Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempengerusikan mesyuarat itu bersama semua tujuh orang exco di kediaman rasmi menteri besar sejak pagi tadi.
Dalam sidang medianya tengah hari tadi, beliau mengumumkan empat keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat khas exco tersebut:
- tajak pajakan untuk perindustrian akan ditukar status kepada pegangan bebas selama 99 tahun untuk merangsang pelaburan ke negeri tersebut,
- menghidupkan semula lapangan terbang Ipoh untuk pesawat tambang murah bagi menggalakkan pelaburan,
- kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta kepada warga tua yang meninggal dunia, dan
- seramai 342 anggota majlis pihak berkuasa tempatan bawah kerajaan Pakatan Rakyat - sebelum ditumbangkan oleh BN minggu ini - akan terus menjalankan tugas mereka.
Katanya, beliau akan mengekalkan jawatannya sekarang sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
Seperti pagi semalam, tambahnya, beliau akan terus ke pejabat rasminya di bangunan setiausaha kerajaan negeri pada Selasa depan.
Tindakan yang sama akan diambil oleh barisan exco tiga parti utama kerajaan campuran itu.
Beliau juga berkata, satu permohonan akan difailkan di mahkamah pada Selasa depan untuk mencabar kesahihan pelantikan menteri besar BN Datuk Dr Zambry Abd Kadir semalam.
Lebih 100 orang penyokong PAS termasuk anggota Unit Amal parti itu berada di kediaman tersebut yang kelihatan seperti biasa.
Mereka bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap apa yang menimpa pada Mohammad Nizar dan kerajaan pimpinannya.
Dr Zambry mengangkat sumpah di Kuala Kangsar semalam di tengah-tengah kekecohan akibat bantahan ribuan penyokong Pakatan Rakyat - tidak jauh dari Istana Iskandariah, tempat berlangsungnya majlis tersebut.
Sementara itu, perkembangan berkaitan di negeri tersebut, antaranya:
- Angkatan Muda PKR Ipoh Barat membuat aduan polis sebagai tindak balas terhadap laporan Pemuda Umno berhubung akuan berkanun ketua bahagiannya Fauzi Mamat yang mendakwa timbalan perdana menteri cuba menyogok RM50 juta dalam usaha menumbangkan kerajaan Pakatan di Perak.
- Sembilan yang ditangkap polis dalam perhimpunan besar depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar semalam bagi membantah pelantikan Dr Zambry ditahan reman sehingga esok.
- Para pemimpin BN Perak dijadual mengadakan satu mesyuarat khas jam 5 petang ini di bangunan Umno, dipercayai bagi membincangkan barisan exco baru negeri tersebut.
- Pakatan Rakyat melancarkan kempen penerangannya berhubung kemelut kerajaan Perak 8 malam esok di Chenderung Balai, Sungai Manik.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?