari segi suasana dan semangat!

Parlimen untuk penggal ke-12 ini benar-benar mendapat perhatian. Parlimen sudah menjadi destinasi penting kepada pemerhati politik. Sebabnya satu saja kerana pembangkang telah menguasai dan menimbulkan kehangatan (perbahasan) dalam Parlimen.

Datang ke Parlimen bukan saja untuk bertemu teman, mendengar celoteh dan spekulasi politik atau mengenakan kueh mueh di kantinnya yang enak dan bersih, tetapi untuk melihat dan menanti perkembangan apakah "motion" yang seterusnya dilakukan oleh pembangkang.

Semalam suasana cerita dan wap kepanasannya makin terasa lagi. Semua kerana kehadiran pertama kali ahli Palimen Permatang Pauh yang baru Sdr Anwar Ibrahim ke dalam dewan untuk mengangkat sumpah menjadi ahli Parlimen selepas menang dengan majoriti besar Selasa lalu.

Kedatangan itu benar-benar merujakan dan mencipta suasana baru. Parlimen menjadi lebih bertenaga dan seakan akan berlaku perubahan drastik! Tetapi mereka yang membenci Penasihat PKR itu tetap mengatakan tidak ada apa-apa perubahan dan tetap menganggap Anwar seorang antogonis!

Nampak semalam mereka yang mendoakan agar beliau tewas dan ingin mengguburkannya di Permatang Pauh terkaget besar dengan kehadiran Anwar. Terkeyeh-kenyeh terkising-kising (macam budak dowm syndrom atau macam kera kena belacan) melihat dan memerhatikan Anwar mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat.

Ya ke Anwar itu... atau si pembacuh kopi yang angkat sumpah tu? Atau pun itu sebenarnya Mohamamd Ezam Mohd Noor atau pun Nalakarupan yang angkat sumpah? Bukan... dia ialah Anwar bin Ibrahim.

Realti itu mengejut dan menyebabkan orang terpaksa menyemak balik fikiran masing-masing. Menjadikan masing-masing berfikir kepada apa yang telah cuba dibungkuskan sebelum ini iaitu mengenai pembentukan kerajaan baru 16 September seperti mana diuar-uarkan oleh pembangkang.

Sebelum ini khasnya sebaik saja sdr Anwar di dakwa di mahkamah atas tuduhan liwat kali kedua, gema dan gempar 16 September itu seakan berlalu begitu saja. Tiba-tiba saja talun gempar itu mengencil dan seakan hilang dari arus pendengaran umum. Semangat yang begitu tinggi dan kuat untuk melihat perubahan juga tetiba menggendur.

Lalu mereka yang bimbang dengan 16 September boleh tersenyum semula dengan perkembangan itu. Mereka mengira kes liwat dan pendakwaan itu akan mematikan langkah Anwar dan 16 September tinggal sebagai angan-angan saja. Bagaimana pun kemenangan besar Anwar di pilihan raya kecil Permatang Pauh kelmarin bagaikan taufan mengubah semula suasana dan suhu perubahan naik kembali. Ingatan dan persoalan umum pada 16 September timbul semula.

Seorang Menteri (biar saya tidak menyebut namanya); sebaik selesai Anwar angkat sumpah semalam menarik tangan saya pergi ke satu sudut khusus untuk bertanya fasal Anwar. Kenapa?
"Macam mana Pak Sheikh, you fikir boleh ke dia ambil alih kerajaan 16 September ini?" tanya menteri itu pandir dengan wajah yang agak cemas. Mula saya ingat dia hanya main-main saja. "Kenapa?" tanya saya.

"Kalau jadi sungguh mampuslah kita (BN)!" ujarnya.

"Agak-agaknya boleh ke (ambil kerajaan)," acahnya lagi. Nampak diwajahnya begitu bimbang dengan apa yang berlaku. Dia juga seakan hilang keyakinan yang dipercayainya sendiri.

"Tak boleh kok?" saya mahu mengujinya. "Mana boleh berlaku lompat parti, semua sokong Pak Lah dan Najib?" balas saya sambil merenung tepat ke mukanya.

"Jangan, Anwar pandai bab ni, cuba you siasat. I dengar jadi apa yang Anwar nak buat ni!" katanya penuh mengharap sambil mengelapkan dahinya dengan sapu tangan merah jambu. Menteri itu kemudian berlalu. Saya nampak dia ni cemas dan tercari-cari jawaban di sebalik persoalan yang dia sendiri timbulkan itu.

Begitu juga semasa berdiri dan berbual-bual dengan seorang teman berhampiran cafeteria ahli Parlimen, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanya hal yang sama. Kalau dulu bukan main lagi menteri ini menafi dan menganggap cerita 16 September sebagai karut dan cerita Mat Jenin, kini dia nampak serius. Persepsinya mengenai alunan 16 September ini sudah berubah.

Semacam dia mempunyai maklumat detail mengenai perubahan kerajaan 16 September. "Saya dengar dua menteri Kabinet akan bersama Anwar, you dapat trace ke?" katanya sedikit mngejutkan saya. "Ai kalau sampai menteri ini kes teruk!" kata saya selamba sambil memetakan wajah-wajah menteri disebutkan itu.

"Betul.... itu yang saya dapat tahu, cuba you check, katanya bersungguh. "Apa nak check kalau betul eloklah Datuk juga akan ikut sama...lagi bagus," balas saya kepadanya. Dia hanya terdiam dan tidak terkata apa-apa. Dia lantas menarik tangan saya dan menggenggam kemas.

Dua peristiwa itu menunjukkan bahawa kisah 16 Sepetember menyenak dalam kepala ahli MP BN. Mereka resah dan gelisah dengan angan-angan Anwar itu. Jadi serah salah samada hendak percaya atau tidak.

Pertanyaan dan suasana mengenai 16 September begitu ketara sekali semalam. Secara diam-diam semua orang membicarakan itu. Ini semua gara-gara kehadiran Anwar. Terasa sekali susana dalam dewan sebaik Anwar masuk seolah ia memberi sinar dan merubah roh dewan. Aura yang ada kepada Anwar menyebabkan dewan itu seolah-olah dipenuhi suara rakyat dan rakyat sedang menguasainya.

Tidak hairanlah kalau persoalan 16 September itu menjadi topik hangat. Menjadi bahan renungan, kajian dan tilikan semua pihak. Di pihak BN mereka pantang mendengar bunyi dan rentak ia menyebabkan jantung mereka akan berdebar takut-takut perubahan itu berlaku.

Suasana kelam kabut di pihak BN ini juga semakin menjadi-jadi. Kenyataan bersama 20 ahli MP Sabah dan Sarawak semalam menjelaskan keadaan itu. Mereka juga dikatakan akan membuat akujanji sebagai menyokong kerajaan yang ada kini.

Persoalannya untuk apa kenyatan dan akujanji itu kalau ia tidak ada apa-apa? Kenapa perlu kepada komtimen itu, ia boleh dibiarkan begitu saja kalau desas desus itu palsu! Tetapi mungkin perkembangan kini cukup mencemaskan maka akujanji dan kenyataan sokongan itu dibuat. Persoalannya pula bolehkah akujanji dipercayai sedang sumpah menggunakan nama Allah pun diragui dan ditolak?

Dalam suasana; nak percaya tetapi tidak percaya, tidak percaya tetapi percaya ini sebenarnya menjadikan dunia politik kita segar dan sering diingati. Kesegaran dan susana inilah juga meunjukkan kesegaran dan kepintaran Anwar sebagai seorang ahli politik yang mampu mengocakkan suasana politik negara ini. Kegemparan itu juga setidak-tidaknya menjadikan rakyat Malaysia mempunyai harapan ke arah itu!

-MSO

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?