Pembahagian wang ihsan dari perolehan wang petroleum dari perairan Kelantan dari mula lagi tidak mengikut mana-mana peruntukan undang-undang. Ia adalah satu langkah politik murahan untuk menghalang pembayaran wang royalti yang terhak kepada negeri Kelantan seperti kehendak Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian penyerahan hak petroleum Negeri Kelantan kepada Petronas 1975.
Pembayaran wang ihsan membelakangkan kehendak perjanjian dan peruntukan undang-undang berkaitan. Kerajaan Pusat tidak berhak mengikut undang-undang membahagikan bahagian pembayaran royalti untuk Negeri Kelantan mengikut saluran dan kehendak mereka seperti yang dilakukan sekarang. Haram hukumnya berihsan dengan wang orang lain.
Amalan seperti itu boleh menimbulkan berbagai salah guna kuasa dan penyelewengan seperti berikut;
a. Melalui amalan pembahagian wang ihsan, tidak ada siapa boleh mengesahkan berapakah jumlah sebenar wang yang patut dibayar. Adakah jumlahnya sebegitu kecil sedangkan pengeluaran petroleum yang melibatkan perairan Kelantan adalah amat besar. Jumlahnya bukan jutaan seperti yang diagihkan atas nama wang ihsan tetapi ribuan juta setiap tahun.
Melalui pembayaran wang royalti, Kerajaan Negeri boleh menuntut angka pengeluaran sebenar dan jumlah yang terhak untuk rakyat Kelantan yang sudah tentu jauh lebih besar dari apa yang diagihkan sekarang. Kerajaan Negeri berhak mengodit dan mengetahui jumlahnya sebenar.
Rakyat Kelantan tidak harus tertipu dengan jumlah sebenar yang layak dan terhak untuk mereka melalui amalan 'wang ihsan'.
b. Mengapa selama ini wang ihsan tidak diagihkan? Hanya selepas Kerajaan Negeri menyuarakan tuntutan ini, Kerajaan Pusat memulakan pengagihan ini.
Di mana wang yang diterima sebelum ini dibelanjakan? Siapa yang mendapat faedah darinya?
Kenapa Datuk Dr. Awang Adek tidak mengambil inisiatif membahagikannya sebelum kami menuntut? Adakah ini bukan politik? Adakah ini telus?
Jika Kerajaan Negeri tidak menuntut, maka wang minyak itu lesap entah ke mana sampai hari ini? Nasib baik kita menuntut, tumpah juga kuah walaupun dicebuk dari khazanah kita sendiri.
c. Siapa yang menentukan penerima adalah layak dan tanpa prejudis politik?
Jika Kerajaan Pusat ikhlas, mereka boleh menyalurkan wang itu kepada Perbendaharaan Negeri seperti kehendak undang-undang dan jika Kerajaan Pusat bermatlamatkan untuk menyampaikan kepada mana-mana golongan, ia sudah tentu boleh dirundingkan dengan Kerajaan Negeri. Itu cara orang ikhlas.
Kembali kita pada tajuk asal iaitu sama ada Kerajaan Pusat perlu menangguhkan pembahagian wang ihsan itu sehingga tuntutan Kerajaan Negeri ditentukan oleh Mahkamah atau tidak, saya berpendapat itulah cara yang bersopan dan menghormati proses Mahkamah.
Wang yang diagihkan, seperti kata PM di Parlimen, adalah dari kawasan pengeluaran petroleum Blok PM 301. Ia ikut terlibat dalam tuntutan saman oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Jika Kerajaan Negeri menang, bermakna Kerajaan Pusat perlu menggantikan semula wang itu.
Jika Kerajaan Pusat begitu baik hati dan ingin terus membantu rakyat, gunalah wang lain dahulu sementara kes ini selesai. Gunalah sedikit sebanyak kedudukan di Kementerian Kewangan untuk jumlah sekecil itu.
Akhirnya, jika Kerajaan Negeri Kelantan terpaksa memfailkan permohonan tahanan sementara terhadap aktiviti itu, ia hanya bermakna Kerajaan Negeri mengambil langkah menyempurnakan proses Mahkamah bagi mempastikan kedudukan sebenar isu ini dapat ditentukan.
Insya Allah, jika Kerajaan Negeri berjaya dalam tuntutan ini, Kerajaan Negeri boleh meneruskan pembahagian wang ihsan tersebut dan mungkin jumlahnya adalah jauh lebih besar dari langkah bidan terjun dan tempias yang dilakukan sekarang.
Sama kita doakan kejayaan tuntutan ini supaya hak yang terhak dengan jumlah yang begitu besar akhirnya dapat dinikmati secara sah dan halal oleh semua rakyat Kelantan, lambat atau bangat.
Sekian , terima kasih
Husam Musa
Biar rakyat menilai (sinar harian 5 sept 2010)
KOTA BHARU- Kerajaan Pusat tetap meneruskan pemberian wang ihsan kepada rakyat di Kelantan selagi mahkamah belum membuat sebarang keputusan, kata Menteri Kewangan II, Senator Dr Awang Adek Hussein.
Menurutnya, Kerajaan Kelantan berhak membawa kes bagi menangguhkan pembayaran wang ihsan itu ke mahkamah .
“Itu hak di:a, sementara itu kita teruskan jalankan pembahagian wang ihsan sehingga ada keputusan mahkamah dibuat, sebarang keputusan kita akan hormatinya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat di Parlimen Pengkalan Chepa, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Kerajaan Negeri mahu memfailkan satu lagi tuntutan untuk menghentikan penyaluran wang ihsan oleh Kerajaan Pusat sehingga kes saman terhadap Petronas selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan sebagai berkata, tindakan tersebut perlu kerana kes tersebut mempunyai kaitan dengan saman yang dibuat terhadap Petronas, sebelum ini.
Awang Adek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Wang Ihsan berkata, rakyat boleh menilai Kerajaan Negeri yang sanggup mengambil tindakan undang-undang walaupun wang berkenaan tidak digunakan untuk kepentingan kerajaan sebaliknya diserahkan kepada rakyat.
“Selama ini rakyat gembira, kalau Kerajaan Negeri cuba mengambil balik atau menghalang pemberian ini, rakyat boleh menilai atau Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan politik, terserah kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Adek berkata, Pas juga menggunakan isu hudud untuk kepentingan politik sedangkan pemimpin mereka mengakui bahawa hukuman itu tidak dapat dilaksanakan, malah ditentang oleh rakan sendiri.
“Bila berhadapan dengan rakyat, Pas menjanjikan hudud, tetapi bila bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat(PKR), mereka akui tidak dapat melaksanakan hukuman itu, mereka hanya bersandiwara dan (Exco Kerajaan Negeri) Datuk Mohd Amar telah menjelaskan perkara itu dengan realitinya,” katanya.