Monday, October 20, 2008

Shamsiah Fakeh meninggal dunia

kemaskini 6:50pm Shamsiah Fakeh, seorang tokoh pejuang wanita terkenal yang aktif bersama Parti Komunis Malaya (PKM), menghembuskan nafas terakhir jam 9 pagi ini di kediaman anak lelakinya Jamaluddin Ibrahim di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Jenazah allahyarham, 84, yang mengalami sakit tua dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia sejak bulan lepas, dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur jam 5.30 petang.

"Selepas 22 hari berada di hospital, allahyarham sendiri minta pulang ke rumah. Beliau rasa tiba masanya, beliau ingin menghabiskan masa untuk bersama anak-anak dan cucu-cucu," kata Jamaluddin.

Shamsiah dibawa pulang ke rumah anaknya Sabtu lepas dan hanya menghabiskan masa tidur seharian suntuk semalam.

"Pagi tadi, apabila kami kejutkannya, (nyawa) beliau sudah tidak ada. Wajahnya kelihatan tenang," kata anak bongsu itu daripada tiga adik-beradik yang berlainan bapa.

shamsiah fakeh book 191107 memoirTambahnya, lebih seratus sanak-saudara dan teman-teman dekat allahyarham pelbagai kaum termasuk timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan penulis kolum Hishamuddin Rais hadir memberikan penghormatan terakhir.

Suasana hujan sewaktu pengebumian petang ini menambahkan rasa kehilangan tokoh wanita itu yang mengalami sakit-sakit sejak 10 tahun lalu.

Menurut memoirnya (kiri), Shamsiah antara pejuang kemerdekaan aliran kiri Melayu yang gigih hingga sanggup meredah belantara Malaya.

Beliau adalah ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bersama Ahmad Boestamam, ketua API dan juga pengasas Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

Shamsiah menyertai Rejimen ke-10 iaitu sayap Melayu PKM.

Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.

Selepas terpisah daripada PKM, beliau terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi.

Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termetrainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989.

-malaysiakini

1 comment:

  1. rasa sayu dan tersedu..dah pergi baru tersedar, rupa2nya masih ada pejuang kemerdekaan tulin atau pejuang "ketuanan melayu tulin" yang dilupakan..waima dikatakan komunis tapi tetap melayu..dimanakah mereka2 yang berdegar2 menyalak "ketuanan melayu"???
    AL-FATIHAH..SEMOGA ALLAH SWT CUCURI RAHMAT KEATAS ROHNYA..AMIN

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?