Raja Perempuan Besar Perlis, Tengku Budriah Tengku Ismail, 84, mangkat di Hospital Kuala Lumpur pada 3.47 pagi tadi.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan kemangkatan bonda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu melalui stesen Radio Malaysia Perlis sebentar tadi.
Almarhum adalah Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1945 sehingga kemangkatan almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 2001.
Jenazah almarhum diterbangkan dari lapangan terbang Subang ke Alor Star dan dibawa ke Istana Arau untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir bermula tengah hari ini sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas solat Asar.
Md Isa berkata, bagi menghormati kemangkatan itu, bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini dan semua acara keramaian dan berbentuk hiburan ditangguhkan.
Tengku Budriah Kerabat Yang Amat Disenangi
Raja Perempuan Besar Perlis Tengku Budriah Tengku Ismail, 84, yang mangkat di Hospital Kuala Lumpur hari ini, merupakan seorang kerabat yang amat disenangi rakyat.
Baginda adalah cucu kepada Raja Pattani (Thailand) yang terakhir dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1949 serta Raja Permaisuri Agong ketiga bermula 1960.
Almarhum Tengku Budriah dilahirkan pada 28 Mac 1924 di Kuala Krai, Kelantan, dan mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu dan Inggeris di Kuala Krai sebelum melanjutkan pelajaran di Anglo-Chinese Girls' School di Ipoh, Perak.
Semasa di alam persekolahan baginda gemar bermain badminton dan hoki dan mencebur diri dalam kegiatan Pandu Putri selain berminat dalam kegiatan menjahit, memasak dan gubahan bunga. Di masa lapang, baginda turut menunggang kuda.
Ketika berusia 17 tahun, Tengku Budriah bertemu jodoh dengan Tuanku Syed Putra Jamalullail yang ketika itu bergelar Bakal Raja Perlis dan hasil perkongsian hidup mereka, pasangan diraja itu dikurniakan lima orang putera dan lima puteri.
Seorang daripada puteranya ialah Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang kini Raja Perlis dan menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-12 dari 2001 hingga 2006.
Seorang lagi puteranya, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, pula terlibat dalam politik dan kini menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pauh dan dilantik seorang anggota exco kerajaan Perlis.
Semasa hayat baginda, Tengku Budriah amat mengambil berat kegiatan sukarela, dan pada 1950, baginda menyertai pasukan Pandu Puteri Tanah Melayu ke Jambori Pandu Putri di Australia.
Semasa menjadi Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah menjadi Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Perkumpulan Perempuan Tanah Melayu dan kemudian menjadi penaungnya.
Sebagai wanita yang prihatin terhadap bidang pendidikan, nama baginda diabadikan di beberapa institusi ilmu dan kebajikan termasuk Sekolah Kanak-kanak Cacat Tengku Budriah dan Taman Didikan Kanak-kanak Tengku Budriah yang kedua-duanya terletak di Kuala Lumpur selain pada Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Budriah di Arau dan Taman Asuhan Darulfarah Tengku Hajah Budriah di Kangar.
Almarhum sentiasa merendah diri malah ketika kunjungan wartawan Bernama ke Istana Kenangan Indah untuk satu wawancara pada 2001, baginda begitu mesra dan banyak bercerita tentang pengalaman hidupnya.
Kisah di zaman pendudukan Jepun sentiasa segar dalam ingatan baginda kerana zaman itu menyebabkan baginda sekeluarga diketepikan sehingga terpaksa kembali ke Kelantan.
Bagaimanapun setelah Jepun menyerah kalah pada 1945, baginda sekeluarga pulang semula ke Perlis dengan menaiki kereta api hingga ke Padang Besar.
Dari Padang Besar, baginda sekeluarga menaiki kereta api troli yang ketika itu lebih dikenali sebagai "gek-gek" yang ditolak dengan tenaga manusia sehingga ke stesen Bukit Keteri kerana ketika itu tiada perkhidmatan kereta api antara Padang Besar dan Arau.
Dari stesen Bukit Keteri, baginda dan keluarga dibawa ke Istana Arau untuk proses pelantikan Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Raja Perlis.
Ketika bergelar Raja Perempuan Besar Perlis berikutan kemangkatan almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 16 April 2000, Tengku Budriah lebih gemar memenuhi ruang waktunya dengan menziarahi rakan-rakannya yang sakit atau berkunjung ke dusun durian baginda.
Almarhum juga menerima banyak menghadiri majlis rasmi tertentu semata-mata ingin bertemu rakyat dan rakan-rakan.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Poyo je lah site ni.
takziah kpd raja perlis. kpd mamat yg ckp poyo tu. xreti adap ke?
Patik merafak sembah setinggi-tinggi takziah kebawah DYMM Raja Perlis serta Kerabat Di-Raja Perlis di atas Kemangkatan YMM Raja Perempuan Besar Perlis. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah baginda dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beramal soleh dan sabar. Al-Fatihah
Post a Comment