"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Showing posts with label Aku Nak Pakai Merc. Show all posts
Showing posts with label Aku Nak Pakai Merc. Show all posts

Friday, July 25, 2008

T'ganu diizin guna Mercedes

Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membenarkan kerajaan Terengganu memakai kereta Mercedes untuk kegunaan barisan exconya.

Keputusan itu, yang bercanggah dengan amalan biasa yang hanya membenarkan kenderaan nasional Proton Perdana V6 Executive, diumumkan hari ini.

Menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said awal minggu ini dilaporkan meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Kereta Mercedes itu yang berharga RM245,000 sebuah untuk kegunaan 10 anggota exco kerajaan negeri, termasuk menteri besar, dan sebuah untuk speaker Dewan Undangan Negeri.

Sementara tiga lagi untuk setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang negeri.

-malaysiakini

PM setuju kerajaan Terengganu guna Mercedes

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Terengganu hari ini menerima persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menggunakan kereta Mercedes sebagai kenderaan rasmi.

-mSTAR Online

TP - kah kah kah kah kah...Mohd Said 3, Pak Lah 0...sekarang sape hero?...kah kah kah kah kah...yang pastinya...Derih la ni, tengah ketaq kepala lutut...drebar-drebar dulu pun sambil-sambil bawak merc baru...kepala lutut ketaq...anytime BPR nak punggah...mampuih kome...kah kah kah kah kah...PRU13...semua boleh blah!

Isu kereta rasmi - Mohd Sabu beri amaran kepada kerajaan negeri BN dan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu memberi amaran, pihaknya sama sekali tidak akan bersetuju dengan sebarang bentuk pembaziran wang rakyat sama ada dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

"Saya ingin mengingatkan kerajaan negeri, sama ada BN atau Pakatan Rakyat, sama ada mereke hendak guna Mercedes Benz atau Proton Perdana, mereka tidak harus sesekali membazirkan wang rakyat," tegasnya dalam suatu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau berkata demikian dalam reaksinya terhadap kos penyelenggaraan yang tinggi ke atas kereta rasmi kegunaan Exco Kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana yang didedahkan media sekarang ini.

Pendedahan dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu mengenai kos penyelenggaraan yang tinggi Proton Perdana, turut diakui kerajaan negeri Pahang, Kelantan, Kedah dan Selangor.

Penggunaan kereta Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi, dilaksanakan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau pun Negeri, selaras dengan dasar kerajaan untuk mengutamakan kenderaan keluaran nasional.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini banyak kerajaan negeri terpaksa menimbang semula dasar tersebut akibat kos penyelenggaraan kereta nasional yang amat tinggi.

Dalam reaksinya mengenai kos penyelenggaraan yang tinggi, Naib Presiden PAS itu berkata, beliau bimbang wujud penyelewengan atau ketidaktelusan dalam tuntutan kos-kos yang berkaitan.

"Kenderaan-kenderaan rasmi kerajaan adalah milik rakyat, sesiapa yang menggunakan kenderaan itu harus menjaga amanah rakyat sebaiknya, jangan sesekali milik peribadikan hak ini.

"Oleh kerana itu, saya dan rakan-rakan, akan terus menentang sekeras-kerasnya pembaziran wang rakyat, sama ada dilakukan oleh BN atau Pakatan Rakyat. - mr_

Selangor timbang guna 'Camry' baru ganti 'V6 Exec'

SA: Jika kerajaan Terengganu memilih kereta Mercedes E200 Kompressor, Selangor pula membayangkan memilih kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Pemilihan kereta jenis berkenaan disifatkan yang terbaik memandangkan ia dianggap berpatutan dengan kos penyelengaraan yang tidak tinggi.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu ketika ditemui pemberita selepas majlis penganugerahan pingat sempena ulang tahun ke-62 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih di peringkat cadangan dan telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun masih belum ada sebarang keputusan dibuat.

"Saya secara peribadi merasakan Toyota Camry adalah pilihan terbaik dan ada mencadangkannya kepada Menteri Besar, tetapi beliau belum berkata ya atau tidak. Tetapi rasanya tiada sebarang bantahan, lagipun Toyota Camry lebih murah berbanding Mercedes," katanya.

Beliau berkata, kenderaan seperti Proton Perdana V6 Executive memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi dan mengalami masalah kerosakan berulang sehingga menyebabkan kos yang tinggi perlu dikeluarkan setiap kali dibaiki.

"Saya cadangkan Toyota Camry bukan sebab minat, tapi kita perlu kereta yang selamat memandangkan kami perlu ke sana ke sini untuk menjalankan tugas," katanya.

Ronnie berkata, beliau turut mengalami sendiri masalah berhubung kereta Perdana V6 Executive yang digunakannya kini apabila barubaru ini terkandas di jalan raya secara tiba-tiba.

"Apabila diperiksa di bengkel ia mengalami masalah kotak gear dan mekanik sendiri beritahu pemandu saya lebih baik tukar kotak gear yang baru kerana kotak gear sedia ada sudah tidak boleh dibaiki," katanya.

Selasa lepas, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri itu terpaksa membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu kerana kereta nasional itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Ahmad berkata kerajaan negeri menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri itu adalah telus dan wajar.

-KLpos

Thursday, July 24, 2008

BPR ambil keterangan pemandu exco T'ganu

Jul 24, 08 6:21pm Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan daripada empat pemandu exco kerajaan negeri Terengganu berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang terlalu tinggi.

Enam pegawai BPR berkenaan telah datang ke Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan Terengganu, sejak petang semalam dan pagi tadi bagi mengambil dokumen-dokumen berkaitan untuk diteliti.

Bernama memetik Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong sebagai mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Saya mengesahkan pegawai BPR telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Exco berhubung perkara berkenaan dan pada hari ini mereka selesai berbuat demikian kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan pegawai BPR berkenaan turut mengambil keterangan daripada pegawai-pegawai kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dua hari lalu, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menyenggara kereta nasional itu sejak 2004 hingga sekarang.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said bagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Ambil keterangan

Pembelian kereta Mercedes itu yang berharga RM245,000 sebuah adalah untuk kegunaan 10 Anggota Exco kerajaan negeri, sebuah untuk Speaker Dewan Undangan Negeri dan tiga lagi untuk Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.

Ketika ditanya sama ada BPR akan mengambil keterangan daripada beberapa individu lagi, Mokhtar berkata: "saya tidak tahu...(bagaimanapun) kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada BPR bagi memastikan siasatan kes ini berjalan lancar.

"Jika ada penyelewengan, kerajaan negeri tiada mempunyai masalah dengan BPR untuk mengambil tindakan," katanya.

Beliau menjelaskan kereta Proton Perdana V6 Executive itu, telah dihantar sendiri oleh pemandu exco atau pegawai kanan kerajaan negeri itu untuk diselenggara di bengkel-bengkel yang dilantik dan pihaknya akan membuat bayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakan.

Mokhtar berkata setiap exco kerajaan negeri mempunyai dua pemandu iaitu seorang yang merupakan kakitangan tetap dan seorang lagi yang dilantik sendiri oleh mereka secara kontrak.

Beliau berkata kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sementara menunggu surat rasmi daripada Kabinet berhubung arahan tidak membenarkan penggunaan kereta berkenaan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.

"Sebanyak 15 buah kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu masih digunakan untuk kegunaan bersama (pool)," katanya.

-malaysiakini

Kabinet tidak benarkan: Exco Terengganu dilarang guna Mercedes sebagai kenderaan rasmi


Ahmad Said menunjukkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 1 Tahun 2008 berkaitan Tatacara Perolehan Kenderaan yang membenarkan pembelian Mercedes E200 Kompressor pada mesyuarat Exco kerajaan Terengganu yang diadakan di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur, semalam.– Gambar IZHAM JAAFAR

PUTRAJAYA 23 Julai – Kabinet tidak membenarkan kerajaan negeri Terengganu menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, apabila isu pembelian 14 buah kereta Mercedes itu ditimbulkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kabinet mahu kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengutamakan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sedia ada.

“Kabinet menolak keputusan kerajaan negeri untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan Mercedes E200 Kompressor.

“Kalau dibenarkan, Jemaah Menteri khuatir langkah kerajaan negeri Terengganu itu akan diikuti negeri-negeri lain. Wakil rakyat tidak boleh menonjol-nonjolkan kemewahan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu bagaimanapun berkata, Kabinet menyerahkan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk menentukan status pembelian kesemua 14 kereta Mercedes E200 Kompressor berkenaan.

“Kabinet tidak mengulas sama ada perlu kerajaan negeri jual balik kereta-kereta itu tetapi yang diputuskan ialah Kabinet mahukan kereta nasional kekal sebagai kenderaan rasmi pegawai kanan negeri itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini berkata, tiada keputusan baru dibuat oleh Kabinet mengenai pertukaran kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu mungkin salah faham mengenai maksud yang terkandung dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) berkaitan penggunaan kereta nasional.

“Memang ada Arahan Perbendaharaan yang membolehkan pembelian kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ia khusus kepada kenderaan Proton Perdana Executive. Mungkin itu yang jadi salah faham,” katanya.

Beliau menambah: “Mereka mungkin tak baca, untuk anggota pentadbiran maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara.”

Shahrir berkata, kadang-kadang ada keperluan bagi kegunaan jabatan untuk menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Jadi, jika nak beli jip, tidak boleh beli jip yang diimport tetapi mesti jip yang dipasang sepenuhnya dalam negara,” ujarnya.

Menurut beliau, jika kereta keluaran Proton mempunyai masalah seperti mudah rosak yang memerlukan kos penyenggaraan yang tinggi seperti yang didakwa oleh kerajaan negeri Terengganu, ia sepatutnya dirujuk kepada Proton untuk membolehkan syarikat kereta nasional itu memperbaiki produk mereka.

Kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor dengan kos RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Langkah itu dipertahankan oleh Ahmad, Menteri Besar Terengganu, yang mendakwa kereta keluaran Proton amat rendah kualitinya dan ia dijadikan alasan pembelian tersebut.

Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli pada harga RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam kerajaan Terengganu yang membuat pembelian berkenaan kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.

-UMO

Wednesday, July 23, 2008

Kos senggara mahal Kerajaan Terengganu bayar RM175,229.97 servis sebuah Perdana V6

KUALA TERENGGANU 22 Julai – Kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive yang dibayar oleh kerajaan Terengganu pernah mencecah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sebuah untuk tempoh empat tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar di sini hari ini, ia merupakan kos tertinggi yang terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri untuk servis sebuah kereta model itu sejak tahun 2004 hingga sekarang.

Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000.

“Kerajaan Terengganu tidak mampu lagi membiayai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

“Sekiranya diperlukan, kerajaan negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos penyenggaraan dan kerosakan sejak mula Proton Perdana V6 Executive digunakan sebagai kereta rasmi,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu Utusan Malaysia, semua kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu dibeli terus daripada syarikat pengedar kereta Edaran Otomobil Nasional (EON).

“Penyenggaraan kereta-kereta itu terbuka untuk dilakukan di mana-mana bengkel kerana tidak semua daerah di Terengganu mempunyai pusat servis Proton,” katanya.

Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar, pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6 sedia ada selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD). Kenyataan itu menyebut, penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.

Kerajaan negeri baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Pembelian itu dipertahankan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menjadikan kualiti kereta keluaran Proton sebagai alasan pembelian tersebut.

Kereta-kereta Mercedes itu bakal digunakan oleh Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri.

Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli pada harga RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam kerajaan Terengganu yang membuat pembelian berkenaan kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.

“Pembelian kereta Mercedes ini adalah telus serta wajar dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak. Kewajaran pembeliannya adalah berdasarkan kelasakan serta kos penyenggaraan yang rendah,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor.

Keselamatan, katanya, merupakan perkara yang penting memandangkan Exco dan pegawai kanan yang menggunakan kereta itu merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan negeri yang keselamatan mereka perlu diutamakan.

“Menteri Besar sendiri masih menggunakan kereta Mercedes sedia ada bernombor pendaftaran TAR 567 yang berusia 18 tahun,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan negeri juga membuat keputusan pembelian itu dengan mengambil kira kenaikan harga minyak petrol dan nilai terpakai yang tinggi dalam pembelian kereta berkenaan.

-Utusan

Tuesday, July 22, 2008

Terengganu Sedia Kemuka Bukti Kos Selenggara Perdana V6 Executive

KUALA TERENGGANU, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu sedia mengemukakan bukti terperinci kos perkhidmatan dan kerosakan kereta Proton Perdana V6 Executive, yang telah digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri sebelum ini.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri tidak mampu membiayai lagi kos selenggaraan kenderaan berkenaan kerana sejak mula digunakan empat tahun lepas, ia telah melibatkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan tersebut.

"Misalnya, kos penyelenggaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini," menurut kenyataan itu yang dihantar kepada Bernama melalui faks di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri Terengganu terpaksa membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu kerana kereta nasional itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa langkah kerajaan negeri membeli 14 kereta Mercedes itu juga adalah setelah mengambil pertimbangan tentang kenaikan harga bahan api dan nilai terpakai yang tinggi untuk kereta berkenaan.

"Daripada segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Ini adalah penting kerana pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri itu adalah telus dan wajar.

Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak. Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.

"Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD. Kewajaran pembelian kereta ini juga berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraannya yang rendah," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menjelaskan bahawa Menteri Besar masih menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama bernombor pendaftaran TAR 567 yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan.

-BERNAMA

Isu Mercedes ke Kabinet Kerajaan akan bincang sama ada Terengganu langgar dasar kereta nasional

LUMUT 21 Julai – Isu pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar, Exco dan pegawai kanan Kerajaan Negeri Terengganu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu perlu dibincangkan bagi menentukan sama ada ia melanggar dasar kerajaan mengenai penggunaan kereta nasional oleh kementerian dan kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan Pusat sebelum ini telah memutuskan bahawa semua kementerian dan kerajaan negeri perlu menggunakan kereta nasional.

“Saya guna kereta nasional dan Perdana Menteri pun guna kereta nasional.

“Kita akan berbincang dalam Kabinet bagi menentukan sama ada terdapat kewajarannya,” kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika mengulas langkah Kerajaan Negeri Terengganu membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Menurut beberapa pihak, tindakan kerajaan negeri itu bercanggah dengan pekeliling kerajaan Pusat berhubung penggunaan kereta nasional oleh para pemimpin dan pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam mendakwa kerajaan negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi kerana kereta model itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Sambil mempertahankan pembelian kereta Mercedes, Ahmad berkata, walaupun kos permulaan pembelian kereta buatan Jerman itu tinggi tetapi kerajaan negeri dapat berjimat dari segi kos penyenggaraan dalam tempoh jangka panjang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah menyifatkan langkah Ahmad membeli kereta-kereta Mercedes itu sebagai satu pembaziran besar.

“Ia tidak sepatutnya dibuat ketika kerajaan lantang berkempen supaya rakyat berjimat cermat,” katanya.

Beliau mendesak pembelian itu dikaji semula.

“Alasan Ahmad mengenai kerosakan teruk sebuah Perdana V6 Eksekutif yang digunakan oleh seorang Exco Terengganu dilihat terlalu lemah.

“Ia tidak boleh dijadikan alasan pembelian. Hujah itu seolah-olah merendahkan kualiti kesemua model kereta Proton,” katanya ketika dihubungi.

Muhamad Sha’ani berkata: “Tindakan Menteri Besar Terengganu itu adalah perbuatan merendah-rendahkan produk negara. Pada masa kerajaan menyuruh rakyatnya berjimat, mengapa beliau membeli kereta mahal pula?

“Seharusnya beliau menjadi ikon jimat cermat kepada masyarakat. Apa yang dilakukannya terang-terang bertentangan dengan dasar jimat cermat kerajaan selama ini.”

Mengulas isu yang sama, Setiausaha Kelab Perdana V6: V-Sixers , Mohd. Yazmeen Md. Yusof berkata, tindakan kerajaan Terengganu membeli kereta Mercedes bagi menggantikan Proton Perdana adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan seperti Ahmad seharusnya mempromosikan kereta tempatan dan bukan mengagung-agungkan kereta keluaran Barat.

“Para pemimpin kerajaan harus sedar mereka sebenarnya duta yang bertanggungjawab mempopularkan kereta keluaran negara sendiri,'' jelasnya.

Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh pula menganggap tindakan kerajaan Terengganu itu sebagai satu langkah yang tidak popular.

“Kerajaan menyuruh rakyat berjimat cermat tetapi Terengganu pula menukar kereta mewah.

“Bagaimana kita hendak menjadi contoh kepada rakyat sedangkan pemimpin tertentu jelas membazir dan tidak menghargai produk negara sendiri?” ujarnya.

-Utusan