Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk kembali semula ke dalam Umno setelah dipujuk oleh beberapa pihak yang mahukan beliau kembali membantu memperkukuhkan Umno.
Beliau berkata hasrat itu juga disuarakan setelah bapanya menyedari dan mengambil kira pandangan banyak pihak yang menyatakan bahawa khidmat beliau sangat diperlukan dan untuk tujuan itu beliau perlu berada di dalam dan bukan di luar Umno.
Sehubungan itu, katanya, keputusan untuk kembali semula Umno diputuskan oleh bapanya sendiri dan akan menyerahkan borang dalam masa terdekat.
Mukhriz memberitahu media demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Biro Perhubungan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan Pemuda Umno serta sumbangan anak yatim hari ini.
Menurut laporan Bernama, Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata beberapa cawangan dan bahagian turut menawarkan tempat kepada Tun Dr Mahathir, dan terpulang kepada bapanya untuk membuat pilihan.
Sementara itu mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mukhriz berkata tindakan itu boleh disifatkan seperti 'langgar lari' kerana sekejap dia (Zaid) berada dalam kerajaan, dan tiba-tiba lari pula dari kerajaan.
"Saya nampak apa yang dia lakukan semasa dalam kerajaan ialah merealisasikan manifesto pembangkang, contohnya Suruhanjaya Kehakiman, isu Badan Pencegah Rasuah (BPR), polis, Majlis Peguam dan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Ini tidak disebut pun dalam manifesto Barisan Nasional dalam pilihanraya baru-baru ini.
Serah pada akar umbi
"BN nak tunaikan janji kita kepada rakyat dan bila beliau masuk dalam kerajaan itu pulak yang diberi tumpuan, (perkara yang tiada dalam manifesto BN)jadi saya tak rasa kecewa langsung bila dia letak jawatan," katanya.
Sementara itu merujuk kepada pemilihan Umno peringkat bahagian bulan depan, Mukhriz berkata, seharusnya tidak ada sebarang sekatan atau arahan daripada
pihak tertentu untuk tujuan peribadi pada pemilihan itu nanti.
Beliau berkata dalam suasana politik semasa negara yang menyaksikan beberapa episod kebelakangan ini terutamanya kegagalan mempertahankan kemenangan di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan dalam pilihanraya umum lalu, amalan demokrasi yang sebenar perlu dilaksanakan.
"Perlu diingat pemilihan adalah usaha untuk mengukuhkan parti, bukan untuk jadi juara. Jadi jika wujud sebarang arahan atau sekatan yang menjurus kepada kepentingan peribadi, ia tidak memperbaiki keadaan dan memberikan kekuatan kepada parti," katanya.
‘Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita memberikan mandat memilih pemimpin sampai ke peringkat akar umbi parti. Ia juga dapat mendekatkan pemimpin dengan ahli peringkat bawah selain mengelak amalan politik wang," katanya.
Mukhriz berkata dalam perlembagaan Umno sendiri menyatakan bahawa pemilihan mestilah bermula di peringkat bahagian termasuk untuk jawatan tertinggi dalam
parti.
Sehubungan itu, beliau berkata pelan peralihan kuasa 2010 yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak menepati citarasa dan aspirasi ahli Umno buat masa ini.
-malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?