Perhimpunan rakyat sempena 'Black 14' dan pidato perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di ibu negara pada 14 April 2008.
Perhimpunan "Countdown dari Black 14 ke arah kemenangan rakyat" menandakan berakhirnya larangan selama lima tahun terhadap Anwar untuk aktif dalam politik.
Larangan itu dikena selepas beliau disabitkan hukuman terhadap tuduhan salah guna kuasa sewaktu menjadi timbalan perdana menteri. Hukuman itu dijatuhkan pada 2003.
Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin, dalam blognya menulis, 'Black 14' dikenang setiap tahun sebagai peristiwa hitam negara. "
Tetapi 14 April 2008 bakal disambut dengan berbeza sekali kerana 14 April 2008 bukan lagi gelita. Ia sudah mula diterangi cahaya.
Tanggal 15 April, udara di Malaysia akan berbeza kerana wira rakyat Anwar Ibrahim bakal melangkah masuk ke arus perdana politik negara secara sah.
Puluhan ribu rakyat bersama dalam perhimpunan khas countdown rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada jam 8.45 malam 14 April 2008.
Anwar menyampaikan ucapan sulung selepas pilihanraya, selain ucapan barisan pemimpin utama Pakatan Rakyat dalam mengimbau kenangan perjuangan rakyat. Tayangan video khas 'Dari Black14 ke arah kemenangan rakyat' dan pameran khas juga diadakan.