KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Murahnya nilai seseorang pemimpin Umno jika benar undi pencalonannya ke suatu jawatan dalam parti boleh dibeli dengan harga serendah RM500, kalaupun tidak sekadar sehelai kain pelikat.
Menyedihkan, namun itu antara laporan yang diterima Badan Pencegah Rasuah membabitkan senario rasuah politik yang mewarnai pemilihan Umno kali ini.
Sekalipun baru bermesyuarat pada peringkat cawangan, dakwaan demi dakwaan yang diterima sama ada oleh BPR mahupun dikhabarkan secara tidak rasmi kepada pucuk pimpinan, membayangkan suasana lebih buruk mungkin berlaku apabila Persidangan Perwakilan Bahagian bermula Oktober ini.
Ia menjurus kepada satu kesimpulan iaitu pucuk pimpinan tertinggi parti belum berupaya menangani gejala itu, sekalipun telah mengetatkan peraturan dengan meminda tata etika pemilihan sejurus sebelum mesyuarat cawangan bermula 17 Julai lepas.
Veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata rasuah politik akan tetap berlaku dalam parti itu selagi persepsi bahawa jawatan dan kuasa menjanjikan kekayaan mencorakkan pemilihan.
"Dulu perjuangan nombor satu adalah hendak Merdeka. Bila sudah Merdeka, hendak membangunkan negara pula. Masa inilah banyak projek pembangunan dan kita tidak boleh nafi yang dapat projek-projek ini kebanyakan orang Umno.
"Jadi daripada situlah wujud persepsi mahu kaya, hendak projek, masuklah Umno," katanya kepada Bernama.
Menurut Abdul Aziz, keadaan itu mula berlaku selepas tahun 1978 apabila Umno menarik perhatian warga korporat yang mengintai peluang kekayaan menerusi projek pembangunan yang semakin melimpah.
"Sebelum tahun '78 dalam Umno ini ramai guru yang rata-rata berjuang untuk kebaikan bangsa Melayu. Tapi bila orang korporat masuk keadaan mula berubah," katanya.
Keadaan dalam parti diburukkan lagi apabila mereka yang lama memegang jawatan enggan berundur dan ini turut mendorong kepada gejala tidak sihat termasuk rasuah politik.
"Inilah namanya mainan politik. Susah nak duga sebab macam-macam boleh jadi. Macam peralihan kuasa, ini bukan tradisi parti tetapi sudah menjadi amalan," katanya.
Abdul Aziz, 85, tidak menolak kemungkinan Umno akan "tenggelam" sekiranya pemimpin gagal mendengar luahan akar umbi dan tidak melakukan perubahan seperti yang dituntut anggota.
"Pada pengamatan saya, orang risau dengan Umno. Baru-baru ini saya ke Pahang, ke Terengganu...rata-rata meluahkan rasa bimbang mereka. Orang risau sangat walaupun sekarang keadaan sudah kendur sedikit.
"Kendur sikit sebab sudah ada kepastian bila Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) hendak berundur, kendur sebab orang dengar ada muqabalah dengan PAS demi kesejahteraan ummah tapi orang masih risau," katanya.
Abdul Aziz berkata tenggelam atau timbulnya Umno pada masa depan boleh dilihat pada keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.
"Saya fikir di situ akan jadi kayu pengukurnya nanti. Kalau (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) menang, jumlah undinya bagaimana. Kalau majoriti dia lagi besar daripada sebelum ini, maknanya sokongan terhadap Umno semakin kurang.
"Tetapi jika BN dapat lebih banyak undi (berbanding dulu) ataupun menang, maka Umno masih ada harapan," katanya yang bersetuju dengan pandangan bahawa rasuah politik menyebabkan orang Melayu khususnya semakin menolak Umno.
Penganalisis politik Prof Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid berkata negara sekarang memerlukan pemimpin yang hebat dalam semua bidang, bukan yang terpilih kerana sogokan.
"Malaysia sekarang berada di persimpangan jalan. Selepas 50 tahun Merdeka kita kini mempunyai banyak cabaran luar yang akan menyebabkan kita jauh ketinggalan berbanding negara jiran dan negara membangun lain jika cabaran ini tidak ditangani.
"Sebab itu kita perlukan pemimpin yang benar-benar berkaliber, yang boleh memimpin dan dipilih berasaskan politik yang bersih dan beradab," kata bekas Dekan Fakulti Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) itu.
Ibrahim berkata sekarang bukan masanya untuk pemimpin negara dan parti bertelagah sesama sendiri kerana berebut kuasa sehingga lupa tugas hakiki mereka.
"Kita bercakap mengenai cabaran ekonomi dan bagaimana ketidakstabilan politik akan menjejaskan ekonomi kita. Politik yang tidak stabil akan menakutkan pelabur untuk datang ke sini.
"Jika ini berlaku bagaimana kita mahu menjana kekayaan untuk dinikmati rakyat? Yang pasti pembangunan negara tidak akan dapat dilakukan jika pemimpin terlalu asyik bergaduh," katanya.
Tambahan pula, kata Ibrahim, rakyat kini sudah jelak dengan putar-belit pemimpin politik yang sanggup mempertaruhkan kepentingan rakyat demi diri sendiri.
"Tak kiralah pemimpin Umno mahupun pembangkang, para pemimpin harus perjuangkan untuk rakyat dan negara. Ini yang rakyat mahu tengok sekarang. Mereka tidak mahu tengok lagi dakwaan konspirasi, politik wang, rasuah dan macam-macam lagi. Mereka hendak ketelusan, hendak tengok satu proses demokrasi yang bersih dan beradab," katanya.
Abdul Aziz dan Ibrahim bukan orang yang pertama meluahkan pandangan mereka mengenai rasuah politik dalam Umno. Isu ini sudah terlalu kerap dibangkitkan termasuk oleh pemimpin parti itu sendiri.
Namun seperti mencurah air ke daun keladi, rasuah politik atau politik wang terus berleluasa setiap kali musim pemilihan parti.
Barangkali seperti yang pernah disuarakan oleh bekas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Unversiti Malaya, Prof Datuk Dr Zainal Kling, bahawa orang Melayu ini terikat dengan amalan "terhutang budi".
Namun, persoalannya mahukah orang Melayu khususnya anggota Umno, membenarkan diri mereka dipimpin oleh pemimpin murahan yang membeli undi?
Atau adakah mereka mahu dipimpin oleh mereka yang benar-benar berkualiti dan ikhlas memperjuangkan nasib Melayu?
Tepuk dada tanya selera.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment