Sunday, October 12, 2008

Gerakan syor kerajaan semak harga petrol, diesel setiap minggu

KUALA LUMPUR: Gerakan mengesyorkan supaya kerajaan menyemak harga petrol dan diesel setiap minggu jika ia tidak diapungkan supaya rakyat dapat merasai kesan penurunan harga bahan api itu dengan serta-merta.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, cadangan itu dilihat munasabah berbanding semakan sekali dalam sebulan seperti yang dilakukan pada masa ini berdasarkan trend pasaran harga minyak mentah yang dilihat semakin menurun dan kini telah mencecah harga AS$83 setong.

"Sekarang ini, apabila harga minyak mentah turun di pasaran dunia, kita tunggu sebulan sebelum kesannya dinikmati rakyat.

"Sekarang ini harganya rendah dan kesannya hendaklah dirasai serta merta," katanya selepas berakhirnya Persidangan Perwakilan Nasional Ke-37 Gerakan di sini hari ini.

Koh berkata, perkara tersebut adalah antara tiga perkara utama yang dibincangkan dalam persidangan dua hari parti itu.

Beliau berkata, hal yang berbeza berlaku apabila berlaku penurunan pada harga minyak sawit yang kesannya dirasai serta merta oleh rakyat.

Katanya, beliau pernah membangkitkan perkara itu sejurus selepas Kabinet memutuskan untuk menyemak harga bahan api itu sekali dalam sebulan.

"Kini saya bangkitkan ia kembali. Saya telah bercakap secara terus dengan Perdana Menteri berhubung hal ini dan kerajaan mahu menyemaknya sekali sebulan terlebih dahulu.

"Pada mulanya saya cadangkan dua minggu sekali tetapi kini seminggu sekali juga munasabah dan ia memerlukan mekanise untuk dilaksanakan," katanya.

Selain itu, Koh berkata, parti itu turut mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa atau pasukan petugas khas bagi membincangkan hal-hal berhubung pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak bagi memperkukuh sistem demokrasi di negara ini.

"Akta-akta yang memerlukan tahanan tanpa bicara di mahkamah hendaklah dipinda supaya segala perlindungan yang perlu untuk hak asasi manusia dimasukkan," katanya.

Selain itu, persidangan turut memberi tumpuan kepada langkah-langkah memperkasa parti melalui perubahan dan lebih menjurus kepada konsep pelbagai kaum.

"Kita mendapat banyak idea yang bagus termasuk parti perlu lebih sensitif dan terbuka kepada pelbagai budaya, adat dan nilai daripada latar belakang yang berbeza supaya mereka akan lebih selesa bekerja dan menyertai aktiviti-aktiviti Gerakan.

"Kita juga komited untuk mendapatkan wakil dari pelbagai kaum yang dapat digambarkan melalui barisan kepimpinan.

"Kita tidak mahu melaksanakan sistem kuota (dalam part) kerana mahu lebih ramai menyertai Gerakan dan mereka diikitraf melalui merit dan komitmen mereka kepada ideologi parti lebih daripada melihat kepada kuota.

"Kita mahu mereka diundi kerana mereka rakyat Malaysia yang penuh komitmen lebih daripada mereka sebagai seorang Melayu, Cina atau India," katanya.

Koh berkata, persidangan turut membincangkan penubuhan Majlis Perunding Perpaduan Negara untuk membincangkan secara konkrit isu-isu kaum dan agama yang boleh menjadi sensitif atau sudah pun mencetuskan ketegangan.

Koh berkata, persidangan kali ini telah membahas dan meluluskan lima resolusi iaitu memperkasa demokrasi dan hak asasi manusia, memupuk keharmonian etnik dan agama, menyediakan ekonomi negara untuk menghadapi cabaran global, memperbaiki sistem pendidikan negara dan membina semula parti melalui pembaharuan.

Katanya, perwakilan yang menyertai perbahasan pada kali ini dilihat lebih lantang berbanding tahun-tahun sebelumnya dan ia merupakan satu perubahan baik yang diharapkan Gerakan.

Ditanya sama ada beliau berminat jika ditawarkan sebarang jawatan dalam kerajaan supaya mampu lebih bersuara untuk Gerakan, Koh berkata, beliau sudah dan akan terus menyuarakan pandangannya sama ada mempunyai jawatan atau tidak.

"Kalau tidak, orang ingat saya nak lakukan ini untuk dapat jawatan…(sebenarnya) tidak.

"Jika ada peranan yang lebih bermakna dan penting, saya sudi memainkan apa juga peranan walaupun tidak menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan," katanya.

-mSTAR Online

TP - KERAjaan nak dengar ke? kalau depa dengar pun... nak ke depa ikut? kalau depa ikut pun... nak ke depa praktikkan? ada untungka??? kalau tak dak untung... BOLAYAN..!

Khak Ptuih..!

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?