"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, February 23, 2011

Awas Rakyat Malaysia...!!!

Berita 1:
RON95 tidak naik masa terdekat
Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kerajaan sedang mengkaji pelbagai opsyen untuk tidak menaikkan harga petrol dalam waktu terdekat ini walaupun terdapat beberapa negara telah menaikkannya dua kali dalam tempoh tiga bulan berikutan kenaikan ketara harga minyak dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kewangan sedang mencari opsyen lain bagi mengelakkan kenaikan itu.

Pada masa sama, beliau turut menafikan khabar angin kononnya harga petrol RON95 akan dinaikkan dalam waktu terdekat ini.

"Siapa kata harga RON95 akan naik? Itu khabar angin. Setakat ini tidak. Saya tidak mahu jadi tukang nujum pula, setakat ini kerajaan sedang melihat secara keseluruhan kerana untuk menjimatkan belanja bukan hanya dengan cara menaikkan harga minyak.

"Banyak cara dan opsyen lain boleh dilakukan supaya tidak membebankan rakyat berikutan kenaikan harga minyak dunia yang terlampau tinggi ketika ini," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Pelaksanaan Projek EPP3-Permodenan Bengkel Automotif (ATOM) di Pusat Latihan Harta Intelek di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika kerajaan menaikkan harga minyak, harga barang lain akan naik lebih tinggi dan begitu juga jika kerajaan tidak memberi subsidi untuk petrol, diesel serta empat produk makanan kawalan, harga kesemua itu akan jauh lebih tinggi dari sekarang.

Mengenai setakat mana kerajaan boleh bertahan tidak menaikkan harga petrol, beliau berkata:

"Saya tidak boleh jawab kerana semakin lama bertahan, semakin besar tanggungan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan."

Katanya, keadaan itu mungkin menyebabkan projek-projek yang sedang dijalankan tidak dapat diteruskan kerana hendak menampung subsidi.

"Kalau harga minyak terus naik seperti sekarang, tanggungan subsidi akan mencecah RM14 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion untuk subsidi dan sekiranya harga minyak terus naik, kos itu akan meningkat kepada RM14 bilion.
Berita 2:
Harga petrol mungkin naik?
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Kerajaan dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan subsidi minyak petrol berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah di pasaran dunia ketika ini.

Justeru itu, kata Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Teknologi Nasional (Uniten), Dr. Rusinah Siron, rakyat perlu bersedia menerima kemungkinan kenaikan harga petrol di pasaran tempatan meskipun kerajaan memberi jaminan tidak akan sewenang-wenang menaikkan harganya.

"Kita bercakap soal globalisasi yang mana Malaysia juga tidak boleh mengelak daripada kesan negatif daripada kenaikan harga petrol di pasaran dunia.

"Kerana itu, orang ramai perlu rasional dalam menerima kenaikan harga minyak dunia ini serta kesannya kepada ekonomi negara," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan kerajaan terpaksa mengurangkan subsidi minyak petrol berikutan kenaikan berterusan harga minyak di pasaran dunia yang berharga RM315 setong hari ini.

Beberapa negara telah pun mengambil langkah menaikkan harga minyak masing-masing termasuk China kelmarin sebanyak 4.6 peratus iaitu kenaikan kedua dalam tempoh tiga bulan selepas kenaikan sebesar 14.4 peratus pada Disember lalu.

Sepanjang tahun lalu pula, kerajaan memberi subsidi RM6.3 bilion termasuk untuk petrol dan diesel termasuk RM3.3 bilion bagi subsidi petrol RON95.

Bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa harga minyak dunia, subsidi kerajaan dijangka bertambah pada tahun ini.

Dr. Rusinah menambah, beberapa faktor sama ada secara langsung atau tidak langsung ketika ini juga semakin memperlihatkan bahawa harga minyak dunia akan terus melonjak pada masa depan.

Antaranya, kata beliau, ketidaktentuan politik di negara-negara Arab yang merupakan negara pengeluar minyak terbesar dunia, bencana alam, kemerosotan sumber bumi dan tekanan ekonomi global.

"Faktor-faktor ini sangat sukar untuk dijelaskan oleh kerajaan terutamanya di kalangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang akan menanggung kesan daripada kenaikan harga minyak tempatan walaupun lima sen," kata beliau.

Pendapat yang serupa dikongsi oleh pemerhati ekonomi, Nassrul Hakim Jani yang tidak menolak kenaikan harga minyak boleh berlaku kepada mana-mana negara termasuk Malaysia, berdasarkan krisis global ketika ini terutama pergolakan politik di negara Arab.

Begitu pun, kata bekas pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Koordinator Pusat Informasi Usahawan, Kolej Profesional Mara, Indera Mahkota, Pahang itu, kerajaan perlu memastikan kenaikan harga minyak tempatan tidak berlaku secara drastik dan terlalu tinggi sehingga menimbulkan rasa panik di kalangan rakyat.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga perlu memberi jaminan harga barang keperluan yang pasti naik bersama kenaikan harga minyak akan kembali kepada harga asal selepas penurunan harga bahan mentah itu.

"Sebagai antara negara pengeluar minyak juga, kerajaan masih boleh mengambil keuntungan daripada kenaikan harga minyak di pasaran dan menggunakannya untuk projek pembangunan yang lain.

"Malah, keuntungan itu juga boleh memastikan kerajaan mengekalkan subsidi minyak seperti yang diberikan ketika ini atau tidak menaikkan harga minyak terlalu tinggi," kata beliau.
1Malaysia nak kena kencing lepas PRK Merlimau & Kerdau..!