Separuh daripada kira-kira 26,000 jemaah haji Malaysia yang dijadualkan mengerjakan ibadat haji musim ini sudah tiba di Arab Saudi untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
Pengarah Operasi Media Tabung Haji Abdul Rashid Hussein berkata 3,000 jemaah sudah memasuki Kota Suci Mekah setakat hari Isnin, manakala yang lain masih berada di sini, dan mereka akan menyusuli rakan mereka secara berperingkat-peringkat.
Penerbangan haji terakhir ke sini ialah Sabtu ini yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat ini.
Selepas tarikh itu, semua penerbangan haji Malaysia dijadual mendarat di Jeddah dan bakal haji terus dibawa ke Mekah , katanya yang juga Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji Malaysia.
"Operasi haji berjalan lancar setakat ini. Semua bakal haji berada dalam keadaan baik dan sihat untuk menjalankan ibadah.
Tabung Haji akan menutup sepenuhnya operasi di sini (Madinah) pada 5 Zulhijjah (3 Dis) dan menumpukan operasi di Mekah pula," katanya kepada wartawan Malaysia yang berada di sini untuk membuat liputan haji.
Mereka bertugas sebagai anggota Pasukan Media Tabung Haji, terdiri daripada wakil dari RTM, Media Prima, dan Bernama bagi membuat liputan mengenai operasi haji di sini dan Mekah sehingga pertengahan Disember akan datang.
Laporan haji RTM boleh diikuti di siaran Berita RTM 1, dan saluran RTM Klasik Nasional pukul 6.30 pagi, 2.30 petang dan 8.45 malam.
Laporan Media Prima boleh diikuti menerusi Berita 1.30 tengah hari dan Buletin Utama TV3 dan Berita TV9.
Laporan Bernama boleh diikuti menerusi saluran berita online Bernama.com dan akhbar-akhbar Malaysia.
Abdul Rashid berkata, operasi pasukan media di sini berakhir hari ini dan pasukan itu akan berangkat ke Mekah malam ini untuk memberi tumpuan liputan di sana.
"Liputan dijangka lebih rancak di Mekah di mana banyak aktiviti operasi haji dan ibadah haji akan berlangsung," katanya.
Salam... Sebagai orang Islam, saya mendoakan supaya jemaah haji Malaysia dan seluruh dunia dapat menunaikan haji dengan selamat dan lancar tanpa ada sebarang masalah. Semoga mereka mendapat haji mabrur dan diredhai serta diampunkan dosa oleh Allah Yang Maha Pengasih lagi Pengampun...Ameen ya Rabbal alamin...
ReplyDelete