Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulas debat kenaikan harga minyak Selasa lalu dan isu dakwaan meliwat terbaru dihadapi bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tulisan terbaru blognya.
Mengenai debat, Dr. Mahathir berkata, forum tersebut yang diambil bahagian oleh Anwar dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bukan satu pertandingan yang adil.
"Shabery sangat kurang pengalaman didalam bidang yang mana Anwar adalah jaguh iaitu bercakap. Perkara yang didebatkan pula sudah pasti meletakkan Kerajaan dalam keadaan tertekan.
"Apabila Shabery menimbulkan apa yang telah dikatakan oleh Anwar mengenai saya pada masa lampau, ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar. Tetapi adalah jelas bahawa Shabery gementar," kata beliau.
Forum debat itu dianjurkan oleg Agendadaily menyentuh isu kenaikan harga minyak dan kali pertama menyaksikan kemunculan Anwar dalam siaran langsung televisyen selepas dipecat Dr. Mahathir pada September 1998.
Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998.
Selepas dipecat daripada Umno dan kerajaan, Anwar berhadapan dengan dakwaan salah guna kuasa dan liwat.
Beliau menjalani hukuman kerana sabit kesalahan salah guna kuasa dan mahkamah membebaskan beliau daripada tuduhan liwat empat tahun yang lalu.
Dr. Mahathir mengulangi bahawa Anwar boleh meyakinkan terutama kepada mereka yang mahu mempercayainya.
"Media Barat telah membuat kesimpulan bahawa tuduhan terhadap Anwar kali ini adalah sama dengan agenda politik yang lama yang dibuat untuk menghalangnya menjadi Perdana Menteri.
"Pada masa lalu saya adalah sasaran utama. (Perdana Menteri) Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) telah menafikan pembabitannya kali ini tetapi media Barat dan teman-teman Anwar dari Amerika tidak dapat diyakinkan dan akan terus mengaitkan Abdullah," katanya lagi.
Beliau juga menyentuh tentang elemen konspirasi taktik yang diperkatakan oleh banyak pihak dalam dakwaan liwat ini.
"Tetapi, adakah kerajaan sekarang sebegitu bodoh dan tidak mempunyai daya imaginasi untuk menggunakan "taktik" yang sama terutamanya memandang kepada sikapnya yang kritikal terhadap Kerajaan dahulu?
"Pastinya ia mampu untuk menggunakan cerita lain yang lebih meyakinkan jika ia memang merancang ataupun berkonspirasi terhadap Anwar. Ada kebarangkalian bahawa ceritanya sama kerana ia benar," sentuh beliau dalam tulisannya.
Katanya, adalah mustahil kemungkinan pihak yang membuat laporan kali ini seorang yang cuba meniru.
"Agak mustahil. Tidak ramai yang sanggup kehadapan dan mengumumkan sesuatu yang amat mengaibkan seperti kena liwat.
"Sebenarnya, dalam peristiwa yang lalu, sekurang-kurangnya dua orang menemui saya dan membuat pengakuan mereka telah diliwat oleh Anwar.
"Tetapi mereka tidak sanggup membuat lapuran ataupun menjadi saksi di mahkamah. Bagaimanapun, seorang dari mereka telah pergi menemui Imam Masjid Negara (sekarang ini ahli parliamen PAS) untuk mendapatkan nasihat dari sudut agama," tambah Dr. Mahathir.
Bekas Presiden Umno itu juga menyentuh saranan dan syor supaya si menuduh dan kena tuduh supaya bersumpah.
Kata Dr. Mahathir, menimbulkan isu "qazaf" hanyalah bertujuan untuk megalihkan tumpuan.
"Ia satu ugutan terhadap sipenuduh iaitu jika dia tidak dapat mengemukakan saksi-saksi dianya akan dituduh melakukan fitnah dan akan dihukum sebat.
"Dalam al-Quran terdapat banyak penekanan terhadap keadilan. Berulang kali (sekurang-kurangnya 43 ayat) didalam Quran menyeru "bila kamu menghukum, hukumlah dengan adil"," kata beliau.
Justeru menurut beliau, Syariah bukanlah sekadar proses membuat penghakiman dan menjatuhkan hukuman.
"Undang-undang Syariah bertujuan untuk memastikan keadilan dilaksanakan. Akan menjadi satu ketidakadilan jika orang yang menjadi mangsa dihukum (kerana gagal mengemukakan empat orang saksi) manakala orang yang melakukan penganiayaan lepas bebas.
"Ini adalah satu ketidakadilan yang ketara. Pastinya tidak mungkin undang-undang Islam mengabaikan keadilan dan cuma tumpu kepada perbicaraan dan hukuman," jelas beliau.
Katanya, amat jelas al-Quran menerima bukti-bukti bersandarkan kepada keadaan walaupun tidak disokong oleh saksi-saksi.
Ini kerana katanya, Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada keadilan dan proses yang diambil dalam membuat sesuatu penghakiman adalah untuk memastikan keadilan tercapai, yang tidak boleh disalahgunakan dan diperalatkan untuk menyekat keadilan.
"Kerana itu Anwar tidak harus mengelakkan diri dari diadili dengan menimbulkan soal qazaf.
"Dia mungkin boleh mencuba melakukannya dengan undang-undang buatan manusia tetapi dia tidak harus menggunakan hukum Allah untuk mencapai ketidakadilan. Ia melanggar lunas Islam dan ini adalah berdosa," katanya.
No comments:
Post a Comment