Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan dengan ikatjamin pagi ini.
Beliau dilihat keluar bersama anggota keluarga dan peguamnya dengan kereta pada jam 9.45 pagi.
Beliau balik ke rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur dan dijangka mengadakan sidang akhbar pada jam 2 petang.
Anwar tidak menghadapi sebarang dakwaan tetapi diminta datang semula ke balai polis pada 18 Ogos depan.
Awal pagi ini, peguam Sankara Nair memberitahu pemberita di luar ibupejabat polis Kuala Lumpur, tempat Anwar ditahan semalaman, bahawa mantan timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan jam 1 petang.
Menurutnya, Anwar mengadu sakit belakang selepas tidur di atas lantai simen malam tadi.
Pada jam 9.30 pagi isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anak-anaknya dan masuk ke dalam bangunan IPK Kuala Lumpur.
Anwar sedang berihat di rumahnya manakala para petugas media, termasuk media asing, sedang menunggu di luar.
Pada kira-kira jam 10.45 pagi, Wan Azizah dan anak sulungnya, Nurul Izzah keluar dari rumah tersebut.
"Suami saya dalam kesakitan," kata presiden PKR itu sebelum beredar keluar.
No comments:
Post a Comment