Wednesday, October 22, 2008

'Ramai jadi mangsa, tapi membisu'

kemaskini 7:24pm Dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibuang kolej mendakwa banyak lagi mahasiswa yang mengalami nasib seumpama mereka tetapi tidak berani menyuarakannya.

"Kes yang berlaku pada saya hanyalah sebahagian kezaliman yang berlaku terhadap mahasiswa. Bukan sahaja di UPM tetapi di kampus-kampus lain pun, saya percaya perkara ini berlaku," kata Nor Farhana Farzieana Azmi.

"Sebagai mahasiswa, kami hadir di sini bukan untuk meraih simpati tetapi kami hadir supaya suara mahasiswa boleh didengar oleh seluruh masyarakat di seluruh negara."

zuraida pelajar upm 221008Nor Farhana Farzieana, exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM sesi lepas, dan rakan senasibnya Nur Shafiqa Mohd Ali, exco Persatuan Mahasiswa Islam, muncul di lobi Parlimen hari ini, seminggu selepas dikenakan tindakan tersebut.

Mereka ditemani ahli parlimen Ampang dan juga ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Nur Shafiqa mendakwa terdapat berbelas-belas lagi pelajar yang disenaraikan perlu membuat rayuan untuk tinggal di asrama tetapi mereka ini tidak diminta keluar seperti kedua-duanya.

"Ada nama-nama lain (disenaraikan), tetapi nama-nama lain sengaja diletakkan untuk bagi tidak nampak macam untuk cover (menutup persoalan itu)," katanya.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diperolehinya daripada seorang pegawai pengurusan asramanya Kolej Tun Perak, tiada penyingkiran pelajar pada semester ini kerana kemasukan ke kolej kediaman berkurangan.

"Beliau cakap, memang semester ini tidak akan ada (pelajar) yang dibuang. Tetapi oleh sebab kami diberi arahan untuk dibuang, maka diletakkan nama-nama lain untuk mengaburi," tambah Nur Shafiqa.

Nor Farhana Farzieana pula berkata mereka muncul untuk mendedahkan isu itu "tanpa tekanan dan campur tangan pihak lain."

"Inisiatif yang diambil ini adalah kesedaran diri kami bahawa mahasiswa bukan anak kecil yang boleh ditindas," katanya.

Mereka berharap ahli-ahli parlimen sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat agar tampil menyuarakan isu yang sama.

UPM petang ini membenarkan mereka kembali tinggal di asrama berkenaan sehingga tamat minggu peperiksaan "atas dasar prihatin."

Sementara Zuraida berkata, beliau berjanji memastikan kedua-dua pelajar itu dapat mengikuti peperiksaan dan memastikan keputusan mereka tidak dianiaya.

"Saya akan ambil tindakan susulan, bercakap dengan pengurusan (kolej) profesor madya Dr Jasni (Sabri) untuk tanya pendapatnya, untuk berlaku adil," katanya.

Zuraida juga mengesyaki penyingkiran pelajar itu berkaitan dengan pilihanraya kampus - yang dijangka diadakan awal tahun depan - kerana bergiat aktif bersama persatuan yang tidak pro-Aspirasi, kumpulan pelajar yang menyokong kerajaan.

-malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?