MADINAH, 6 Nov (Bernama) -- Dalam usaha memberi perkhidmatan lebih baik kepada jemaah haji, agensi haji di bawah Kementerian Haji dan Wakaf Arab Saudi telah menambahbaik rangkaian sistem komputer pengumpulan data peribadi para jemaah haji.
Penolong Pengurus Muassasah Adilla yang bertanggungjawab mengendalikan urusan haji di Madinah, Marwan bin Gotah berkata hasilnya, tempoh pemeriksaan dokumen peribadi jemaah dari Mekah yang memasuki Madinah di stesen pemeriksaan Al-Hijrah dapat dipersingkatkan antara dua hingga tiga jam.
"Menerusi sistem itu jemaah cuma perlu berhenti di Stesen Al Hijrah sebentar sahaja berbanding berjam-jam sebelum ini. Ini memendekkan (masa) perjalanan jemaah dari Mekah ke Madinah dan sebaliknya, antara dua hingga tiga jam," katanya dalam satu majlis taklimat kepada wartawan Malaysia yang menyertai pasukan media Tabung Haji Malaysia di sini.
Selain pemeriksaan visa haji pihak berkuasa urusan haji Saudi juga menyemak maklumat seperti perjanjian penginapan bagi jemaah haji.
Marwan berkata prosedur baru di bawah sistem tersebut sedang dicuba sejak tahun lalu untuk jemaah haji dari Asia Tenggara dan China.
Katanya Muassasah Adilla tidak mengendalikan jemaah haji dari Indonesia kerana bilangannya besar mencecah lebih 200,000 orang dan mereka dikendalikan oleh sebuah agensi lain.
Sementara itu, jemaah haji dari Malaysia yang mula tiba di sini sejak Khamis lepas dilaporkan berada dalam keadaan teratur.
Mereka dapat melakukan dengan lancar ibadah di Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Nabi Muhammad serta para sahabat serta tempat-tempat bersejarah dalam keadaan nyaman kerana cuaca agak dingin.
Mengikut jadual, bagi jemaah haji yang sudah bermastautin sembilan hari di sini, kumpulan pertama jemaah akan mula bergerak ke Tanah Suci Mekah malam esok secara berperingkat-peringkat.
Di Mekah, mereka akan melakukan ibadat umrah terlebih dahulu sebelum menunaikan haji awal Disember akan datang.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?