CARTAGENA (Sepanyol), 8 Okt (Bernama) -- Kapal selam kedua Malaysia jenis Scorpene dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di sini pada Rabu, mencatatkan satu lagi sejarah dalam usaha Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk terus meningkatkan keupayaannya di tengah-tengah cabaran keselamatan maritim yang semakin bertambah.
Dalam cuaca yang cerah, "Tun Razak" secara rasmi dipertontonkan kepada dunia oleh Tuanku Nur Zahirah dalam satu upacara di limbungan Navantia di bandar raya pelabuhan ini, kira-kira 450km dari ibu negara Sepanyol, Madrid.
Tuanku Nur Zahirah, yang kelihatan anggun memakai jaket biru gelap dan berseluar panjang putih, diiringi oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, selaku Panglima Tertinggi Angkatan Tentera.
Sebagai meneruskan tradisi maritim, Raja Permaisuri Agong memecahkan botol di kemudi kapal, iaitu struktur mirip menara yang terdapat pada permukaan kapal selam itu, menandakan upacara pelancaran rasmi dan penamaan kapal berkenaan.
"Beta dengan ini menamakan kapal selam ini 'Tun Razak' dan melancarkannya. Semoga Allah merahmati dan melindungi semua yang belayar bersamanya," titah Tuanku Nur Zahirah.
Nama itu dipilih sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein, seorang negarawan yang dikenang kerana sumbangan besarnya kepada kemerdekaan, pemodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.
Doa selamat kemudian dibacakan.
Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol, Navantia.
Turut hadir pada majlis hari ini termasuk Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abu Seman Yusop, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar, Duta Malaysia ke Sepanyol Datuk Naimun Ashakli Mohammad, Panglima Tentera Laut Sepanyol Admiral General Manuel Rebollo Garcia dan Pengerusi Navantia Juan Pedro Gomez Jaen.
Tetamu kenamaan kemudian meninjau Scorpene, sebuah kapal selam konvensional dengan panjang keseluruhan lebih 67 meter dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter. Kapal yang bergerak dengan tenaga diesel itu akan dikendalikan oleh 31 anak kapal.
Kapal selam pertama Malaysia, yang dinamakan "Tunku Abdul Rahman", sempena Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, dilancarkan di limbungan DCNS di Cherbourg, Perancis, pada Oktober tahun lepas.
Ia dijangka ditauliahkan pada Januari 2009, menggunakan nama "KD Tunku Abdul Rahman", belayar pulang pada Mei dan dijangka tiba menjelang penghujung Julai 2009.
Kapal selam yang dilancarkan hari ini akan dikenali sebagai "KD Tun Razak" sebaik sahaja ditauliahkan pada Oktober 2009. Ia dijangka memulakan pelayaran ke Malaysia pada Januari 2010, dan tiba di tanah air dua bulan kemudian.
Dalam satu kenyataan, TLDM berkata kapal selam pertama Scorpene telah menamatkan ujian sistem kombat dan ujian validasi pelaksanaan di Perancis.
"Kapal selam ini sedang menjalani ujian di laut membabitkan pelatih Angkatan Kapal Selam TLDM. Ia dijangka berada di Malaysia menjelang pertengahan tahun depan dan bakal memeriahkan lagi sambutan Jubli Intan TLDM," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua kapal selam Malaysia itu dijangka ditempatkan di Pangkalan TLDM bernilai RM690 juta yang bakal siap tidak lama lagi di Teluk Sepanggar, Sabah.
Sejumlah 142 anggota TLDM kini menjalani latihan di Brest, Perancis bagi menyiapkan mereka dengan tugas-tugas di dalam Scorpene.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Apabila kita melihat kegagahan kapal selam itu apa kah kita akan lupa skandalnya...?
Post a Comment