"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, August 04, 2009

Bukti Pembohongan Dakwaan UMNO Memperjuangkan Islam: Isu Pengagihan Zakat Pada Bukan Islam

Saya cuma nak bagi satu contoh kebodohan UMNO di dalam memperjuangkan Islam. Hakikat yang sebenarnya adalah UMNO sendiri menolak Islam. Hasilnya, Islam yang mereka dakwa memperjuangkannya sebenarnya adalah ”gimik” politik untuk memperdaya orang Melayu dan Islam bagi menyokong mereka.

Antara yang jatuh dalam gaung dan lubang UMNO ini adalah puak2 fraksi UMNO sendiri di kalangan pimpinan PAS. Saya tak tahu bagaimana boleh ada pemimpin2 PAS yang mudah ditipu oleh UMNO.

Contoh yang saya nak bawa adalah cadangan mengagihkan zakat kepada orang bukan Islam di Selangor. Cadangan itu asalnya dari YB Kota Damansara, Dr Nasir. Kebetulan rumah saya dalam kawasan YB Dr Nasir ini.

Saya mendapat maklumat, orang-orang UMNO di kawasan beliau telah mengadakan demonstrasi secara spontan membantah cadangan Dr Nasir tersebut. Orang-orang UMNO ini dengan begitu lantang menentang cadangan ini sebagai manifestasi komitmen mereka kepada perjuangan Islam.

Malangnya, amalan memberi wang zakat kepada orang bukan Islam ini dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri sewaktu di Mekah dan Madinah. Memprotes cadangan Dr Nasir ini adalah seperti menempelak Nabi SAW kerana sewaktu Nabi SAW hidup, Baginda telah mengagih-agihkan zakat kepada orang bukan Islam yang termasuk orang-orang musyrik yang menyembah berhala.

Malahan, polisi ini diteruskan oleh Saidina Abu Bakar sendiri sewaktu Saidina Abu Bakar menjadi Khalifah.

Kalaulah zakat telah diberi kepada orang bukan Islam, terutama orang India estet yang jelas miskin, sejak 40 tahun dahulu sekarang ini jumlah orang Islam di Selangor mungkin sudah mencecah 60-70%. Tapi, sebab zakat dijaga oleh Nasionalis Sekular seperti UMNO, maka perkara itu tidak berlaku.

Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, dan bukannya hak UMNO. UMNO jangan bersandiwara dan berhenti menuduh PAS dikawal oleh DAP. Hakikatnya, UMNO dikawal tokeh2 judi, arak dan kabaret.

Jelaslah kepada kita bahawa UMNO bergantung kepada isu-isu sensitif dan sensasi ini untuk menggambarkan kepada umum bahawa mereka juga memperjuangkan Islam. Walhal, sewaktu Dr Nasir membuat cadangan ini, pemimpin mereka, Dato Najib Tun Razak baru sahaja meluluskan 10 lesen ”Special Draw” kepada 3 syarikat Judi terbesar di Malaysia, yakni Sports Toto, Magnum dan lagi satu saya tak ingat.

Takda pulak kita tengok orang2 UMNO ni keluar berdemo bila pimpinan mereka berselingkuh dan bersekedudukan dengan tokeh2 judi dan arak ni pula ye?

Saya nak cadangkan Pemuda UMNO menubuhkan Briged Calrsberg dan Putri UMNO menubuhkan ”Skuad Magnum” bagi mengisytiharkan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi kepada tokeh2 judi, arak dan kabaret di Malaysia ini.

Saya mencadangkan Pemuda UMNO dan Putri UMNO mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih mereka di Zouk dan Hard Rock Cafe bagi memuliakan tokeh2 kabaret yang menjadi kawan UMNO yang sejati.

Sedarlah wahai rakyat Malaysia dan ahli2 PAS sekelian. Jangan lah percaya kata-kata manis UMNO kononnya mereka mahu memperjuangkan Islam. Sejak bila pulak puak2 ni nak perjuangkan Islam sedangkan mereka berselingkuh dengan tokeh2 judi, arak dan kabaret?

Yang saya sedih, ada ahli dan pimpinan PAS boleh terpedaya dengan kata-kata kosong UMNO ini sampai sanggup nak bawak PAS bekerjasama dengan UMNO/BN. Kalau jadilah PAS tubuh kerajaan campuran dengan BN, alamat Presiden PAS nanti terpaksa membaca doa selamat apabila ada kedai2 judi yang baru dibuka.

Alhamdulillah ada Tok Guru Nik Aziz yang bijak dan pandai. Dan usaha tersebut telah gagal.

Tulang Besi

PAS Takut DAP, UMNO Pula Takut Tokeh Judi

HEHEHEHEHE. UMNO berhempas pulas cuba menyakinkan rakyat kononnya PAS takut kepada DAP. Dan PAS sudah terpaksa melonggarkan prinsip kerana takut kepada DAP.

Saya sempat berdebat dengan beberapa orang kuat UMNO dalam satu forum. Dan, seorang pemuda UMNO bernama X telah mencabar saya untuk mengadakan satu demonstrasi bagi pihak PAS membantah semua pusat maksiat di Selangor.

Saya menjawab saya sanggup tapi demonstrasi itu mesti di atas nama UMNO dan bukannya PAS. Namun, saya akan gunakan pengaruh saya yang tidak seberapa ini untuk membawa pemuda2 PAS di Selangor ke demo tersebut.

Tapi keseluruhan demo mesti diaadakan atas nama UMNO. Si X tadi menggelabah dan tak dapat jawab. Dia tak sanggup nak ”kommit” dan penghabisannya dia cuma mampu menuduh PAS tunduk kepada DAP. Itu sahaja.

Saya jawab balik, kalau PAS tunduk kepada DAP, maka UMNO tunduk pada tokeh2 Judi, Arak dan kaberet/night club. Saya kata lagi, di Selangor, kalau ada orang Selangor yang mahu pergi mabuk dan berbuat maksiat, mereka akan pergi ke Kuala Lumpur (yang ditadbir oleh UMNO). Mereka jarang berbuat demikian di Selangor kerana di Selangor, terutama sekarang, ada JAIS yang semakin agresif.

Dahulu di bawah BN, kononnya diadakan undang2 yang menghalang orang Islam berjudi dan minum arak, tapi jarang dikuat kuasakan. Malahan, apabila ada penguatkuasaan, Mufti pula dipecat hanya kerana Marina Mahathir marah.

Mana mungkin UMNO mahu memastikan amalan haram ini berkurang kerana UMNO lah yang mengeluarkan lesen judi, arak dan pusat2 maksiat seluruh negara. UMNO dan kabaret/night club adalah ibarat isi dan kuku. Ibarat irama dan lagu, kalau dipisah lemah tanpa berjiwa, hampa. Begitulah juga UMNO dan Judi serta arak. Ibarat aur dengan tebing.

Dan hubungan intim UMNO dan maksiat ini wujud sejak sebelum merdeka lagi dan bukan baharu. Yang terbaru, Najib Tun Razak meluluskan 10 lesen ”Special Draw” yang baru TANPA PERMINTAAN dari mana-mana kaum di Malaysia. Hanyalah, tindakan Najib dan UMNO secara sukarela dan niat baik UMNO kepada tokeh2 judi di Malaysia.

Kalau PAS ikut sama tubuh kerajaan campuran dengan UMNO tempohari, terpaksalah ulama-ulama dalam PAS membaca doa selamat sewaktu pembukaan cawangan2 judi yang baru. Alhamdulillah, PAS tidak.

Dan sebab itulah si X terpaksa menarik diri dari menganjurkan perhimpunan tersebut kerana X pun tahu hubungan intim UMNO dengan maksiat. Ibarat dua sejoli yang tidak dapat dipisahkan.

Setakat ini, PAS di Selangor dan negeri2 Pakatan sedang berusaha giat menguat-kuasakan undang2 yang sedia ada terhadap orang Islam supaya mereka tidak terlibat dalam gejala maksiat. Itu yang mampu.

Cuba baca kenyataan Dr Shafiee yang terbaru:

"http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22026&Itemid=1"

Kalau nak harap UMNO, kucing tumbuh tanduk pun belum tentu lagi.

Tulang Besi

1 Ogos 2009 hari membanggakan rakyat Malaysia

Apabila LRT Star yang aku naiki itu melalui kawasan berhampiran Dataran Merdeka, aku lihat padang Dataran itu kosong, tak ada manusia. Tidak menghairankan. Kawasan di situ dipenuhi dengan pasukan polis FRU lengkap dengan trak-trak merah mereka yang siap sedia dengan meriam air.

Bagaimanapun LRT itu kemudian berhenti di Stesen Bandaraya. Pintu kenderaan itu dibuka yang dikatakan sebelum ini tidak boleh turun. Aku segera turun.

Aku lihat Jalan Kucing telah dipenuhi sebahagiannya dengan penunjuk perasaan yang berbaju merah dan hitam. Kumpulan yang pertama aku lihat mereka sedang berarak ke arah Mesjid Negara. Kumpulan yang kedua berada di sekitar Kompleks Sogo. Aku turun dan menyertai kumpulan di Kompleks Sogo.

Tembakan bermula


Tidak sampai lima minit berada di situ tembakan gas pemedih mata kedengaran dan sesetengah orang ramai yang berhimpun mencari tempat selamat. Aku melihat pasukan polis memburu rakyat yang berhimpun untuk menyatakan bantahan mereka terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang telah berumur kini hampir 50 tahun.

Kehadiranku pada petang ini dalam perhimpunan mendesak supaya ISA dimansuhkan tidak penting. Sama ada aku datang atau tidak datang, anak-anak muda, aktivis-aktivis yang berani akan tetap menjayakan perhimpunan bersejarah ini untuk mengkuburkan ISA.

Aku yang telah agak tua ingin turut sama. Aku ingin sertai detik yang bersejarah ini. Aku tidak mahu malu pada diriku sendiri bersenang-senang di rumah pada hujung minggu sedangkan sebahagian rakyat yang sedar sedang berhempas pulas berdepan polis, gas, gari, tangkapan, undang-undang dan penjara untuk memperjuangkan hak demokrasi dan kebebasan rakyat dengan menentang ISA.

"Jangan lari," teriak satu suara.

Kemudian kelihatan orang kiri kananku lari. Orang yang berteriak jangan lari itu juga akhirnya lari apabila sebiji canister gas pemedih mata jatuh tak jauh dari kami. Ketika itu aku sedang berada di sebatang jalan antara Kompleks Sogo dengan sebuah bangunan bank berhadapan stesyen LRT Bandaraya.

Ada etika terhormat


Aku bukan hero. Jadi aku pun turut sama berundur ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman. Hanya aku ingatkan diri sendiri kalau berundur pun mesti ada etika secara terhormat, jangan lari cabut macam seorang penakut. Pengalaman masa muda-muda sewaktu mahasiswa dahulu mengajarku supaya jangan takut sangat pada gas pemedih mata.

Tapi kini sudah tua. Aku sentiasa memerhatikan di mana jalan selamat sekiranya diburu FRU.

Aku nampak anak-anak muda sungguh berani. Anak-anak muda yang ramai di tempat aku berada kelihataan begitu berazam menyatakan bantahan mereka terhadap ISA.

Mereka memakai baju-baju sama ada berwarna merah atau hitam yang tertulis dengan kata-kata antara lainnya "ISA Akta Zalim".

Bila diri sudah terasa tua, pada generasi mudalah harapan kita terletak supaya agenda perubahan masyarakat untuk keadilan dan kebebasan diteruskan. Dan aku hadir antara lainnya ialah untuk memberi sokongan kepada anak-anak muda yang berani berdepan polis dan alat negara dalam usaha membantah ISA.

Jika esok lusa aku mati, anak cucuku yang dapat membaca tulisan ini akan menyedari bahawa ayah atau datuk mereka pernah berada di atas jalanraya menuntut ISA dimansuhkan.

Perhimpunan menentang ISA di kawasan sekitar Sogo dan kemudian di Jalan Tuanku Abdul rahman ini disertai rakyat pelbagai kaum, peringkat umur. Orang yang berumur 50-an pun macam aku agak ramai. Lelaki dan perempuan. Kebanyakannya semuanya sudah merah mata masing-masing kerana pedih asap gas.

Tawar garam


Ada seorang muda yang kenal padaku menawarkan garam kepadaku untuk mengurangkan pedih. Aku ucapkan terima kasih, kerana masih boleh bertahan. Sebenarnya aku tak tahu bagaimana hendak menggunakan garam itu.

Tiba-tiba pasukan FRU memburu kami, dan seperti orang lain aku berundur ke lorong belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman iaitu kawasan orang berniaga pakaian, kuih muih dan air. Aku harus berhati-hati supaya tidak terjerumus ke kuali minyak panas yang sedang mengoreng cempedak atau pisang.

Aku rasa aku telah tersilap berundur di kawasn sesak seperti itu.

Aku bergerak ke arah Jalan Mesjid India. Kemudian aku lihat sepasukan polis biasa berkaki ayam mengejar seorang pemuda pembantah ISA yang berpakaian t-shirt hitam dengan lambang anti-ISA, berumur lewat 20-an. Aku melihat jam di tangan.

Ketika itu pukul 3.05 petang, anak muda Melayu itu diheret oleh polis beruniform biru itu dan disumbat ke dalam kereta proton wira Polis berwarna putih. Aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu pemuda itu walaupun aku seorang peguam.

Begitu angkuh polis-polis yang menangkap pemuda itu dan mengherdik orang ramai di kawasan Jalan Mesjid India berhadapan Panggung Collesium. Tetapi aku lihat orang ramai tidak takut dengan jerit herdik itu. Orang ramai faham apa yang dibantah ialah ISA.

Dari segi undang-undang atau lebih tepatnya jurisprudence, aku dapat melihat di hadapan mata bagaimana rakyat biasa bangun untuk menentang satu undang-undang yang mereka anggap zalim.

Tekan suara rakyat


Aku dapat menyaksikan bagaimana jentera atau mesin negara dalam bentuk polis sedang menekan suara rakyat. Inilah jentera atau mesin negara dalam bentuk polis atau tentera yang selama ini bersama-sama undang-undang seperti ISA menjadi tunggak untuk sesebuah kerajaan berkuasa.

Hari 1 Ogos ini hari yang membanggakanku sebagai rakyat Malaysia. Ternyata kerajaan Barisan Nasional yang telah berkuasa lebih 50 tahun ini dengan dibantu oleh ISA sedang ditentang oleh rakyat jelata. satu waktu dulu hanya parti-parti politik pembankang, para pelajar dan intelektual membantah ISA.

Tetapi kini Kuala Lumpur pada petang Sabtu ini hampir lumpuh apabila rakyat bangun bersatu menyatakan bahawa ISA yang telah berumur 50 an itu mestilah dimansuhkan.

ISA tidak sesuai lagi dengan dunia sekarang yang rakyat semakin sedar hak kebebasan dan hak demokratik mereka sebagai rakyat dalam sebuah negara Malaysia yang merdeka.

Penahanan tanpa bicara yang menjadi asas ISA mesti ditentang. Rakyat telah nyatakan tuntutan mereka. Kerajaan BN yang ada sekarang perlu akur. Pindaan sekadar perubahan kosmetik tidak mencukupi.

Pemansuhan total ISA adalah tuntutan rakyat.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Hassan Karim-

I.S.A. (Ikut Suka Aku)

Kamilah hakim
Kamilah peguam
Kamilah saksi-saksi
Kami penentu masa depan kamu.

Kamulah yang tahu kenapa kamu di sini
Kamu yang mencari tempat ini
Kamu yang memilih untuk ke sini
Kamu suka tempat ini
Kamu menentukan cara hidup kamu.

Kami tidak menyuruh kamu ke sini
Kami tidak suka kamu ke sini
Kami tidak penjarakan kamu
Kenapa kamu penjarakan diri sendiri.

Tak sayangkah kamu kepada anak-anak?
Tak sayangkah kamu kepada emak ayah?
Tak sayangkah kamu kepada isteri?
Kamu menganiaya mereka!
Kamu menganiaya mereka!

Kawan-kawan kamu baik
Kawan-kawan kamu menolong kamu
Kawan-kawan kamu menghantar isteri kamu ke sana ke mari
Kawan-kawan kamu khidmat pada kamu
Kamu percaya pada kawan-kawan kamu?

Tahukah kamu betapa banyak telah berlaku?
Kawan-kawan curang kepada kawan?
betapa banyak isteri pejuang dikhianati kawan?
berapa banyak isteri pejuang memohon cerai?
berapa banyak isteri pejuang melaku curang?

Kamu menentukan ibu kamu derita
Kamu penyebab ayahmu derita
Kamu penyebab anak-anakmu menderita
Kamu penyebab isterimu derita
Kamu penyebab jika isterimu berlaku curang.

Cari jalan keluar dari sini
Kamulah menentukan nak keluar atau terus di sini
Kamu nak keluar besok?
Kamu nak keluar minggu depan?
Kamu nak keluar bulan depan?
Kamu nak keluar tahun hadapan?
Kamu nak keluar 10 tahun lagi?
Kamu yang menentukan!
Saudara.., cari lah jalan keluar!
Kamu menentukan masa depan kamu...

Kamu di sini kerana kamu!
Kamu mementingkan diri!
Kamu nak naik!
Kamu nak terkenal!
Kamu nak pandangan kamu didengar!
Kamu nak kamu dijulang!
Kamu nak nama terbilang!
Kami apa peduli!
Kami jaga keamanan...
Kerana kamu, ucapan kamu, hasutan kamu
Nyawa orang lain terancam
Harta orang lain terancam
Keselamatan orang lain terancam

Kami tak kira menteri
Kami tak kira datok
Kami tak kira Anwar
Kami tak kira Karpal
Kami tak kira Tok Guru
Kami jaga keamanan...
Kami jaga keselamatan

Pintu untuk keluar ada
Pintu untuk taubat ada
Pintu untuk penyesalan ada
Pintu untuk kepangkal jalan ada
Kamulah penentu untuk memilih pintu
Pintu untuk keluar dari sini kamu tentukan

Nak menjadi hero?
Nak menjadi pejuang?
Nak kepada sanjungan?
Nak pertahan pendapat kamu?
Kamulah memilih berapa lama di sini!
(Oleh Hj Mohamad Sabu) * 16hb. Mei, 2009

* Sajak ini dikarang sendiri dan dideklamasikan oleh Tuan Hj Mohamad Sabu di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar pada 16 Mei 2009 (Majlis Jamuan Makan & Pengumpulan Dana Utk Mangsa ISA)

*Ia ditujukan buat semua rakyat buat yang belum kenal, nak mengenal dan telah mengenal ISA, yang belum dan yang telah masuk atau keluar dari ISA itu sendiri.

*Untuk makluman akta ISA itu, dalam dunia ini hanya 4 buah negeri yang masih mengekalkannya iaitu Malaysia, Singapura, Burma dan Israel... yang lain semua dah buang dan tutup buku. (Kem Guantanamo bukan seperti ISA... ia tidak dijalankan di Amerika kerana undang-undang Amerika tidak membenarkan penangkapan tanpa melalui mahkamah, sebab itu Kem Guantanamo adalah arahan Amerika tetapi dijalankan di luar negara itu (negara lain menjadi baruahnya).

www.mohamadsabu.com