Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur 21 November (semalam) menjadi saksi kepada kehadiran kira-kira 1,000 orang yang hadir memenuhi ruang Dewan Utama untuk melihat dengan sendiri, pasukan 'tentera merah' yang segak bergaya, dengan baju seragam siap siaga dalam perbarisan tabik hormat.
Dua jam sebelum pelancaran tersebut kira-kira jam 8.00 malam, sejumlah 50 anggota unit amal Lembah Pantai sudah berada di luar kawasan Markaz, membuat latihan terakhir kawat sambil menantikan ketibaan tokoh yang tidak asing lagi Naib Presiden PAS Mohamad Sabu merasmikan pelancaran tersebut sekaligus menyampaikan ceramah Perdananya.

Walaupun tidak sehebat era sebelum pilihan raya 2008,'reformasi' 1999, namun persekitarannya masih 'hidup' dengan kehadiran orang ramai yang masih tidak putus-putus memberi sokongan kepada perjuangan PAS dan rakan seangkatannya dalam Pakatan Rakyat.

Lebih menarik dewan turut kelihatan barisan depan beberapa tetamu dan orang ramai yang terdiri daripada kaum Cina dan India yang turut berminat dengan pelancaran Unit Amal tersebut.
Paling mengagumkan, seorang lelaki tua berusia 60-an berkerusi roda datang bersendirian semata-mata untuk melihat sendiri perasmian dan memberi sokongan kepada pasukan yang mendapat jolokan 'tentera merah' sewaktu membantu mangsa banjir besar yang melanda Johor sekitar tahun 2006 dan 2007 lalu.

Beliau mahu misi unit amal iaitu berkhidmat secara sukarela untuk membangun semula budaya generasi muda Malaysia melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan berdasarkan Islam menjadi teras dan prinsip utama yang mesti diteruskan oleh pasukan Tentera Merah.
No comments:
Post a Comment