KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
KECAM KENYATAAN PEMUDA UMNO, HIMPUNAN BERSIH 2.0 BUKAN SUBVERSIF
30 JUN 2011
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menempelak kenyataan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican dalam Utusan Malaysia hari ini yang menuduh PAS, PKR, DAP dan Sekretariat BERSIH mengamalkan kegiatan subversif dan anarki.
Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar Pemuda UMNO khususnya Reezal Merican untuk membuktikan apakah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengharamkan rakyat berhimpun secara aman dan tanpa senjata?
Sedangkan saya mahu Reezal Merican melihat apakah tindakan provokasi ratusan Pemuda UMNO Malaysia yang berhimpun untuk mengecam dan mencabar untuk membakar bangunan Parti Keadilan Rakyat beberapa malam yang lalu adalah perbuatan sopan dan baik?
Adakah Reezal Merican sedar bahawa Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (PERKASA) yang melancarkan Gerak Aman dan Pahlawan Keamanan sambil melontarkan beberapa kenyataan berbaur pertembungan fizikal bukan sesuatu yang mengancam keamanan negara?
Malah, adakah Reezal Merican tahu terdapat pertubuhan silat di negara ini yang bersedia untuk menghalang peserta himpunan aman BERSIH 9 Julai dengan tanpa jaminan bahawa anak-anak buah pertubuhan silat itu akan melakukan tindak balas yang agresif?
Sejak Sekretariat BERSIH mengumumkan Himpunan Aman BERSIH 2.0, tidak ada satu pun kenyataan kami yang menggambarkan akan berlaku kekacauan dan huru hara pada hari tersebut.
Tetapi sebenarnya, reaksi emosional UMNO termasuk rangkaian dan media miliknya yang cuba menanamkan rasa takut kepada jiwa rakyat sehingga pelbagai ancaman dilemparkan penganjur BERSIH.
Siapakah sebenarnya yang cuba bersikap subversif?
Oleh yang demikian, saya tetap menyeru kepada rakyat khususnya anak muda yang cintakan keadilan di Malaysia dan menginginkan kehidupan yang lebih baik di negara ini agar dapat turun menyatakan sokongan tanpa rasa takut kerana perhimpunan ini dijamin disisi Perlembagaan Persekutuan dan ia akan dilakukan secara aman tanpa sebarang perancangan dan agenda sulit.
NASRUDIN HASAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment