PETALING JAYA: Di sebalik kemeriahan sambutan Syawal, desas desus tentang persaraan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedang hangat diperkatakan sekarang.
Menurut satu sumber yang dekat dengan beliau, Dr Asri tidak berminat untuk menyambungkan kontraknya ke tahun depan, iaitu sehingga bulan Oktober 2009.
"Besar kemungkinan, Dr Asri akan bersara tidak lama lagi dan akan meninggalkan Malaysia untuk satu tempoh yang tidak dapat dipastikan lagi," ujar sumber itu.
Difahamkan, antara sebab mengapa Dr Asri tawar hati dan tidak berminat untuk meneruskan khidmatnya adalah kerana beliau kecewa dengan pergolakan politik yang berlaku sekarang.
"Segala teguran yang diberi oleh beliau tidak diambil serius dan beliau kecewa apabila ahli politik lebih mementingkan kepentingan peribadi dari kepentingan dan keperluan rakyat," jelas sumber itu.
Menurut sumber itu lagi, Dr Asri ada mendapat tawaran untuk mencebur diri dalam bidang politik tetapi beliau tidak berminat.
Di kalangan ahli politik, Dr Asri merupakan tokoh ulama dan ilmuan agama yang paling menonjol sekali.
Teguran dan pandangan beliau tentang isu semasa seperti ISA, peralihan kuasa, sumpah mubahalah, Tugu Negara, Kerajaan perlu bertaubat dan melarang penyanyi Faizal Tahir ke Perlis (antara lain) dan banyak lagi mendapat liputan akhbar yang meluas.
Lontaran berani Dr Asri tentang isu semasa menyebabkan beliau sering digelar mufti yang kontroversi.
Kata sumber itu lagi, "Ada juga sesetengah pihak yang salahtafsir teguran berani beliau. Pandangan Dr Asri sebenarnya neutral, bijak dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
"Kadang kala pandangan sinis dan teguran tajam membuat ramai yang salahtafsir niat beliau sedangkan itu hanyalah satu pandangan yang dituntut oleh agama," kata sumber itu.
Jelasnya lagi, "Dr Asri sering menjadi mangsa keadaan dan dikecam oleh golongan fanatik sesuatu parti. Mungkin itu salah satu sebab kenapa beliau bosan dan kecewa, kerana selalu disalahtafsir."
Malah website peribadi beliau, www.drmaza.com juga mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Dr Asri banyak memberi pandangan positif kepada ahli-ahli politik baik dari kalangan Umno, PAS mahupun PKR.
Disebabkan luas keilmuan dan tajam pemikiran yang dimilikinya, kedudukan Dr Asri agak istimewa di mata tokoh-tokoh politik seperti Datuk Sri Abdullah Badawi, Tun Mahathir, Datuk Seri Najib. Datuk Seri Nik Aziz malah Datuk Anwar Ibrahim sendiri.
Menurut sumber terdekat itu lagi, Dr Asri kelihatan berbincang panjang di Rumah Terbuka Perdana Menteri di Kepala Batas semalam.
Sebelum ini, Dr Asri pernah diundang memberi 'tazkirah Ramadan' kepada menteri-menteri kabinet di PWTC pada 18 September sempena majlis berbuka puasa di sana.
Dan dua hari sebelum itu, Mufti Perlis yang lantang bersuara kelihatan menghadirkan diri di majlis kelolaan PAS di Kota Bharu atas undangan Nik Aziz. Difahamkan juga, Dr Asri turut diundang ke satu majlis anjuran PKR selang beberapa hari kemudian tetapi tidak dapat ditunaikan disebabkan oleh jadualnya yang padat.
Di dalam kolum Minda Mufti siaran akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Dr Asri turut menitip pesanan tentang peralihan kuasa yang sibuk dibicarakan akhir-akhir ini. Di bawah tajuk 'Tanggungjawab mencari pengganti yang berwibawa,' antara lain petikan artikel itu berbunyi,"Krisis kepimpinan dalam masyarakat umat Islam hari ini adalah berpunca kerana ada pihak pihak yang hanya menumpukan di sudut al-Quwwah iaitu kemampuan atau kewibawaan atau karismatik seseorang tokoh dalam politik, tetapi melupakan sudut amanah yang membabit mengenai pegangan agama atau kesolehan seseorang pemimpin.
"Jangan jatuh ke tangan yang berkemampuan dan wibawa, tapi tidak amanah. Jangan juga jatuh ke tangan yang amanah, tapi tidak berkemampuan melaksanakan bebanan tugas," katanya.
Namun begitu, ketika dihubungi untuk mendapatkan kesahihan berita tentang persaraan beliau, Dr Asri enggan memberi sebarang komen. "Sampai masa nanti saya akan bagi komen," kata beliau.
-mSTAR Online
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Lepas ni ustad Rasul Dahari laa kot ..
Post a Comment