Oleh DR AISAR YEE ABDULLAH
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan oleh Sinar Harian Ahad 13 Julai sebagai berkata Ezam Mohd Nor, mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan tidak berhak menegur parti lain kerana beliau masih mentah dalam soal berpolitik.
Komen dari Nik Aziz itu datang selepas Ezam menyeru kepada para pemimpin Pas supaya berpegang kepada prinsip asal mencari kebenaran dan menegakkan keadilan Islam serta diminta tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) dan tidak terikut dengan gimik politik yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azmi Miah (Exco Pemuda UMNO) mendedahkan bahawa pada kemuncak ‘reformasi’ pada 1999, beliau akan menampar Ezam jika beliau tersua dengannya. Beliau menganggap Ezam sebagai penderhaka kepada parti. Sazmi geram kepada Ezam kerana baginya Ezam pernah menghina UMNO seolah-olah parti nasionalis ini amat bangsat martbatanya.
Sazmi mendakwa, ketika negara berhempas pulas mengharungi cabaran krisis ekonomi yang begitu mencabar dengan nilai matawang jatuh teruk, indeks saham di BSKL menjunam ke paras di bawah 300 mata, ratusan syarikat muflis, Ezam dikatakan menjelajah dunia memburukkan Malaysia. Kritikan dan kutukan Ezam terhadap UMNO laksana tidak batasan dan sempadan.
Penulis sendiri mengikuti perkembangan Ezam. Ezam seorang pemuda cekal yang pandai berpidato. Jika kita mendengar suara Ezam tanpa melihat mukanya, kita boleh terkeliru, Ezamkah, Anwarkah yang bercakap berapi-api itu? Ezam dan Anwar memang tidak boleh dipisahkan. Seseorang tidak boleh dipersalahkan jika mereka mengandai bahawa Anwar adalah idola utama Ezam. Penampilannya persis Anwar.
Semasa Anwar dipecat Mahathir dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan salahlaku seks, Ezam adalah paling terkemuka berada di barisan depan mempertahankan bosnya itu. Beliau menjelajah ke seluruh negara dan dunia menggembleng sokongan menentang Mahathir.
Tentangannya terhadap Mahathir dan UMNO adalah keras. Beliau menganjurkan demonstrasi-demonstrasi bagi menyatakan sokongan kepada Anwar dan sebagai usaha membela Anwar. Beliau menyerang UMNO habis-habisan. Sazmi membangkitkan kembali tindakan Ezam inilah untuk menentang usaha membawa Ezam kembali menyertai UMNO. Banyak pula pemimpin tinggi UMNO membantah tindakan Datuk Seri Abdullah menerima Ezam tanpa terlebih dahulu merujuk kepada MT UMNO.
Memang benar Ezam berupa ayam tambatan Anwar. Anwar memberikannya tanggungjawab besar. Seorang pemuda berumur 29 tahun sudahpun dibebankan dengan tugas menjadi Setiusaha Politik Menteri Kewangan sewaktu Anwar menjawat jawatan itu. Pelantikan Ezam banyak menimbulkan keresahan di kalangan penyokong Anwar yang lain tetapi Anwar tetapi memilih pemuda itu yang kemudiannya terkenal sebagai seorang pahlawan anti korupsi yang kental.
Sazmi dalam satu kenyatannya pada pertengahan Jun lalu sewaktu isu penyertaan Ezam kembali ke dalam UMNO hangat dibincang, mencabar sesiapa sahaja untuk bertanyakan mana-mana pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan bagaimana Ezam diterjunkan ke dalam arus politik bahagian itu hanyalah kerana dia adalah menantu kepada Datuk Ghazi, ketua bahagian ketika itu yang sememangnya amat rapat dengan Anwar.
Umum mengetahui betapa eratnya Ezam dengan Anwar dan menjadi amat hairan bagaimana berakhir dengan permusuhan kuat pula. Penulis sendiri sentiasa dihujani oleh pertanyaan yang inginkan jawapan bagaimana permusuhan Anwar dengan Ezam boleh berlaku. Mereka mahu tahu bagaimana Ezam yang sanggup bertemankan lipas dan tikus sewaktu ditahan di dalam lokap semata-mata mempertahankan Anwar boleh bertindak membenci Anwar pula?
Kita imbas balik kenyataan-kenyataan Ezam. Penulis telah membuat carian dalam ‘youtube’ dan menemui berpuluh-puluh ucapan Ezam meliputi semua zaman, semasa ledakan reformasi, bertahun-tahun memimpin Keadilan, sewaktu berada di luar Keadilan dan selepas menyertai UMNO. Semua ini boleh ditonton oleh sesiapa sahaja. Kita boleh bedah isi jantung dan hati Ezam untuk menganalisis peribadi anak muda ini dan perjuangannya.
“Saya berjanji kepada saudara-saudara sekalian, saya berikrar bersumpah depan kawan-kawan, apapun saya akan terus lawan. Sekuat mana pun tekanan dan tawaran mereka, saya akan terus lawan. Saudara, walau dalam penjara dan di luar penjara sekalipun, saya akan lawan dan lawan dan lawan habisan mereka. Ini janji saya peda mereka.
Itulah janji dan sumpah Ezam yang dikatakannya dibuat di depan ‘teman-teman’. Maka, mengapa sumpah ikrar itu dilanggar. Mesti ada sesuatu yang besar yang menyebabkan beliau sanggup mengingkari sumpahnya. Atau, seperti mana laporan Sinar Harian semalam (Selasa 15 Julai muka N3), Ezam adalah ‘makhluk yang suka bersumpah’ seperti yang didakwa oleh Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda Keadilan sekarang.
Sebenarnya, sikap keras Ezam inilah yang menyebabkan dia berada dalam kedudukan yang tidak selesa sekarang. Kata-kata yang tersembur dari mulutnya mengguris hati lawan. Banyak kalangan UMNO yang masih menyimpan perasaan kecil hati dan marah di atas sikap Ezam yang bertindak menyerang parti itu tanpa batas. Dia banyak membuat laporan polis yang menjejaskan kewibawaan pimpinan UMNO. Dia pernah mendakwa memiliki sebanyak 6 kotak dokumen yang mengandungi bukti-bukti rasuah yang dilakukan oleh pucuk pimpinan UMNO. Itu cerita yang dijajanya.
Malah sewaktu berada di luar Keadilan tetapi belum memasuki UMNO kembali beliau masih lantang menentang UMNO. Penulis telah menyusuri ‘youtube’ melalui http://youtube.com/watch?v=OQJTCggFTJM&feature=related dan menjumpai satu siri ucapan beliau yang dipecahkan kepada 7 bahagian yang setiap satunya selama 10 minit. Di situ dia menjelaskan:
‘‘Saya ditanya, betul saudara nak masuk UMNO? Macam mana saya nak masuk UMNO? Saya paling kuat bagi laporan polis fasal pemimpin UMNO. Macam mana dia nak terima saya? Saya dah masuk penjara pun. Macam-macam saya dedah. Dia mendedahkan penderitaan berat yang ditanggungnya dan keluarganya kerana membuat laporan polis. Dia mencabar, “Kalau nak tahu, cuba buatlah laporan polis.
Sewaktu berada di luar Keadilan pun dan berada di pentas Pas pula, beliau mendedahkan bahawa beliau akan mengemukakan dokumen kepada pimpinan BN berkaitan perbuatan rasuah para pemimpin BN bukan dari kalangan UMNO. Sebelum itu beliau pernah berjumpa PM menyerahkan satu dokumen setebal 632 muka bersama bukti-bukti tentang perbuatan rasuah dilakukan pemimpin. “Saya bagi bukti sekali. Takkan saya nak bagi surat khabar lama kepada PM, “ tegas beliau.
Memahami Ezam dan sikap kerasnya, kita melihat Ezam meletakkan dirinya sendiri di dalam neraca. Sikapnya sekarang yang mula menghalakan serangan ke atas para pemimpin Keadilan, dan melupakan 6 kotak yang didakwanya berada dalam simpanannya dan melupakan dokumen yang dikatakannya berfakta yang bukannya surat khabar lama yang diserahkan kepada PM menyebabkan orang bertanya, ikhlaskah Ezam menentang rasuah? Wibawanya dipertikaikan kerana dia sekarang dituduh sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat kembali hati UMNO. Atau, benarkah seperti kata Nik Aziz, Ezam belum matang?
Lebih malang lagi sekarang terdapatnya suara-suara yang mempersoalkan tindakan Ezam mempertahanakan Anwar pada suatu masa dulu sedangkan beliau sendiri memiliki banyak rahsia tentang Anwar sebagaimana yang dia dakwa. Apakah prinsip yang dipegang Ezam, kebenaran atau memperlekehkan kebenaran demi mempertahankan seorang bos? Kalau begitu, berhakkah Ezam mengingatkan Nik Aziz untuk berpegang kepada prinsip kalau dia sendiri tidak berprinsip?