PULAU PINANG, 23 Sept (Bernama) -- Isteri bekas anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun mati dipercayai ditikam di perkarangan rumahnya di Taman Tambun Indah, Simpang Ampat dekat sini malam tadi.
Thor Joo Lee, 44, yang ditikam di dada dan perut meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Loh Guan Lye di sini pada pukul 12.15 pagi ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kejadian dilapor berlaku di perkarangan rumah mangsa pada pukul 11.40 malam ketika Thor baru pulang dari stesen minyak miliknya di Simpang Ampat.
"Daripada maklumat awal, mangsa dikatakan diekori empat lelaki yang menunggang dua motosikal. Seorang daripada mereka dipercayai memasuki perkarangan rumah itu lalu menyerang dan menikam mangsa dengan senjata tajam," katanya kepada pemberita di Hospital Loh Guan Lye di sini awal pagi ini.
Beliau berkata suami mangsa, Lai Chew Hock yang berada di tingkat atas rumah itu terdengar bunyi hon kereta serta jeritan isterinya menyebabkan beliau ke balkoni rumah dan hanya sempat melihat seorang lelaki sedang duduk di atas sebuah motosikal.
"Lai menjerit ke arah lelaki itu sebelum turun dan sebaik tiba di perkarangan rumah, lelaki bermotosikal berkenaan telah melarikan diri dan Lai mendapati isterinya terbaring berlumuran darah, tidak sedarkan diri sambil memegang pintu pagar rumah," katanya.
Ayub berkata Lai kemudian membawa isterinya ke Hospital Loh Guan Lye di bahagian pulau untuk mendapatkan rawatan, tetapi mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat ketika dihubungi berkata siasatan di tempat kejadian masih dijalankan oleh Unit Forensik dan anjing pengesan.
Polis juga sedang menyiasat motif kejadian dan melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak milik wanita itu, katanya.
Beliau berkata bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dilakukan di Hospital Pulau Pinang pada kira-kira pukul 10 pagi ini.
Sementara itu Lai yang kelihatan terkejut dan sugul dengan kejadian itu, menawarkan ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga pembunuh isterinya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?