Jul 9, 08 2:52pm
Unit Amal PAS menjadi sasaran kritikan anggota Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) susulan kekecohan di pentas sewaktu persembahan pemuzik Carburetor Dung di perhimpunan membantah kenaikan harga minyak, Ahad lalu.
Unit khas bawah Dewan Pemuda PAS ini dipersalahkan kerana memboikot kawalan keselamatan di stadium Kelana Jaya sebelum konsert tersebut.
Satu sumber memberitahu Malaysiakini, mereka dianggap "telah meninggalkan medan perang" dan "jika unit ini ada, keadaan dipercayai akan lebih terkawal."
Dalam mesyuarat gabungan itu lewat petang semalam, isu penarikan Unit Amal PAS daripada tugasnya itu dibangkitkan sendiri oleh penyelaras Protes dan juga bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan sekretariatnya Aiman Athirah al-Jundi, juga setiausaha Muslimat.
"Perkara itu mula-mula ditimbulkan oleh PAS, Dr Hatta dan Aiman Ahthirah sendiri," kata sumber itu lagi.
Wakil unit itu, yang turut hadir dalam mesyuarat dua jam bagi menilai perhimpunan tersebut, mengakui kesilapan mereka.
Namun begitu, Malaysiakini difahamkan mesyuarat menuding ke arah ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad - yang tidak hadir dalam mesyuarat itu - kerana dikatakan telah mengarahkan anggota unit tersebut menarik diri.
Semalam, dewan itu berkata pihaknya "tidak sesekali berasa kesal" dengan tindakan Unit Amal menarik diri di pertengahan perhimpunan itu.
"Pemuda sememangnya mengambil risiko apabila menarik diri dan kami bersedia dihukum jika jelas kami bersalah.
"Tapi sebelum itu, kami ingin nyatakan bahawa kami tidak sesekali berasa kesal dengan tindakan itu," kata ketua penerangannya Herman Shamsudeen di blog pergerakan itu (dppwp.wordpress.com).
Malaysiakini juga difahamkan persembahan Carburetor Dung itu diteruskan selepas kekosongan akibat kegagalan mengisi slot hiburan yang ditugaskan kepada Kamaruzaman.
"Sepatutnya ada persembahan nasyid dan dikir barat pada hari itu tetapi Kamaruzaman gagal membawa kumpulan itu," kata sumber lagi, yang mengetahui butiran mesyuarat Protes di ibu pejabat PAS malam tadi.
Kedua-dua kumpulan itu dipercayai ingin dibawa dari Kelantan tetapi membatalkankan penyertaan kerana perhimpunan itu tidak mempunyai permit polis, kata sumber.
Mesyuarat juga mengenal pasti tidak ada persefahaman dan pembahagian jelas antara Unit Amal dan Skuad Angkatan Muda PKR menyebabkan kawalan keselamatan tidak berjalan lancar.
"Tidak ada pembahagian yang betul-betul jelas antara kedua-dua unit. Masing-masing buat hal masing-masing," tambah sumber.
Dr Mohd Hatta, dihubungi sejak semalam, enggan mengulas lanjut isu tersebut.
No comments:
Post a Comment