Oleh Bernama
Rabu, 02 Julai 2008
KL: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan segera menyiasat laporan polis yang dibuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, berhubung dakwaan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara memalsukan bukti kes mata lebamnya 10 tahun lalu.
Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan hari ini berkata, siasatan itu akan diketuai oleh Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd Shukri Abdull.
"Keterangan mengenai laporan itu telah diserahkan kepada kami dan untuk memastikan ia tidak berat sebelah, siasatan akan dilakukan oleh BPR. Kami boleh siasat, tak ada masalah," katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian persefahaman mengenai pembangunan modal insan dan sistem kerja yang berwibawa dengan Kastam Diraja Malaysia di sini.Ahmad Said menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat oleh Anwar ke atas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam semalam.
Anwar dalam laporannya mendakwa Abdul Ghani dan Musa terlibat memalsukan keterangan beliau dipukul oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor pada tahun 1998.
Abdul Ghani pada ketika itu merupakan Timbalan Pendakwa Raya paling kanan manakala Musa merupakan ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.
Menurut Ahmad Said, proses siasatan akan dilakukan dengan memanggil semua pihak terlibat untuk merekodkan keterangan masing-masing.
"Kita akan panggil siapa sahaja yang terlibat, termasuk Anwar sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment