Dalam akuan bersumpahnya yang bertarikh pada 1 Ogos lalu, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dr Mohamed Osman yang memeriksa Saiful beberapa jam sebelum dia (Saiful) membuat laporan polis, berkata beliau tetap berpegang dengan hasil pemeriksaannya itu.
Pada 28 Jun lalu, Saiful membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Pusrawi dan kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur, sebelum membuat laporan polis, mendakwa dia diliwat oleh ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di Pusrawi, Saiful diperiksa oleh Dr Mohamed Osman. Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada pihak media, doktor tersebut menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.
Dr Mohamed Osman juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara sebut.
Sebelum ini, Hospital Pusrawi menyatakan bahawa Dr Mohamad Osman tidak membuat sebarang pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Saiful.
Tersebar di media
Dalam akuan bersumpahnya itu, Dr Mohamed Osman berkata, Saiful pada mulanya menemui seorang doktor wanita tetapi kemudiannya dirujukkan kepada beliau kerana Saiful mahu diperiksa oleh doktor lelaki.
Katanya, berdasarkan pengalamannya, beliau pernah berdepan dengan ramai pengadu seumpama itu. Oleh itu, beliau menjalankan peperiksaan yang sesuai ke atas pesakit tersebut.
Dr Mohamed Osman berkata, beliau telah menjalankan pemeriksaan rektum dan mencatatkan laporannya dalam 'folder pemeriksaan perubatan standard' Hospital Pusrawi.
Katanya, beliau kemudiannya terperanjat apabila mendapat tahu bahawa laporan pemeriksaan tersebut telah tersebar luas dalam media dan internet.
Menurutnya lagi, beliau hanya mengetuai tentang kebocoran laporan perubatan tersebut selepas beliau pergi bercuti. Menurut pihak hospital tersebut, Dr Mohamed Osman bercuti sejak pertengahan bulan Julai lalu.
Sehubungan itu, Dr Mohamed Osman menegaskan bahawa beliau tidak tahu siapakah yang bertanggungjawab membocorkan laporan tesebut kepada sebarang pihak ketiga.
Dalam akuan bersumpahnya itu juga, beliau mencerita tentang tiga pertemuannya dengan dua pegawai polis yang mengambil kenyataannya.
Laporan bertaip
Katanya, pada bulan Julai 2008, kenyataannya diambil oleh ASP Rosmi Mat Derus dari jabatan siasatan jenayah (CID) balai polis Brickfields.
Menurutnya, ASP Rosmi menulis kenyataannya, setebal kira-kira sembilan atau sepuluh halaman, dalam bahasa Malaysia dan membawa salinan yang telah ditaip pada minggu berikutnya untuk ditandatanganinya.
Dr Mohamed Osman mengakui bahawa beliau tidak memahami kebanyakan yang ditulis dalam kenyataan tersebut, kerana beliau tidak fasih berbahasa Malaysia.
Bila ditunjukkan salinan kenyataan yang bertaip itu, beliau terpaksa membuat pindaan-pindaan dengan bantuan pegawai polis berkenaan.
Katanya, beliau bertanya mengapa nama Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat pada beberapa perenggan, sedangkan ia telah pernah disebut sepanjang beliau memberi kenyataan, atau pun diberitahu oleh pesakit (Saiful) identiti orang yang didakwa melakukannya.
Katanya, ASP Rosmi menjawab Anwar adalah tertuduh dan menganggap ketika itu, beliau (Dr Mohamed Osman) sudah pun tahu yang Anwar adalah orang yang dituduh selepas membaca akhbar.
Menurut Dr Mohamed Osman lagi, seminggu kemudiannya, DSP Choo dari bahagian CID balai polis Dang Wangi, juga mengambil kenyataannya.
Kes berprofail tinggi
Katanya, pegawai berkenaan memintanya menceritakan semuanya sekali lagi, dan beliau menceritakan semua yang diketahuinya secara terperinci mengenai keseluruhan prosedur berkaitan dengan pemeriksaan yang dijalankan ke atas pesakit tersebut.
Menurutnya, mereka berbicara dalam bahasa Inggeris dan DSP Choo menulisnya dalam Bahasa Malaysia.
Kenyataan bertulis tersebut kemudiannya diterjemah kepadanya dalam bahasa Inggeris dan beliau kemudiannya diminta menandatangani empat hingga lima halaman.
Menurutnya lagi, di peringkat permulaannya, DSP Choo memberi tanggapan bahawa beliau akan didakwa jika enggan bekerjasama dengan pihak polis.
Katanya, siasatan polis yang berterusan serta kes berprofail tinggi itu, begitu mengganggunya sehingga beliau bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarganya.
Kira-kira seminggu selepas pertemuan kali ketiga dengan pihak polis, beliau memohon untuk bercuti dan meninggalkan Malaysia bersama keluarganya.
Dr Mohamed Osman dijadual kembali semula bertugas di Hospital Pusrawi pada 1 Ogos - kebetulan pada hari dia menandatangani akuan bersumpahnya - tetapi tidak dapat dihubungi.
Semalam, Mstar online memetik Pengarah Hospital Pusrawi, Dr Kamaruddin Ahmad sebagai berkata, Dr Mohamed Osman mungkin bimbang untuk kembali bertugas.
No comments:
Post a Comment