Tuesday, September 30, 2008

Mati ditendang keluar bas

SANDAKAN 29 Sept. – Seorang pelajar sebuah sekolah di sini terbunuh apabila ditendang keluar dari sebuah bas yang sedang bergerak selepas disamun dalam kejadian di Jalan Utara di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, mangsa, Mohd. Ali Hussin Hanapiah, 15, dikatakan bersama seorang rakannya berusia 17 tahun dalam perjalanan ke bandar Sandakan untuk membeli-belah sempena Aidilfitri.

Bagaimanapun semasa bas yang dinaiki tiba di Jambatan Merah, Batu 1, Jalan Utara, seorang lelaki yang juga menaiki bas yang sama, mengugut dengan meminta wang daripada mereka berdua.

Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Fadzhil Mohd. Ali berkata, dalam kejadian itu, mangsa menyerahkan wangnya sebanyak RM70, tetapi rakannya cuma menyerahkan RM1.

“Mungkin marah dengan tindakan itu, lelaki berkenaan mengambil pemutar skru yang ditemui di dalam bas itu dan mengugut pemandu bas tersebut meneruskan perjalanan sambil memaksa mereka berdua terjun dari bas berkenaan.

“Rakan mangsa cuba melawan tetapi kedua-dua mereka ditendang keluar dari bas menyebabkan mangsa dan rakannya terjatuh.

“Mohd. Ali mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai membantu mengejarkan mangsa ke Hospital Duchess of Kent tetapi Mohd. Ali meninggal dunia selepas kira-kira satu jam dirawat di Unit Rawatan Kecemasan hospital tersebut.

Tambah beliau, polis yang bertindak selepas menerima laporan mengenai kejadian berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau seterusnya meminta para penumpang bas berkenaan supaya tampil memberikan kerjasama bagi membantu polis menyelesaikan kes tersebut.

-Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?