Setiausaha akhbarnya Arfa'ezah Aziz berkata, pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada jam 10 pagi Ahad ini di Bukit Antarabangsa.
Laporan ringkas yang diserahkan kepada Abdul Khalid pagi ini telah "mengenal pasti siapa yang boleh balik dan siapa yang tidak boleh balik" ke kawasan berdekatan tragedi itu.

Untuk menghalusi laporan itu dan merangka tindakan susulan, Abdul Khalid dijangka mengadakan mesyuarat dengan Pegawai Daerah Gombak, Huzairi Samsi dan pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) esok, tambahnya.
Katanya, laporan itu diterima menteri besar melalui Huzairi ketika mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).
Setiausaha politik menteri besar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau difahamkan laporan itu diperolehi daripada polis setelah diserahkan oleh JKR.

Beliau bagaimanapun berkata belum meneliti sepenuhnya laporan tersebut.
Semalam kerajaan Selangor melahirkan rasa kecewa dengan sikap Kementerian Kerja Raya yang enggan membenarkan JKR menyerahkan laporan tersebut semalam sehingga menghalangnya memaklumkan kepada penduduk dalam satu pertemuan yang dijadualkan jam 10 pagi ini.
Jabatan itu bercadang menyerahkan laporan berkenaan selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pagi ini dan diumumkan oleh menteri berkenaan.
Kira-kira 3,000 penghuni Bukit Antarabangsa menanti dalam keadaan tidak menentu laporan tersebut sejak dua minggu lalu sama ada mereka masih boleh tinggal di situ atau sebaliknya.
-malaysiakini
No comments:
Post a Comment