Keputusan istana Terengganu tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-46 Sultan Terengganu pada Ahad lalu diambil berdasarkan titah baginda sendiri, kata ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

"Menurut amanat Tuanku sewaktu mula-mula ditabalkan, semasa baginda tiada (menjadi Yang di-Pertuan Agong), tidak usah kurnia apa-apa (darjah dan pingat kebesaran)," katanya.
Tuanku Mizan juga ingin "mengurniakan sendiri" darjah dan pingat kebesaran kepada mereka yang layak, kata Abdul Kadir ketika dihubungi Malaysiakini.
"Tuanku hendak mengurniakan sendiri pingat. Kalau buat sekarang, bukan baginda sendiri yang mengurniakannya," tambahnya.
Penganugerahan jika dibuat pada tahun ini, tambah Abdul Kadir, akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda dan juga Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Putera baginda diputerakan pada 1 Mac 1998.
Istana Terengganu, buat pertama kalinya, tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-46 Sultan Terengganu itu hujung minggu lalu.
Abdul Kadir, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, menafikan tindakan Sultan itu mempunyai hubungan dengan perkembangan politik semasa di negeri itu.
Keputusan tidak menganugerahkan darjah dan pingat kebesaran itu juga, menurutnya lagi, dibuat berdasarkan kesibukan baginda sebagai pemerintah tertinggi negara dan terpaksa menghabiskan banyak masa di Kuala Lumpur.
Ditanya sama ada tahun depan juga tiada sebarang penganugerahan akan dibuat, beliau berkata: "Kalau mengikut amanat itu, tiada."
Bagaimanapun, selepas tamat tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong, penganugerahan akan dibuat seperti biasa, kata Abdul Kadir.
"Mesti ada," katanya.
-malaysiakini
No comments:
Post a Comment