Kebanjiran pemimpin, penyokong dan petugas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu memberikan durian runtuh kepada peniaga di Losong di sini, kawasan yang terkenal dengan keropok lekor losong.
Sekiranya melalui kawasan ini pada masa ini, banyak kenderaan terutama dengan nombor pendaftaran luar Terengganu dilihat berhenti di gerai-gerai yang menjual keropok lekor itu.
Seorang penjual keropok, Mohamad Abdul Rahman, 57 yang telah menjual keropok selama 15 tahun di Losong sememangnya sudah tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus mengunjungi gerai beliau sejak minggu lepas.
Sambutan luar biasa bagi makanan popular Terengganu itu adalah sesuatu yang jarang berlaku terutamanya pada awal tahun, katanya kepada Bernama di sini.
Katanya beliau telah menjangkakan permintaan tinggi bagi keropok ini pada musim pilihan raya kecil ini dan melakukan persiapan sejak bulan lepas dengan menambah bilangan pekerja serta memastikan bekalan bahan mentah mencukupi.
"Kami dah tahu orang mesti ramai datang terutamanya pada hari penamaan calon dan beberapa hari sebelum mengundi nanti, sebab tak sah kalau sesiapa yang datang Terengganu tak beli keropok losong," kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Su.
"Jika selalunya kami proses kira-kira 100kg sehari tetapi pada hari penamaan calon saja kami perlu tambah 100kg lagi," katanya.
Mohamad juga melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang telah banyak membantu dalam meningkatkan penjualan keropok lekornya.
"Banyak kursus yang dianjurkan kerajaan negeri untuk peniaga-peniaga di sini. Selain itu banyak juga promosi yang dibuat untuk memperkenalkan keropok lekor losong ini ke seluruh negara," katanya.
Seorang pembantu gerai, Nor Suhana Abdullah, 18, pula mengambil kesempatan bekerja sambilan di salah satu gerai keropok lekor di situ sepanjang proses pilihan raya ini.
"Jiran saya yang mengusahakan gerai ini meminta saya menolongnya di gerai kerana tak cukup pekerja sepanjang bulan ini," katanya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seorang pelanggan gerai itu, Rohani Mat Junuh, 50, yang berasal dari Kelantan berkata beliau tidak akan melepaskan peluang membeli keropok lekor di situ setiap kali berkunjung ke Terengganu.
"Keropok lekor di sini memang terkenal kerana sedap dan tahan lama. Kebetulan saya ikut rombongan penyokong Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kali ini, jadi kami pakat singgah beli keropok di sini," katanya.
Seorang penduduk tempatan, Mohammad Alwi Ariffin, 29, berkata sambutan luar biasa pembeli terutamanya dari luar Terengganu menyebabkan jalan di kawasan itu sesak dengan kenderaan yang singgah membeli.
"Memang biasa bas-bas yang bawa pelancong terutamanya akan singgah di sini sehinggakan jalan sesak," katanya yang bekerja sebagai mekanik di sini.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Ternyata kerajaan Terengganu perihatin dengan peniaga-peniaga kecilan ini. Mereka dibantu dengan kursus-kursus dan promosi-promosi. Ini juga menunjukkan bahawa kerajaan mengambil berat masalah peniaga-peniaga kecil ini...
Post a Comment