KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Disebabkan kelemahan kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, kini agama Islam semakin dipersoalkan oleh pelbagai pihak sehingga mengundang rasa kurang senang umat Islam di negara ini.
Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang mengganggap titik mula kelemahan Abdullah terserlah apabila sembilan Menteri Kabinet bukan Islam menyerahkan memorandum bantahan kepada Abdullah kepada isu yang melibatkan agama Islam dan merupakan yang paling bersejarah selepas negara mencapai kemerdekaan lima dekad.
"Memorandum itu juga merupakan pakej bantahan rasmi rakan-rakan Umno dalam komponen Barisan Nasional terhadap negara Islam yang diumumkan Dr Mahathir kira-kira empat tahun sebelum peristiwa bersejarah ini," kata Ustaz Ahmad.
Selepas peristiwa bersejarah itu katanya, berderetan timbul isu-isu mempertikaikan Islam yang ditaja oleh Majlis Peguam dan pelbagai kumpulan pejuang hak asasi manusia.
Ini termasuklah rancangan penubuhan Inter Faith Commision of Malaysia (IFCM), public forum entitled "Federal Constitution: Protection for All", Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan termasuk juga isu perbicaraan Lina Joy yang mendapat perhatian hingga ke peringkat antarabangsa.
"Kesemua ini adalah fenomena yang secara tabienya adalah hasil dari dasar sekular negara yang menjadikan Islam hanya sebagai agama ritual dan upacara.
"Ia adalah ibarat buah yang sudah cukup ranum dari pohon sekular yang ditanam, dibajai dan dijaga bersungguh-sungguh selama 50 tahun dan tibalah musim menuainya dalam era Abdullah Badawi," katanya yang menulis pandangan itu dalam blog peribadinya.
Kebetulan pula kata Ustaz Ahmad, ia mudah 'dituai' kerana kepimpinan Abdullah yang lemah membuka ruang untuk pelbagai pihak mencabar kerajaan Umno-BN apatah lagi mantan bosnya sentiasa merendah-rendahkan kepimpinan beliau.
"Maka forum awam bertajuk 'Conversion to Islam: Article 121 (1A) of the Federal Constitution, Subashini and Shamala Revisited' adalah hanya salah satu dari rangkaian fenomena tersebut.
"Ia tidak akan dapat diselesaikan dengan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada mereka yang terlibat menganjurkannya. Tindakan seperti itu hanya ibarat menyapu sampah ke bawah tikar," katanya. - mks. _
No comments:
Post a Comment