"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, September 24, 2008

Anwar: Majoriti MP Islam/bumi tetap dipertahankan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majoriti ahli parlimen Islam dan bumiputera tetap akan dipertahankan sekiranya Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan baru kelak.

"Ada pandangan tentang komposisi kaum-kaum. Seperti yang saya sebutkan (bahawa) ini tidak harus membimbangkan.

"Saya berikan ketegasan bahawa majoriti ahli parlimen Muslim dan bumiputera itu dapat dipertahankan.

"Pakatan rakyat termasuk DAP menerima kenyataan ini. Tidak jadi masalah sama sekali," kata Anwar dalam satu sidang media di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Anwar hadir di mahkamah pagi ini bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, untuk menghadiri prosiding kes liwat terhadapnya.

Sebaliknya, kata beliau yang juga penasihat PKR, isu kebimbangan mengenai komposisi ahli parlimen tersebut, telah diciptakan oleh Umno untuk menakutkan-nakutkan orang Melayu.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anwar juga menjelaskan dalam sidang media itu, bahawa turut menemui Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan exco kerajaan Selangor, Teresa Kok malam tadi di kediamannya.

Dalam kedua-dua pertemuan tersebut, katanya, mereka membincangkan perkembangan terakhir mengenai langkah yang diambil dan reaksi mereka terhadap kenyataan perdana menteri serta merangka langkah-langkah yang harus diambil secara muafakat antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan itu.

Oleh yang demikian, beliau berharap agar rakyat Malaysia bersabar dengan langkah-langkah Pakatan seterusnya kerana menganggap peralihan kuasa adalah satu perkara besar.

'Mari kita uji'

"Saudara kena ingat ini satu proses besar. Peralihan kuasa. Dan bagi Umno dan BN, ini suatu hal yang amat menakutkan mereka.

"Jadi saya fikir wajar kita mengenengahkan kenyataan kekuatan kita dan memberi rencana bahawa urusan kita ialah untuk mentadbir dengan adil.

"Bukan untuk membalas dendam atau (bertindak) ganas atau guna ISA kerana pendirian kita akan membatalkan ISA sebaik sahaja kita memerintah," jelas Anwar lagi.

Beliau juga enggan mengumumkan nama dan jumlah ahli parlimen yang didakwa akan melompat menyertai Pakatan dan seterusnya membentuk kerajaan demi menjaga keselamatan mereka.

Diminta reaksinya terhadap tanggapan bahawa beliau seorang pembohong ekoran kegagalannya menubuhkan kerajaan baru pada 16 September lalu, Anwar berkata:

“Sekiranya mereka percaya saya adalah seorang pembohong, jadi mari kita uji mengikut perlembagaan dan rangka undang-undang.

“Mari kita uji dan mengundi di parlimen. Itulah caranya mereka boleh mengujinya,” kata Anwar lagi.

Diminta mengulas penangguhan kes beliau hari ini berhubung permohonan pihak pendakwa untuk memindahkannya ke Mahkamah Tinggi, Anwar menjawab:

"Pertimbangan yang hakim akan buat, dalam melihat bantahan dari pihak pendakwa - sama ada hendak menghormati prinsip keadilan atau ikut teknikaliti undang-undang - kerana pendakwa nampak bersungguh-sungguh hendak memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi dengan hakim yang ditentukan."

-malaysiakini

No comments: