[Kemaskini 10:30am] Proses penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu telah pun berakhir pada pukul 10 pagi tadi menyaksikan tiga calon telah menyerahkan borang penamaan mereka untuk bertanding.
Tiga calon tersebut adalah daripada Barisan Nasional (BN), Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endot dan seorang calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
Pada masa ini, sesi bantahan terhadap calon-calon sedang berlangsung selama sejam bermula pukul 10 pagi tadi.
Dalam proses penamaan calon tersebut, Wan Ahmad Farid telah dicadang oleh Mohd Sabri Alwi dan disokong oleh Wong Foon Meng.
Sementara itu, Mohd Abdul Wahid dicadangkan oleh Datuk Mustafa Ali dan disokong oleh Md. Azmi Lok Yusof.
Azharuddin pula telah dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan disokong oleh Zakaria Abdullah.
Azharuddin, 56, merupakan seorang ahli perniagaan.
Pengurus pilihan raya kecil, Mat Razali Kasim telah mengumumkan sesi penyerahan borang penamaan calon bermula pukul 9 pagi.
Beberapa minit selepas pengumuman itu, Wan Ahmad Farid diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN memasuki pusat penamaan calon.
Kira-kira pukul 9.20 pagi, Mohd Abdul Wahid pula memasuki pusat penamaan calon diiringan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.
Kira-kira lima minit kemudian, calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad pula tiba dengan diiringi seorang penyokongnya. Beliau bagaimanapun tidak menyerahkan borang tersebut dan memutuskan untuk menarik diri di saat-saat akhir.
Kira-kira pukul 9.30 pagi, Azharudin masuk ke dalam pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang penamaannya.
Seorang lagi calon bebas yang semalam mengesahkan untuk bertanding, Isma Airfath Hassanuddin bagaimanapun tidak hadir pada proses penamaan calon tersebut.
Difahamkan, rombongan penyokong bagi dua parti yang bertanding iaitu BN dan PAS yang hadir ke Stadium Negeri bagi proses penamaan calon ini dianggarkan mencecah 25,000 orang.
Pemimpin-pemimpin yang bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini menyifatkan ia sebagai pertarungan 'survival masa depan' yang paling sengit.
Malam tadi, pemimpin-pemimpin BN mengulangi bahawa cabaran di Kuala Terengganu sebagai tanda kebangkitan semula perikatan itu.
Wan Ahmad Farid berkata: "Jadikan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebagai tempat kebangkitan semula BN yang dikatakan tiada lagi masa depan."
Mohd Abdul Wahid pula memberitahu, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi permulaan cabaran pada pagi ini.
"Kami sudah bersemangat untuk menghadapi proses penamaan calon esok (hari ini)," katanya ketika ditemui pada majlis pertemuan ahli Kelab Penyokong PAS, di sini, lewat petang semlam.
Sebelum ini, tiga calon telah mengesahkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini termasuk seorang tanpa parti iaitu Isma Airfath Hassanuddin.
Pertandingan pada kali ini dijangka empat penjuru termasuk Harun.
Tinjauan mStar Online pagi ini mendapati, para penyokong sudah mula berkumpul untuk bergerak menuju ke Staduium Negeri - tempat berlangsungnya penamaan calon.
Stadium Negeri terletak bertentangan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi untuk memastikan kelancaran proses penamaan calon.
Kata beliau, berdasarkan aturan urusan proses penamaan calon, rombongan penyokong BN akan bergerak dari kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, sementara rombongan penyokong PAS pula akan bergerak dari Bulatan Batu Bersurat.
Kediaman Rasmi Menteri Besar terletak satu kilometer dari sebelah kanan Stadium Negeri manakala Bulatan Batu Bersurat pula dari sebelah kiri.
Bagaimanapun, sehingga pukul 8.20 pagi ini, belum ada pergerakan bagi kedua-dua parti BN dan PAS. Suasana ini agak berlainan berbanding penamaan calon di Permatang Pauh di mana suasana hangat telah dirasai seawal pukul 7.30 pagi.
Penyokong-penyokong BN didapati sudah mula berkumpul di kediaman rasmi Menteri Besar bermula jam 6.30 pagi manakala para penyokong PAS pula sedang memenuhi kawasan Bulatan Batu Bersurat tersebut sedikit demi sedikit.
Sebelum ini, pemimpin kedua-dua parti telah berjanji akan menghimpun sekurang-kurangnya 10,000 penyokong di pihak masing-masing.
Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya akan membenarkan kira-kira 150 orang pemimpin dan penyokong bagi setiap parti dan calon yang bertanding memasuki kawasan dalam Stadium Negeri.
Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan berada di luar pusat penamaan calon.
Kata beliau lagi, sebaik sahaja sesi bantahan berakhir, pihaknya kan mengumumkan status calon yang bertanding, dijangka antara 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Cuaca pada pagi ini amat baik berbanding tiga hari lalu yang mengalami cuaca hujan yang berterusan.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment