Sunday, November 09, 2008

Kaum Minoriti Mungkin Jadi PM S'pura

SINGAPURA, 9 Nov (Bernama) -- Singapura, yang majoriti penduduknya berbangsa Cina, mungkin mempunyai perdana menteri daripada kaum minoriti suatu hari nanti, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Bagaimanapun, perkara itu tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat, kata Lee pada sesi dialog bersama kira-kira 350 pemimpin peringkat akar umbi Melayu di sini semalam, yang dipetik oleh media tempatan.

Lee menyatakan perkara itu apabila diminta mengulas keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini, yang menyaksikan Barrack Obama dipilih sebagai rakyat kulit hitam pertama menjadi pemimpin negara berkenaan.

"Bolehkah kita mempunyai perdana menteri bukan daripada bangsa Cina, seorang Melayu-Islam suatu hari nanti? Ini satu kemungkinan. Adakah ia akan berlaku tidak lama lagi? Saya tak fikir begitu kerana seseorang itu perlu menang dalam pengundian terlebih dulu," kata Lee.

Beliau berkata wujud sentimen seperti siapa yang mengundi siapa dan kaitan yang wujud antara pemilih dan orang yang dipilihnya, yang tidak akan luput sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini, sekali pun mungkin ada pihak yang berharap perasaan ini tidak wujud lagi.

Lee berkata kemenangan Obama tidak bermakna soal bangsa tidak lagi menjadi isu di Amerika Syarikat kerana keputusan pilihan raya itu menunjukkan bahawa calon Republikan John McCain meraih sebahagian besar undi daripada bangsa kulit putih, manakala Obama pula menerima undi daripada pengundi berbangsa Latin, Asia dan Afrika.

Katanya, realiti yang wujud di Singapura ialah pola pengundian berasaskan kaum akan berkekalan.

Beliau berkata walaupun keadaan hari ini amat jauh berbeza daripada yang wujud dua atau tiga dekad lepas, namun masih sukar untuk melihat wujudnya sesuatu jawatan yang bebas daripada sentimen bangsa dan agama.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin tempatan perlu lebih mengutamakan kepentingan nasional daripada kepentingan bangsa masing-masing.

Inilah sebabnya, tidak wujud amalan di mana seseorang Anggota Parlimen dipilih bagi mewakili kepentingan bangsa masing-masing, seperti di Malaysia dan New Zealand, kata Lee.

Menjawab soalan sama ada pemimpin tempatan menghadapi masalah untuk mengimbangkan kepentingan kaum masing-masing dengan kepentingan negara, Lee berkata: "Kalau dia berbangsa Cina, saya akan bertanya kepadanya adakah dia seorang rakyat Singapura yang kebetulan berketurunan Cina atau adakah dia seorang berbangsa Cina, yang kebetulan tinggal di Singapura?"

Beliau berkata Singapura tidak sama dengan Malaysia kerana republik ini tidak mempunyai "kerajaan gabungan di mana terdapat parti Cina, parti Melayu dan parti India dan kemudian kita cuba mendesak dan melihat siapa yang mampu mendesak dengan lebih hebat".

Singapura juga tidak berniat untuk menuju kepada sistem perwakilan berasaskan nisbah seperti yang diamalkan di New Zealand, di mana segelintir Anggota Parlimen yang dipilih bagi mewakili kaum Maori, boleh mengenakan harga setiap kali kerajaan ingin mendapatkan sokongan mereka, kata Lee.

"Saya rasa amalan ini tidak sesuai dengan Singapura. Di Singapura, apabila anda dipilih, anda perlu berfikir tentang kepentingan Singapura," katanya.

Mengenai kesulitan mencari orang Melayu yang memiliki bakat kepimpinan, beliau berkata perkara itu sukar ditemui dalam semua kaum.

Walaupun jumlah orang Melayu yang berbakat telah banyak bertambah berbanding sebelum ini, namun jumlah ahli profesional Melayu seperti doktor, peguam dan jurutera, masih kecil berbanding purata nasional, katanya.

1 comment:

  1. tak rasa singapura akan ada PM dari kalangan orang Melayu sebab memang kita dah tahu yang kat sana lebih ramai cina dari melayu.jadi takkan orang cina mahu orang melayu jadi pm,kan?

    selalunya kita selalu dgr yang pembangkang memuji-muji Singapura tapi tak pernah pembangkang menyentuh langsung tentang hal PM Singapura yang semuanya dari kalangan orang Cina.

    bukan hendak jadi rasis.tetapi itulah kenyataan.disemua tempat dan dimana-manapun suara majoriti yang akan dipilih.

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?