PETALING JAYA: Penganjur konsert Inul Daratista tidak putus asas! Pihaknya mahu terus berusaha mengadakan persembahan ratu dangdut Indonesia itu di ibu negara bulan depan.
Selepas kecewa dua kali dalam seminggu ekoran pembatalan minit-minit terakhir, Pengarah Urusan IMS Prima Sdn. Bhd., Nasir Abu Bakar berkata, pihaknya akan menemui pihak berkuasa minggu depan untuk mendapatkan lampu hijau bagi membolehkan Inul menemui kembali peminatnya.
"Kami bercadang untuk mengadakan konsert seperti yang dirancang sebelum Ramadan ini.
"Kami akan menemui pihak berkuasa termasuk kementerian-kementerian yang berkaitan Isnin ini bagi mendapatkan kelulusan mengadakan konsert Inul," kata beliau ketika dihubungi di Singapura lewat petang ini.
Nasir yakin pihaknya akan berjaya dalam percubaan kali ketiga ini selepas dua rancangan mereka sebelum ini dibatalkan minit-minit terakhir.
Pada sidang akhbar di ibu negara semalam, Nasir memberitahu, konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur esok (Ahad) dibatalkan ekoran keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan permit konsert Inul.
Menurut Nasir, pembatalan yang dibuat pagi semalam sangat mengecewakan syarikat itu kerana Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal) telah pun meluluskan penganjuran konsert tersebut.
Katanya, ekoran pembatalan dua kali berturut-turut persembahan Inul selepas konsert
Inul Live In Johor Bahru yang menerima nasib serupa minggu lalu, IMS Prima kini mengalami kerugian terkumpul lebih RM800,000.
Konsert Inul, 29, di Johor Bahru 19 Julai lalu dibatalkan kerana tidak mendapat persetujuan pelbagai jabatan kerajaan di Johor.
Inul pernah mengadakan konsert yang sama sebelum ini di Malaysia.
Dua tahun lalu, Inul dibenarkan membuat persembahan di Stadium Merdeka dan Genting Highlands.
Kedua-dua konsert itu mendapat sambutan baik tanpa sebarang insiden yang memalukan.
Tambah Nasir, DBKL memberikan soal keselamatan sebagai alasan pembatalan konsert tetapi mengambil kira persembahan masa lalu pihaknya sukar untuk menerima alasan berkenaan.
Oleh kerana usaha mengadakan konsert tersebut turut menerima sokongan Kedutaan Indonesia di sini, IMS Prima akan meneruskan usaha mendapatkan lampu hijau kerajaan, kata Nasir lagi.
Ketika ditanya sama ada pembatalan itu ada berkaitan dengan ideologi politik, beliau menjelaskan, pihaknya tidak pasti tetapi alasan keselamatan tidak logik.
Nasir memberitahu, beliau telah menghubungi Inul petang semalam dan artis tersebut kecewa dengan pembatalan kali kedua.
"Bagaimanapun beliau menerima dengan hati terbuka keputusan pembatalan," katanya.
1 comment:
Heran sungguh no.. dalam keadaan ekonomi negara lintang-pukang ade jugak insan yang ingin mengaut keuntungan dengan mengeksploit batang tubuh orang lain dan lepas tu dia kata pulak, "Bagaimanapun beliau menerima dengan hati terbuka keputusan pembatalan," katanya.
So kalau dah terima watpa nak mohon lagi...hehehe.
Kesian dia.
Post a Comment