"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, July 25, 2008

Penghinaan DBKL terhadap warga kota

KUALA LUMPUR, 25 (Hrkh) - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghantar jengkaut di Majlis Gotong Royong Kampung Padang Balang, Gombak di sini, dianggap penduduk sebagai penghinaan kepada mereka dalam masa warga kota membantah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kampung Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat), Ishak Surin berkata, Muafakat meminta pihak DBKL turun sama ada menghantar pegawai di majlis gotong royong tersebut untuk menyerahkan memorandum penduduk Kampung Padang Balang.

"Kita amat terkilan kerana mengikut maklumat apa yang diminta lain yang diberi. Kita minta pihak DBKL turun atau mana-mana pegawai cawangannya tetapi mereka hantar jengkaut. Ini seolah hendak menghina kita," ujarnya ketika berucap di majlis tersebut, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahli Parliman Batu Tian Chua bersama Ahli Parlimen di Kuala Lumpur akan mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' AB Hakim Borham meletak jawatan sekiranya beliau tidak mahu menerima memorandum bantahan terhadap Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya.

Beliau juga melahirkan kekesalan dengan sikap DBKL yang tidak turun di dua tempat melibatkan penduduk warga kota iaitu di Taman Rainbow, Sentul dan Kampung Padang Balang pada hari yang sama.

"Saya rasa hari ini sahaja dua kejadian kecuaian besar (DBKL) kerana tidak ambil berat dan tidak hargai insentif penduduk.

"Sebelum ini, saya di Taman Rainbow bersama penduduk yang menunggu sejak pukul 8.00 hingga 9.30 pagi kerana protes tempat letak kereta yang menyusahkan orang ramai untuk sembahyang tetapi DBKL tidak datang sebaliknya yang datang satu lori menghalau orang berkumpul. Bila saya sampai di sini (Kampung Padang Balang) juga dapat berita yang sama," ujarnya.

Beliau menambah, sebelum ini pihak DBKL bersetuju memberi perbelanjaan kepada penduduk untuk diadakan sedikit jamuan dalam program gotong royong dengan syarat tidak melalui Ahli Parlimen sebaliknya sampai sekarang peruntukan tersebut tidak diberi kepada setiap kawasan parlimen.

"Sepatutnya DBKL melayan dengan baik penduduk warga kota dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bersedia mendengar respons mereka," ujarnya.

Ketika berucap di majlis tersebut, beliau memuji sikap penduduk yang mengambil insentif dan tanggung jawab bersama menjaga kepentingan kampung di samping berterima kasih kepada jabatan serta unit kerajaan yang hadir menjayakan program tersebut bagaimanapun ia kurang sempurna tanpa sumbangan DBKL.

Mengenai Draf Kuala Lumpur 2020, beliau menyifatkan draf yang boleh mempengaruhi pembangunan Kuala Lumpur itu tidak perlu dilulus dan dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kajian dan perundingan dengan penduduk warga kota terutama mereka yang terbabit.

Ini kerana kata beliau pelan tersebut boleh memberi kesan dan perubahan besar terutama agama, budaya serta pengstrukturan warga kota sekarang dan pada masa 20 tahun akan datang kepada anak cucu mereka.

"Kita dapati pelan ini ada banyak kelemahan secara umum kerana kurang mengambil kepentingan keperluan penduduk sebaliknya seolah-olah cuba merancangkan Kuala Lumpur hanya untuk kekayaan pemaju sahaja.

"Kita lihat banyak kawasan yang dibangunkan tetapi dari segi penduduk ia amat membimbangkan kerana ramai yang terjejas terutama perkampungan tradisi Melayu yang wujud di Kuala Lumpur," ujarnya.

Selain itu kata beliau, perancangan bandar jarang memperhatikan dan tidak mengambil kira faktor budaya, sejarah agama dan semangat kekampungan.

"Kita akan ajukan perkara ini kepada DBKL. Saya amat prihatin dan berikrar akan mempertahankan tradisi kampung dan akan memastikan warisan ini tidak dikebumi. Pembangunan tidak harus korbankan faktor tersebut dan ia tidak boleh diukur dengan kebendaan dan wang. Mari kita pertahankan warisan kita supaya anak cucu kita tidak lupa asal mereka," katanya. - mns_

No comments: