"Anything else?" Itu soalan yang biasa diajukan oleh seseorang yang diberikan projek atau pelabur kepada seorang Menteri Besar, anggota Exco atau pihak berkuasa yang meluluskan projek, selepas selesai perbincangan yang formal.
Kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Kedah tidak terkecuali dari sapaan soalan seperti itu. Namun jawapan yang diberikan amat tegas: "No!"
Antara pembaharuan yang dilakukan oleh Dato' Seri Azizan Abdul Razak sebaik mengambil alih kerajaan ialah penegasan bahawa tiada kos bawah meja bagi apa saja projek yang melibatkan kerajaan negeri.
Di sebalik kenyataan Menteri Besar Kedah itu, apakah bermakna sewaktu kepimpinan terdahulu memang terdapat kos bawah meja? Ustaz Azizan tidak peduli cerita terdahulu. Yang penting di zamannya, tiada tempat untuk rasuah.
Rasuah sukar untuk dibuktikan. Kadangkala rasuah hanya boleh diadili oleh pemikiran kritikal rakyat, bukannya mahkamah. Apatah lagi apabila BPR sendiri dipertikaikan kewibawaannya.
Misalnya, di zaman BN, hasil balak yang diterima kerajaan negeri untuk satu hektar balak cuma RM600. Sedangkan melalui tender terbuka sekarang hasil sehektar berlipatganda dari dahulu. Pemikiran rakyat yang waras tentu tidak dapat menerima bahawa pembalak hanya keluarkan RM600 itu sahaja untuk sehektar. Tentu ada 'kos' lain.
Kini kerajaan pimpinan Ustaz Azizan Abdul Razak merasai satu kejutan apabila pelabur-pelabur asing menunjukkan minat yang luar biasa untuk melabur di negeri ini. Tiada kos 'bawah meja' dikatakan menjadi faktor utamanya.
Dalam perkembangan terbaru Kerajaan Negeri merancang menambah 450 ekar lagi kawasan pelaburan iaitu Fasa IV Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dengan nilai sebanyak RM100 juta, memandangkan fasa sedia ada tidak lagi mampu menampung kehendak pelabur yang membuat permohonan.
Sebuah syarikat semi konduktor terbesar Fuji Electric Semiconductor (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan akan membuat pelaburan sebanyak kira-kira RM 1.4 Bilion lagi untuk tujuan pembangunan dan memantapkan sistem operasinya di KHTP.
Sebelum itu, First Solar Incorporated mengumumkan pelaburan sebanyak AS$680 juta (RM2.2 Bilion) di kawasan yang sama. Ia dijangka akan mengwujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam bidang pengurusan, perakaunan, kejuruteraan, sumber manusia dan operasi kilang apabila keempat-empat kilangnya beroperasi sepenuhnya menjelang tahun hadapan.
Di Langkawi Permata Kedah, sebuah syarikat asing 99' East Langkawi Living menjalin kerja sama dengan Kedah Corporation membangunkan bidang pelancongan di pulau peranginan itu. Projek bernilai RM1.9 billion itu akan dilaksanakan di Bukit Malut, Mukim Ulu Melaka.
Hal ini berlawanan sama sekali dengan dakwaan sebelum pilihanraya umum ke-12 bahawa industri pelancongan, khususnya bidang perhotelan akan gulung tikar sekiranya Kerajaan Negeri bertukar tangan.
Sebuah syarikat swasta EDEN Incorporated Berhad telah membuat pelaburan sebanyak RM100 juta untuk membina tangki tambahan di Under Water World Langkawi.
Di bidang pertanian, sebuah syarikat dari Los Angeles iaitu H&T Seafood Incorporated melabur dalam projek ternakan ikan air tawar di Tasik Pedu. Ia melibatkan 3,000 sangkar ikan berskala besar.
Sebuah syarikat dari Taiwan Ocean Ranch Limited sedang membuat pelaburan di bidang ternakan ikan dalam sangkar menggunakan teknologi Norway. Projek tersebut dijalankan di Zon Industri Akuakultur di Pulau Simpang Tiga, Langkawi.
Projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dimulakan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri yang lalu kini diteruskan dengan versi baru dengan tidak melibatkan pengambilan tanah sawah milik rakyat.
Jika dahulu pelaburan untuk ZIPY hanya berjumlah RM53 Billion, kini ianya bertambah kepada RM83 Billion, sekaligus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri yang ada sekarang bertambah.
Di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk, projek mega tersebut dijangka memberi keuntungan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM200 juta setahun.
Pelaburan asing di negeri ini dijangka akan bertambah dengan pesat pada tahun hadapan, ekoran beberapa misi perdagangan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri ke luar negara. Antaranya ke Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Kadar inflasi di negara ini makin buruk. Ekonomi tidak menentu, angkara Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tiba-tiba pelaburan berpusu-pusu masuk ke Kedah. Ia fenomena yang menarik.
ZULKIFLI YAHAYA
KedahLanie@gmail.com
Http://KedahLanie.blogspot.com/
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment