"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, December 30, 2008

Sistem Parol Dekatkan Banduan Dengan Masyarakat

Selain mengurangkan kesesakan banduan di penjara, sistem parol yang diperkenalkan di negara ini sejak Julai lepas mampu mencapai matlamat membantu banduan menyesuaikan diri dalam masyarakat.

Ini diakui beberapa pihak terlibat termasuk banduan yang menjalani sistem itu yang dikenali sebagai orang yang diparol (ODP) dan pihak bertanggungjawab menyelia mereka.

Pengarah Parol Pulau Pinang, Rosomon Abu Bakar berkata tujuh daripada sembilan banduan yang dibebaskan selepas menjalani sistem parol di Pulau Pinang berjaya menjalani kehidupan mereka dengan baik dan diterima masyarakat.

"Setakat ini mereka tidak menghadapi sebarang masalah. Ini hasil daripada penerimaan masyarakat terutamanya anggota keluarga dan majikan yang memberi sokongan kepada mereka sepanjang tempoh parol", katanya dalam satu temubual di sini.

Beliau berkata, ini kerana dalam tempoh parol, ODP telah diberi peluang menjalinkan hubungan dengan anggota keluarga dan masyarakat.

SEBELUM PAROL

"Sebelum mereka dilepaskan secara parol, pihak kami membuat tinjauan tempat kediaman ODP dan menghubungi keluarga dan saudara mara mereka yang bersetuju menerima mereka untuk tinggal bersama semasa menjalani perintah parol", katanya.

Walaupun masyarakat kini boleh menerima bekas banduan, beliau tidak menafikan masih ada segelintir di kalangan mereka yang memandang serong terhadap golongan itu.

Pelaksanaan sistem parol dimasukkan dalam satu seksyen baru menerusi pindaan Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2007 iaitu Seksyen 46A yang diluluskan di Parlimen tahun lepas.

Menerusi peruntukan baru itu, banduan yang dihukum penjara minimum satu tahun layak mengikuti sistem ini dengan syarat sudah menjalani separuh daripada tempoh penjara tanpa mengambil kira merit hukuman yang diberikan kepadanya kerana berkelakuan baik dan sudah melalui proses pemulihan.

Pada Julai lepas, kumpulan pertama seramai 64 banduan terpilih menjalani sistem parol.

PENGALAMAN ODP

Seorang ODP yang dibebaskan baru-baru ini berkata, semasa berada di bawah sistem parol, beliau berpeluang menjalani kehidupan dengan bebas seperti orang biasa.

"Walaupun saya masih berada dalam parol, saya dibenarkan menjalani kehidupan seperti biasa dan yang paling menggembirakan saya diterima oleh keluarga, majikan dan masyarakat", katanya yang dipenjarakan berikutan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Beliau, yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Chun, 24, berkata, semasa dalam tempoh parol, beliau bekerja di sebuah pasar raya di sini dan akan terus bekerja di tempat yang sama setelah dibebaskan.

Ah Chun, yang merupakan antara wanita pertama dibebaskan sejak sistem parol diperkenalkan ,telah menjalani separuh daripada lima tahun hukuman penjara dan menjalani perintah parol selama empat bulan.

Seorang lagi ODP (lelaki) yang juga enggan dikenali berkata, beliau dipenjarakan kerana terlibat dalam kegiatan lumba haram, kini bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di sini di samping membantu abangnya berniaga di pasar malam.

"Mula-mula saya keluar dari penjara, saya rasa semua orang pandang serong kepada saya, tapi sebenarnya tidak. Keluarga dan masyarakat akan terima kita kalau kita sanggup berubah dan memajukan diri", katanya yang merancang menyambung pelajaran di Institut Kemahiran Mara.

PERINGKAT AWAL


Sementara itu, Pegawai Parol Daerah Seberang Perai Utara, Ahmad Shukri Mat Hussain berkata, pada peringkat awal ODP dikehendaki melapor diri satu kali seminggu di pejabat parol dan kemudian tempoh itu dipanjangkan kepada sekali setiap bulan.

"Mereka akan lapor diri di pejabat parol dan kita akan buat pemeriksaan air kencing. Selain itu, ODP juga perlu menghadiri sesi kaunseling", katanya menjelaskan terdapat pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) turut membantu dalam proses pemulihan ODP.

Beliau berkata pegawai parol juga akan melawat ODP di rumah dan tempat kerja mereka bagi memastikan proses parol berjalan lancar.

"Kalau mereka langgar syarat yang ditetapkan, perintah parol boleh ditarik balik dan mereka terpaksa kembali ke penjara untuk meneruskan hukuman", katanya yang bertugas menyelia dan membimbing ODP sepanjang perintah parol.

Beliau berharap ODP, yang telah dibebaskan, akan terus menjalinkan hubungan rapat dengan pegawai parol bagi memastikan mereka tidak mengulangi kegiatan jenayah.

Sistem parol diwujudkan bagi membantu banduan menyesuaikan diri dengan masyarakat serta mengelak mereka daripada berulang kali masuk penjara memandangkan statistik Jabatan Penjara menunjukkan 25 hingga 30 peratus penghuni penjara adalah banduan yang berulang kali.

Selain itu, sistem itu juga bertujuan mewujudkan penglibatan masyarakat terhadap aspek pemulihan banduan di samping mengurangkan kos operasi penghuni penjara.

1 comment:

Anonymous said...

Bagi saya, sama ada banduan yang diparol atau tidak, yang penting semangat untuk membawa perubahan kepada diri sendiri itu penting. Jika ada kemahuan, di situ ada jalan.