Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Nasir Sudin
Thu | Jul 03, 08 | 4:33:21 pm MYT
Suasana di Wad Blok A Tingkat 3 Hospital Kajang cukup sayu dengan tangisan isteri tahanan ISA, Siti Fatma dan ahli keluarga tatkala anak perempuan kesayangannya, Aina Mardiah Shahrial terlantar koma dan nazak sejak semalam lagi.
Aina Mardiah dilaporkan terjatuh di rumahnya semalam hingga mengakibatkan beliau koma.
Namun paling menyedihkan, bapa kandungnya, Shahrial Sirin yang ditahan di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) di bawah ISA sejak tujuh tahun lalu, baru sahaja mendapat pelepasan sementara daripada Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar untuk menziarahi anaknya di Kajang.
Begitu pun menurut Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA), pelepasan itu hanya dapat diberikan selepas mereka menghadapi kerenah birokrasi yang cukup memeritkan.
"Walaupun permohonan telah dibuat awal (semalam) namun, jam 1.00 petang tadi barulah pelepasan itu dapat diberikan, inikah moral kerajaan tatkala soal nyawa anak tahanan menjadi taruhan," kata Aliza Jaffar salah seorang ahli PSK GMI yang ditemui di Hospital Kajang sebentar tadi.
Menurut Aliza, sepatutnya dalam hal 'kecemasan' seperti kes ini, pihak Kemta dan KDN tidak perlu merumitkan keadaan dengan prosedur yang merumitkan.
"Tak cukupkah dengan pengesahan doktor dan dengan kedatangan Pegawai Cawangan Khas hingga kami terpaksa menunggu jam 1.00 petang tadi baru dapat tahu ia sudah mendapat kebenaran, ini hal yang serius yang melibatkan nyawa anak tahanan," katanya geram.
Sementara itu, sewaktu Harakahdaily menziarahi wad berkenaan, kelihatan kira-kira 20 pelajar sekolah terdiri daripada rakan-rakan Aina Mardiah menziarahi beliau.
Keadaan bertambah sedih apabila rakan-rakan turut menangis teresak-esak sambil memeluk Aina yang terkapar dengan alat bantuan hayat serta bergantungan 'wire' di tangan serta hidungnya.
Kesedihan yang terpancar di wajah rakan-rakan Aina membayangkan hubungan akrab mereka lebih-lebih lagi Aina seorang insan yang dinafikan hak bapanya untuk hidup bebas seperti anak-anak yang lain.
Anak yang telah lama tidak mendapat kasih sayang daripada baoanya kerana dipisahkan oleh akta zalim ISA sememangnya sentiasa mengharapkan ribaan kasiah sayang bapa yang dirindui.
Luluh jiwa penulis apabila melihat rakan-rakan saling berpelukan menangis teresak sementar si ibu yang kering sudah airmatanya hanya mampu melihat sambil sesekali memeluk dan mencium anaknya yang terkapar kaku.
Sementara dua adik lelakinya yang setia menanti di hujung penjuru katil terus menerus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan Yaasin sambil menitiskan airmata.
Wajah muda dua adiknya ini begitu sayu sekali meratapi kakak yang terlantar sementara menantikan bapa tercinta tiba selepas satu 'penyiksaan' perasaan dihadapi mereka untuk mendapatkan pelepasan bapanya itu.
Namun waktu melawat yang sudah tamat menyebabkan rombongan Harakahdaily yang diketuai Ketua Pengarang, Ahmad Luthfi Othman terpaksa beredar walaupun hasrat di hati mahu melihat detik-detik bapanya bertemu dengan anak tercinta.
Shahrial dijadualkan sampai di Hospital Kajang kira-kira jam 6.00 petang ini selepas mendapat pelepasan dari KDN untuk menziarahi anaknya itu.
Hati mula sayu tatkala meninggalkan perkarangan wad tersebut dengan melihat nasib si anak yang nazak itu sementara menanti bapa tercinta yang terpenjara selama tujuh tahun di Kemta menziarahinya.
Di kesempatan itu, Ketua Pengarang Harakah telah menyampaikan sumbangan kepada Siti Fatma sejumlah RM1000 hasil kutipan wang derma yang dijalankan Harakahdaily selama ini.
Sementara sejumlah RM5000 diserahkan kepada wakil PSK-GMI, Norlaila Othman untuk mengisi dana kempen isteri-isteri tahanan ISA untuk membebaskan tahanan ISA.
Terdahulu Norlaila Osman yang memberitahu maklumat berhubung kejadian tersbeut berkata, Aina berada dalam keadaan koma disebabkan terjatuh di rumahnya semalam.
Dalam kejadian semalam, pesakit yang tinggal bersama ibunya, Siti Fatma Masrun, di Hulu Langat, terus pengsan biarpun tidak serius semasa terjatuh.
"Saya difahamkan oleh doktor yang merawatnya semalam Aina berkemungkinan mengidap darah beku dalam otak sejak kecil lagi.
"Jadi apabila dia jatuh berkemungkinan darah bekunya itu mpecah dan merebak ke seluruh otak hingga menyebabkan dia pengsan dan seluruh organnya tidak berfungsi," cerita Norlaila.
Norlaila yang melawat Aina hari ini berkata, Aina dalam kritikal dan bergantung kepada mesin jangka hayat," katanya.
"Paling menyedihkan ayahnya tidak mendapat kebenaran untuk dibawa ke hospital walaupun anaknya dalam kritikal" katanya.
No comments:
Post a Comment