PARA pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ternyata tidak dapat menyembunyikan kebimbangan masing-masing mengenai ura-ura peralihan kuasa pemerintahan negara dalam masa terdekat ini.
Meski pun pada awalnya mereka lebih cenderung memandang remeh hasrat disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru menjelang 16 September ini, perkembangan politik memaksa mereka mengubah pendirian tersebut.
Banyak pihak melihat kemenangan bergaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos lalu, adalah katalis kepada perubahan politik negara. Perkembangan itu melonjakkan lagi kegusaran BN bahawa hasrat yang diuar-uarkan Anwar itu bakal direalisasikannya.
Kemerosotan sokongan terhadap BN dalam pilihan raya itu bukan sahaja suatu tamparan paling menyakitkan bagi parti pemerintah itu, malah seakan isyarat jelas bahawa rakyat turut mendokong impian Anwar melangkah ke Putrajaya.
BN ternyata tambah cemas dengan perkembangan itu. Kegusaran mereka makin terzahir dengan berlangsungnya beberapa majlis 'akujanji taatsetia'.
Belum pernah berlaku dalam sejarah negara parti pemerintah itu terpaksa berulangkali meminta Ahli-Ahli Parlimen dari parti-parti komponennya membuat ikrar taatsetia tidak berbelah bahagi terhadap BN.
Majlis sebegitu pernah diadakan sempena kunjungan Abdullah dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak ke Sabah dan Sarawak ketika isu 'lompat parti' mula dicetuskan Mac lalu.
Ikrar serupa dibuat lagi dalam perjumpaan khas antara Abdullah dan Najib dengan BN Sabah di ibu negara.
Mereka ini turut dikerah memenuhi pentas kempen BN di Permatang Pauh tempohari. Kehadiran mereka itu dikatakan 'dipaksa' keadaan, semata-mata bagi membuktikan bahawa mereka masih setia kepada BN dan tidak akan berpaling tadah menyokong Anwar sebagaimana didesas-desuskan.
Pembuktian itu bagaikan belum cukup apabila kumpulan demi kumpulan Ahli-Ahli Parlimen BN mengadakan perjumpaan khas bagi menyatakan taatsetia mereka, termasuk di celah-celah kesibukan persidangan Dewan Rakyat.
Di setiap perjumpaan itu, mereka berikrar akan sama-sama mempertahankan kerajaan BN yang mereka dokongi.
Soalnya, apakah mereka perlu berbuat demikian jika menganggap ura-ura perubahan kerajaan itu sesuatu yang tidak serius? Ternyata tindakan dan reaksi ditunjukkan mereka itu sendiri membuktikan sebaliknya.
Persepsi serupa dapat digarap dari tindakan Abdullah mencuri ruang dalam ucapan Belanjawan 2009, Jumaat lalu membicarakan soal peralihan kuasa ini. Beliau bagaikan tidak berupaya membendung keresahan atas kemungkinan tersebut.
"Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini (politik negara) dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak. Kita tidak boleh membenarkan ketidakpastian yang timbul untuk berterusan," kata Abdullah, disambut tepuk sorak gemuruh wakil-wakil BN.
"Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan. Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti Barisan Nasional yang telah menang majoriti pada pilihan raya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi," sambung Perdana Menteri lagi.
Kata kunci dalam pertikaian beliau ialah tindakan menukar kerajaan sebagaimana dihasratkan PR itu 'tidak demokratik'.
Soalnya, apakah manipulasi kuasa menerusi pelbagai taktik dan strategi oleh BN selama ini suatu yang demokratik? Apakah perjalanan pilihan raya yang sering dipertikaikan ketelusan dan keadilannya benar-benar demokratik?
Bahkan di kalangan Ahli-Ahli Parlimen BN yang dipaksa membuat 'akujanji' itu sendiri ada yang mempertikaikan apakah paksaan ke atas mereka itu suatu yang bertepatan dengan lunas demokrasi?
Ada yang membuat kenyataan secara terbuka bahawa soal lompat parti adalah hak peribadi. Ia menepati prinsip demokrasi yang memberikan kebebasan kepada individu. Sebarang tindakan mengekang atau menyekat kebebasan mereka memilih parti, itu sebenarnya yang tidak demokratik.
Banyak perkara yang dapat dirasionalkan bagi membuktikan bahawa kerajaan BN selama ini tertegak di atas manipulasi kuasa secara tidak demokratik. Justeru, apa salahnya jika kini tiba giliran pihak lain pula mengambil usaha 'tidak demokratik' bagi menjatuhkan BN yang tidak demokratik itu?
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?