Mereka yang hadir terdiri daripada anggota Pergerakan Belia Prihatin (CYM) dan ibubapa pelajar sekolah berkenaan.

"Kami mendapat 300 tandatangan dan merancang untuk mengadakan protes yang lebih besar lagi untuk mengutip lebih banyak tandatangan," katanya.
"Apabila selesai dilakukan, kami akan berbincang apa nak dibuat dengan petisyen tersebut - mungkin menghantarnya kepada kementerian atau pemimpin berkaitan dalam kerajaan pusat," tambahnya.
Isu mengenai tapak tersebut timbul apabila akhbar berbahasa Inggeris, The Sun, melaporkan pada 4 September lalu bahawa MIC, antaranya, memiliki tanah seluas 24,000 meter persegi bersebelahan dengan sekolah tersebut. Pemajunya telah memperuntukkan kawasan tersebut untuk kemudahan awam.

Setiausaha Agung MIC, S Subramaniam telah menafikan berlaku sebarang penyelewengan dalam perkara tersebut, dan menegaskan ia dilakukan mengikut undang-undang.
Manivanan bagaimanapun berkata, CYM sedang menimbang untuk membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pihak polis supaya menyiasat perkara itu.
Beliau mendakwa, pihak polis dan BPR telah gagal menjalankan siasatan yang sempurna terhadap penjualan tanah tersebut.
Manivanan mendakwa, tanah tersebut adalah milik sekolah berkenaan.

"MIC mendakwa menjadi penyelamat masyakarat tersebut. Jika begitu, mereka mesti memulangkannya (tanah tersebut) kepada pihak sekolah.
"Ini akan memastikan bahawa masa depan ratusan anak kaum India terpelihara," kata Manivanan.
CYM komited - dengan kerjasama ibubapa - untuk berjuang bagi mendapatkan semua tanah tersebut.
"Kita akan berbincang dengan pasukan peguam kita dan tengok sama ada kita patut ambil tindakan undang-undang," tambah Manivanan.
-malaysiakini
No comments:
Post a Comment