Suka saya memaklumkan kepada pihak tuan bahawa kedua-dua artikel tersebut kononnya memetik kata-kata saya pada suatu forum bertajuk Perlembagaan Malaysia Demokrasi dan Kenegaraan yang dianjurkan oleh National Council of Women's Organisation (NCWO), yang telah dipengerusikan oleh saya (forum tersebut).
Dalam artikel pertama, pihak tuan telah memetik kata-kata saya dengan tidak tepat. Selain itu, saya juga dapati pernyataan-pernyataan yang lain telah dipetik di luar konteksnya. Sayugia diingatkan bahawa pada forum tersebut saya telah memberi kata-kata aluan dan pendahuluan dalam memperkenalkan topik perbincangan yang bertajuk Perlembagaan Malaysia, Demokrasi dan Kenegaraan (The Constitution of Malaysia, Democracy and Nationhood).
Selanjutnya saya berasa gusar bahawa artikel pertama tersebut telah memberikan gambaran yang berat sebelah di samping membuat rumusan yang tidak tepat terhadap pandangan, cadangan serta pendapat yang telah diutarakan pada forum yang berlangsung selama tiga jam tersebut.
Ahli-ahli panel yang telah dijemput oleh NCWO untuk memberikan pendapat mereka pada forum tersebut terdiri daripada mereka yang terkenal dan terkemuka dalam bidang masing-masing iaitu Datuk Dominic Puthucheary, Profesor Madya Dr. Azmi Sharom dan Lim Heng Seng.
Artikel tuan bukan sahaja gagal menonjolkan pandangan penting yang telah dikemukakan oleh mereka bertiga, bahkan artikel tuan memberikan gambaran yang salah tentang apa yang telah dinyatakan pada forum tersebut.
Akibatnya boleh dilihat pada kandungan artikel kedua yang telah dicetak oleh pihak tuan. Untuk makluman tuan, pandangan yang telah diberikan pada forum tersebut adalah berbeza-beza dan dinyatakan dalam suasana bebas dan bertanggungjawab.
Artikel kedua pula adalah sepucuk surat yang ditulis oleh Dr. Ahmad Zaki Ismail. Beliau telah memetik kata-kata dalam artikel pertama dan selanjutnya membuat anggapan bahawa pernyataan seperti berikut telah dibuat oleh saya pada forum tersebut. Saya amatlah terkejut dengan dakwaan ini memandangkan saya tidak menyatakan pernyataan berikut pada forum tersebut:
Akibat petikan-petikan yang (dengan salahnya) dianggap telah dibuat oleh saya serta yang dipetik di luar konteks tersebut, artikel kedua seterusnya telah membuat pernyataan-pernyataan yang telah menyelar Majlis Peguam. Pendapat yang diberikan dalam artikel kedua tersebut adalah tidak berasas sama sekali bahkan yang lebih penting lagi mengandungi unsur-unsur yang boleh membakar semangat pembaca Utusan Malaysia. Sekali lagi saya berpendapat bahawa isu ini adalah satu kritikan yang tidak adil terhadap Majlis Peguam.
Saya juga ingin membawa perhatian tuan bahawa:
Saya ingin menjelaskan bahawa Majlis Peguam sentiasa menganjurkan hak kebebasan bersuara bagi semua warganegara kita. Bagaimanapun saya juga percaya bahawa kebebasan sedemikian haruslah dikembarkan bersama tanggungjawab untuk melaporkan fakta-fakta dengan benar.
Saya berpendirian bahawa membincangkan isu-isu berkenaan perlembagaan dan undang-undang adalah menjadi hak asasi bukan sahaja kepada Badan Peguam Malaysia bahkan juga setiap rakyat negara ini.
Hak untuk membincangkan isu-isu tersebut bukan sahaja berada di tangan pihak kerajaan atau ahli politik sama ada dari parti pemerintah atau parti pembangkang, setiap warganegara berhak membincangkan isu sedemikian secara jujur dan adil dan dalam suasana yang sihat dan aman.
Begitulah caranya sesuatu tamadun berkembang dan maju. Saya sesungguhnya percaya bahawa, setelah 50 tahun merdeka, rakyat Malaysia telah mencapai kematangan yang membolehkan kita untuk membincangkan isu-isu tersebut dengan bersopan santun, tenang dan berbudi bahasa, apatah lagi jika kita sebenar-benarnya ikhlas menerima prinsip 'kedaulatan undang-undang' yang menjadi salah satu terus Rukun Negara.
Saya akan terus menyokong perbincangan yang dijalankan dengan aman dan adil atas apa-apa isu termasuklah perkara yang mengkritik diri saya sendiri ataupun Majlis Peguam ataupun para peguam secara amnya kerana isu-isu ini merupakan perkara yang berada dalam kepentingan ramai.
Namun begitu, dalam melaporkan kata-kata seseorang, saya berpendirian bahawa pihak yang berkenaan semestinya berusaha untuk memastikan apa yang dilaporkan adalah tepat.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak mempunyai masalah dengan mana-mana surat khabar yang mengkritik diri saya. Namun begitu, berdasarkan prinsip yang sama, saya juga seharusnya diberi peluang untuk menyatakan pandangan saya dan untuk membalas apa-apa tohmahan yang telah dilemparkan ke atas diri saya.
Saya maklum dan sedar bahawa dalam memberikan jawapan saya ini, mungkin akan menimbulkan pandangan lain. Saya menyambut baik kesemua pandangan ini.
Akhir kata, saya berbesar hati dan mengucapkan sekalung tahniah kepada Utusan Malaysia kerana mengakui hak saya untuk menyatakan pendirian saya dengan menerbitkan surat ini dengan sepenuhnya yang mana tindakan ini adalah selaras dengan prinsip kejujuran kewartawanan yang tertinggi.
-TMB
No comments:
Post a Comment