Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar di sini hari ini, ia merupakan kos tertinggi yang terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri untuk servis sebuah kereta model itu sejak tahun 2004 hingga sekarang.
Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000.
“Kerajaan Terengganu tidak mampu lagi membiayai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.
“Sekiranya diperlukan, kerajaan negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos penyenggaraan dan kerosakan sejak mula Proton Perdana V6 Executive digunakan sebagai kereta rasmi,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu Utusan Malaysia, semua kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu dibeli terus daripada syarikat pengedar kereta Edaran Otomobil Nasional (EON).
“Penyenggaraan kereta-kereta itu terbuka untuk dilakukan di mana-mana bengkel kerana tidak semua daerah di Terengganu mempunyai pusat servis Proton,” katanya.
Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar, pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6 sedia ada selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).
Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD). Kenyataan itu menyebut, penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.
Kerajaan negeri baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.
Pembelian itu dipertahankan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menjadikan kualiti kereta keluaran Proton sebagai alasan pembelian tersebut.
Kereta-kereta Mercedes itu bakal digunakan oleh Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri.
Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli pada harga RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam kerajaan Terengganu yang membuat pembelian berkenaan kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.
“Pembelian kereta Mercedes ini adalah telus serta wajar dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak. Kewajaran pembeliannya adalah berdasarkan kelasakan serta kos penyenggaraan yang rendah,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor.
Keselamatan, katanya, merupakan perkara yang penting memandangkan Exco dan pegawai kanan yang menggunakan kereta itu merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan negeri yang keselamatan mereka perlu diutamakan.
“Menteri Besar sendiri masih menggunakan kereta Mercedes sedia ada bernombor pendaftaran TAR 567 yang berusia 18 tahun,” tambah kenyataan itu.
Selain itu, kerajaan negeri juga membuat keputusan pembelian itu dengan mengambil kira kenaikan harga minyak petrol dan nilai terpakai yang tinggi dalam pembelian kereta berkenaan.
-Utusan
No comments:
Post a Comment