KUALA LUMPUR, 21 Julai: Rombongan PAS menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik sahaja selesai pilihan raya ke 12, 8 Mac lalu bertujuan untuk mendengar apa tawaran pemimpin Barisan Nasional (BN).
Pemergian mereka juga bertujuan untuk membeli masa (buying time) agar kerajaan Pakatan Rakyat dapat dibentuk dengan selamat di Selangor ekoran masalah yang dihadapi oleh Pakatan ketika itu.
“Kerana itu, ketika kami berunding dan mendengar apa yang dikehendaki dan ditawarkan oleh Pak Lah, Tan Sri Khalid selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas PAS mengeluarkan surat sokongan lepada dia,” kata salah seorang delegasi PAS ke pertemuan itu iaitu anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika menghubungi Siasah.
Khalid disebut oleh Presiden PAS sebagai salah seorang dari tiga anggota delegasi PAS bertemu dengan Abdullah di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Dua lagi delegasi PAS adalah Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.
Pada asalnya, kata Khalid, Presiden PAS yang akan mengetuai delegasi itu. Namun selepas berbincang, mesyuarat memutuskan Presiden digantikan oleh Datuk Mustafa Ali.
Khalid juga berkata, Datuk Dr Hassan Ali juga dikeluarkan dari senarai delegasi itu kerana kelihatannya perbincangan adalah mengenai Selangor dengan kehadiran Datuk Seri Khir Toyo di sebelah sana.
“Kerana itu saya dimasukkan untuk menggantikan Dr Hassan Ali untuk mengelakkan bertembung kepentingan berlaku,” jelas Khalid yang merupakan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor.
Pada peringkat awalnya, beliau sendiri tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi selepas dibincangkan atas dasar janji telah dibuat, mereka bersetuju untuk bertemu dengan pimpinan BN yang diadakan di sebuah rumah kerajaan berhampiran bangunan Parlimen itu.
“Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi jumpa dengan pimpinan Umno ini untuk bekerjama dengan mereka. Yang ada untuk memenuhi janji dan mendengar apa mereka nak tawarkan.
“Jadi kami dengar dan kata ya ya…tetapi kami tak boleh buat keputusan, kena bawa kepada parti dahulu,” jelas Khalid. Atas alasan itulah juga, katanya, Presiden tidak pergi ke pertemuan itu kerana tidak mahu sebarang komitment dibuat atas kuasanya sebagai presiden.
“Khir Toyo bukan main tawadhuk dalam perbincangan itu. Kepada saya saja tiga kali dia tolong tuangkan air,” kata Khalid lagi.
Ketika ditanya, apa punca jemputan itu dibuat oleh Umno, Khalid berkata, ia bermula dengan kerisauan Umno selepas DAP banyak menang di Selangor dan nasib orang Melayu selepas itu.
Namun, bagi Khalid, keikhlasan Abdullah untuk membincangkan kepentingan Melayu dan Islam hancur selepas beliau mengumumkan tentang pertemuan ini.
Bagi beliau, Abdullah cuba menimbulkan kesangsian di kalangan anggota Pakatan Rakyat terhadap PAS dengan mendedahkan perkara ini ketika berita angin tersebar kononnya PAS hendak bekerjasama dengan Umno.
Padahal, katanya, delegasi itu tidak ada mandat langsung dari parti untuk berbincang soal kerjasama dengan BN.
“Misi kami adalah fact finding (mendengar) dan engagement (berbincang) dan tidak ada langsung usaha untuk bekerjasama dengan Umno,” kata Khalid.
“Nampak sangat Abdullah berniat jahat untuk sabotaj usaha-usaha untuk membawa masuk anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai Pakatan. Ini kerana, jika PAS tidak bersama Pakatan buat apa mereka mahu masuk Pakatan,” beritahu Khalid.
Mengulas soalan kononnya PAS dipinggirkan dalam Pakatan Rakyat, Khalid berkata, ia tidak benar sama sekali.
“Benar kita menang 83 Dun, DAP 73 dan PKR 40 kerusi lebih. Tetapi dalam masa yang sama kita dapat tiga MB, PKR ada satu dan DAP pun dapat satu sahaja. Takkan PAS nak lebih dari itu. Tak kan nak jadi MB di Selangor juga….itu tamak namanya,”kata Khalid.
-SIASAH
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Monday, July 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment