Ada banyak isu berhubung dengan hak-hak pribumi yang terkandung di dalam Perlembagaan dan perundangan negara. Tetapi dalam tulisan hanya satu isu penting sahaja dihuraikan dengan harapan mereka yang berkenaan akan mengambil perhatian.
Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi bagi negeri-negeri di bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu dan apabila kerajaan British menjadi protector kepada negeri-negeri itu bahasa Melayu terus menjadi bahasa rasmi di samping bahasa Inggeris. Perlembagaan negara setelah merdeka menentukan kedaulatan bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Artikel 152 yang mana telah di entrenched.
Berhubung dengan pelaksanaan peruntukan Perlembagaan Artikel 152 berkaitan dengan bahasa kebangsaan, saya cuma akan sentuh satu sudut atau perkara yang saya fikir perlu diambil perhatian oleh kerajaan dan semua yang berkenaan, iaitu penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah dan dalam bidang perundangan.
Salah satu perkara yang penting yang perlu diselesaikan ialah isu penggunaan bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) dalam sistem kehakiman dan mahkamah di negara ini. Penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah telah ditegur oleh pelbagai pihak sebagai tidak memuaskan dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pernah menyatakan bahawa penggunaan bahasa di mahkamah tidak sempurna kerana bercampur antara bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris umpama sekerat ular, sekerat belut
Malaysia sama dengan negara-negara lain dalam dunia, perlu menghadapi cabaran persaingan akibat kesan globalisasi. Satu daripada cara menghadapi cabaran ini ialah dengan bertindak meningkatkan modal insan yang mana insan di Malaysia akan mampu menguasai bahasa Inggeris. Kerajaan perlu sedar perkara ini dan mengambil tindakan supaya penduduk negara tidak kira di mana mereka berada adalah fasih dalam bahasa Inggeris selain daripada bahasa kebangsaan. Tetapi unsur ini tidak ada kaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah. Samalah di negara lain umpamanya, Perancis, Jerman, Thailand, China dan sebagainya, bahasa yang diguna di mahkamah mereka adalah bahasa kebangsaan masing-masing, sungguhpun mereka juga menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa penting dari sudut urusan antarabangsa dan perdagangan.
Memang tidak boleh dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah penting kerana ia adalah bahasa antarabangsa yang terkemuka dan juga bahasa yang digunakan dalam bidang perdagangan antarabangsa. Dari segi bidang undang-undang Malaysia masih perlukan bahasa Inggeris kerana negara kita masih memakai sistem undang- undang Common Law, Equity dan kes-kes yang berkenaan itu adalah dalam bahasa Inggeris. Ada lagi banyak undang-undang Negara khususnya undang-undang yang dipakai sebelum merdeka dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen selepas merdeka sehingga 1 September 1967, adalah dalam bahasa Inggeris dan undang-undang itu masih berkuatkuasa, melainkan beberapa undang-undang yang telah diterjemah ke bahasa Melayu. Ini bererti bahawa bahasa Inggeris masih diperlukan di mahkamah apabila kes-kes dan undang-undang dalam bahasa Inggeris yang tersebut timbul dalam perbicaraan.
Justeru, peguam-peguam dan hakim-hakim adalah perlu fasih dalam kedua-dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris. Pada amnya, bahasa rasmi di mahkamah ialah bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, tetapi jika timbul keadaan seperti yang tersebut di atas maka bahasa Inggeris boleh digunakan. Malaysia sudah merdeka dan berdaulat selama lebih 50 tahun. Merdeka dan berdaulat bererti mempunyai dan mendaulatkan bahasa sendiri dalam bidang dan urusan termasuklah bidang perundangan dan kehakiman. Sebenarnya agenda ini sudah pun termaktub dalam perlembagaan negara dalam bentuk Artikel 152 Fasal (1) yang menetapkan bahawa bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Bagaimanapun proses menerapkan penggunaanya dalam bidang perundangan dan kehakiman ditangguhkan selama 10 tahun, itu pun bergantung pada pertimbangan dan keputusan Parlimen sebagaimana yang diperuntukan dalam Fasal (4) dan Fasal (5) Artikel tersebut yang berbunyi seperti berikut:
(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukan oleh Parlimen, segala pembicaraan dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak payah diterjemah atau direkodkan dalam bahasa Inggeris."
(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga selainnya diperuntukan oleh Parlimen, segala pembicaraan dalam mahkamah rendah, selain daripada mengambil keterangan, hendaklah dijalankan dalam Bahasa Inggeris."
Pada dasarnya penangguhan 10 tahun yang diperuntukan dalam Artikel 152 itu dapat diterima sebagai patut atau wajar, memandangkan keadaan yang wujud ketika negara baru sahaja mencapai kemerdekaan. Semua hakim dan peguam yang bertugas atau beramal ketika itu terdiri daripada lepasan institut pengajian tinggi luar negeri khususnya di England yang terlatih dalam undang-undang Inggeris dan oleh itu tidak atau kurang mahir menggunakan bahasa Melayu.
Keduanya, hampir keseluruhan bahan-bahan bacaan dan rujukan termasuk teks perundangan diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Korpus bahasa dan istilah undang-undang dalam bahasa Melayu masih kurang dan tidak lengkap. Maka tempoh 10 tahun dianggap sebagai wajar bagi negara untuk membuat segala persiapan.
Memang benar, Parlimen tidak leka dan cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penggerak utama bagi merealisasikan matlamat yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan negara. Ini ternyata dalam tindakannya meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Selain menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang mesti digunakan bagi "urusan dan maksud rasmi" dan menghendaki supaya teks rang undang-undang dan akta Parlimen dan enakmen Dewan-Dewan Undangan Negeri disediakan dalam dalam Bahasa Kebangsaan (yang merupakan teks sahih) di samping bahasa Inggeris, Seksyen 8 akta tersebut memperuntukan supaya prosiding di mahkamah dijalankan dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris atau kedua-duanya sekali. Namun, mahkamah diberikan kuasa budibicara untuk memerintahkan supaya hanya bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris digunakan bagi keseluruhan prosiding.
Malangnya dari segi pelaksanaan sebenar, pilihan yang telah dibekalkan oleh Seksyen 8 akta tersebut telah membawa kesan negatif kepada matlamat penerapan bahasa kebangsaan di mahkamah. Ini disebabkan para hakim yang bertugas rata-rata memilih penggunaan bahasa Inggeris, seringkali atas permintaan pihak peguam yang beraksi. Kelonggaran yang membolehkan penggunaan bahasa Inggeris itu yang sebenarnya bertujuan untuk memberi ruang kepada bilangan kecil kes-kes yang terpaksa dijalankan dalam bahasa Inggeris oleh sebab-sebab tertentu. Dengan kata lain, bahasa Inggeris dimaksudkan sebagai 'pengecualian' (exception), bukan sebaliknya. Nasib baiklah kelemahan Seksyen 8 yang dimaksudkan akhirnya disedari. Maka ia telah digugurkan dan digantikan dengan Seksyen 8 yang baru melalui Akta Bahasa Kebangsaan (Pindaan) 1990 yang berbunyi seperti berikut :
"8. Segala prosiding (melainkan keterangan yang diberi oleh saksi) dalam Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan:
Dengan syarat bahawa mahkamah boleh sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (melainkan keterangan yang diberi oleh saksi) dijalankan sebahagiannya dalam bahasa Kebangsaan dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris".
Negatif
Tidak dapat dinafikan bahwa peruntukan Seksyen 8 yang baru disebutkan di atas merupakan suatu kemajuan dari tahap penerapan bahasa Kebangsaan dalam sistem kehakiman dan mahkamah di negara kita. Berikutan kuatkuasa peruntukan tersebut kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 turut dipinda (lihat P.U.(A) 79/90) yang menghendaki supaya dokumen-dokumen yang digunakan di Mahkamah Tinggi disediakan dalam bahasa kebangsaan. Kesan langkah-langkah ini sangat menggalakkan. Sekarang ini rata-rata peguam di kalangan generasi muda didapati lebih selesa menggunakan bahasa kebangsaan. Kesan negatif urusan ini ialah ia melibatkan kos yang tinggi dan masa yang lebih lama kerana dokumen mahkamah disediakan dalam dua bahasa.
Bagaimanapun jika dibuat tinjauan, didapati masih banyak kelemahan. Prosiding dalam Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masih banyak menggunakan bahasa Inggeris terutama apabila pihak yang terlibat diwakili oleh peguam-peguam yang senior dan berumur. Ini mungkin kerana kaedah-kaedah yang dipakai bagi kedua-dua mahkamah itu belum dipinda dan memasukkan peruntukan seperti yang diperbuat kepada kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi. Agensi-agensi kerajaan dan institusi-institusi awam yang bertanggungjawab mengawal atau mengawalselia bidang-bidang tertentu masih mengenepikan bahasa Kebangsaan, akibatnya hampir keseluruhan perjanjian pinjaman perumahan yang melibatkan bank dan institusi kewangan swasta menggunakan bahasa Inggeris. Begitu juga perjanjian jual beli rumah kediaman. Banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan.
Memandangkan perkara-perkara yang disebutkan di atas tadi adalah dicadangkan supaya pihak kerajaan mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan berani bagi memastikan bahasa Kebangsaan benar-benar berfungsi sepenuhnya bukan sahaja sebagai bahasa dalam bidang perundangan dan kehakiman tetapi juga dalam urusan dan aktiviti penting di negara ini. Di antara langkah-langkah wajar yang boleh dipertimbangkan ialah:
(a)The National Language Act 1963/1967
Akta ini perlu di pinda dengan cara mengubahsuai iaitu proviso kepada seksyen 8 di gugurkan dan digantikan dengan proviso baru untuk membolehkan bahasa Inggeris cuma digunakan di mahkamah apabila berbangkit persoalan atau penafsiran undang-undang yang berkuatkuasa sebelum 1-9-1967, dan juga kes-kes berkaitan dengan Common Law dan equity yang dilaporkan dalam bahasa Inggeris. Ini adalah kerana undang-undang yang sahih diluluskan sebelum 1-9-1967 adalah dalam bahasa Inggeris.
(b) Mengikut Seksyen 7 Akta bahasa kebangsaan yang tersebut undang-undang yang berkuatkuasa sebelum 1-9-1967 boleh diterjemah ke bahasa kebangsaan dan undang-undang itu setelah disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong akan dianggap sahih. Kerajaan telah pun menterjemahkan beberapa undang-undang penting ke bahasa Melayu dan menetapkan fungsi yang sahih. Apa yang perlu dibuat sekarang oleh kerajaan ialah mempertingkatkan usaha menterjemah undang-undang yang tersebut ke bahasa Melayu dan sahkan sebagai sahih oleh Yang di-Pertuan Agong. Satu masa kelak semua undang-undang itu akan diterjemahkan dan bahasa Inggeris tidak berbangkit lagi di mahkamah.
(c) Kursus-kursus secara berterusan perlu diadakan untuk melatih hakim-hakim dan peguam-peguam yang kurang mahir dalam bahasa kebangsaan supaya mereka mempelajari bahasa kebangsaan secara teratur . Sebaliknya hakim dan peguam yang kurang fasih dalam bahasa Inggeris perlu diberi latihan mempelajari bahasa Inggeris.
(d) Mewujudkan suatu mekanisme yang sesuai untuk menggubal dan memperlengkapkan korpus bahasa istilah undang-undang serta menerbitkan buku-buku teks dan rujukan yang bermutu dalam Bahasa Kebangsaan. Mekanisme ini hendaklah dibiayai oleh peruntukan belanjawan negara dan diuruskan oleh lembaga yang berkemahiran dan proaktif dan dianggotai oleh pakar-pakar bahasa dan undang-undang termasuk wakil Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti tempatan. Dengan penekanan terhadap bahasa Kebangsaan, sudah tentu akan memberi perangsang kepada mereka yang mampu dan berbakat untuk menulis buku-buku undang-undang dan sebagainya dalam bahasa Kebangsaan. Dengan sendirinya kita dapat memperkayakan bahan bacaan dalam bidang undang-undang dalam bahasa Kebangsaan;
(e) Pengecualian atau keistimewaan cukai diberikan kepada buku-buku dan penerbitan bidang undang-undang yang diterbitkan oleh penerbit swasta.
Pihak Kerajaan perlu bertindak memberi perhatian terhadap isu ini dengan secepat mungkin hendaknya.
Nampak sangat kerajaan lembap dalam menangani hal-ehwal bahasa kebangsaan. Hinggakan bahasa bukan kebangsaan dah naik lemak. Bahasa Cina di papan tanda premis perniagaan pun sebenarnya tidak layak, tetapi kerana dah jadi 'kebiasaan' maka ia nampak seperti layak. awang.
ReplyDelete