Seperti biasa mengikut tradisi UMNO/BN, akan ada mana-mana nama yang akan dijadikan kambing hitam atau penyebab kekalahan UMNO/BN dalam mana-mana PRK yang UMNO/BN berjaya menjuarai kekalahannya.
Parti agung ini tidak pernah mahu atau cuba untuk mencari faktor sebenar kekalahan mereka sebab pada mereka UMNO/BN adalah 1 nama yang dianggap sebagai "maksum". parti yang menggunakan nama ini mungkin pada fikiran ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya adalah parti yang diturunkan oleh Allah untuk membela "bangsa melayu" padahal mereka lupa Allah tidak pernah mengutuskan mana-mana nama untuk membela mana-mana "bangsa'.
Bersandarkan kepada sejarah pemerintahan UMNO/BN yang telah menguasai tampuk Kerajaan Pusat selama lebih 50 tahun, ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO/BN gagal untuk mengerti bahawa mereka pada ketika ini telah mula kehilangan sokongan.
Setiap kali tamat mana-mana PRU atau PRK, mereka-mereka ini sibuk dengan "undi melayu'. penting sangat 'undi melayu" pada parti ini padahal pada waktu ini mereka jugalah yang sibuk melaungkan slogan "1Malaysia"...
Pada dasarnya "1Malaysia" itu merujuk kepada semua kaum dibawah 1 bumbung iaitu negara Malaysia dan semua kaum itu sudah tentulah semua bangsa yang ada di Malaysia. pada slogannya mereka bercakap tentang penyatuan seluruh kaum dan bangsa di Malaysia tapi pada kertas undi sokongan nampaknya mereka menitik beratkan pada hanya 1 bangsa sahaja iaitu "bangsa melayu" yang semakin hari semakin lemah.
Sebab itulah UMNO/BN mulai lemah. UMNO/BN mulai lembik, UMNO/BN mulai tidak bermaya kerana hanya mengharapkan pada sokongan kaum atau bangsa yang semakin hari semakin lemah iaitu "bangsa atau kaum melayu' sahaja.
Pokok yang lemah mengharapkan pada baja yang lemah, maka makin hancurlah pokok yang lemah itu sebab ianya dibajai oleh zat-zat yang lemah.
Pada aku kejayaan UMNO/BN mempertahankan kekalahan mereka dalam PRU dan siri-siri PRK akhir-akhir ini bukanlah disebabkan oleh mana-mana individu atau nama-nama yang pernah disenaraikan. kalahnya UMNO/BN ialah kerana rakyat menolak parti ini.
Apabila rakyat menolak, maka kalahlah parti itu. ini yang UMNO/BN tidak faham. perkara sebegini mudah pun UMNO/BN tak faham. masih juga mereka mencari sebab-sebab lain. susah untuk mereka mengakui bahawa rakyat telah menolak mereka. bila kalah akan keluarlah kenyataan - sokongan melayu tidak berubah.
Apa ada pada sokongan melayu? kalau UMNO/BN tak perlukan undian dari bangsa-bangsa lain, lucutkan slogan "1Malaysia" dari perjuangan UMNO/BN. kenapa tak naikkan sahaja slogan "1Melayu" kalau hanya sokongan melayu yang UMNO/BN perlukan..?
Pakatan Rakyat semakin hari semakin bertambah sokongan kepada mereka kerana semakin hari mereka semakin bijak berpolitik. mereka kerap bersama-sama dengan rakyat. mereka mendalami pemikiran rakyat, mereka merasai apa yang rakyat rasa. mereka menikmati juadah yang UMNO/BN sediakan setiap hari bersama-sama dengan rakyat marhaen.
Pemimpin UMNO/BN pula hanya pandai bercakap, mengeluarkan kenyataan tanpa ada seorang pun antara mereka yang merasai atau menikmati apa yang kami rakyat marhaen nikmati selama ini. sebab itulah boleh dikatakan apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO/BN akan menjadi bahan ketawa rakyat marhaen seperti kami ini.
UMNO/BN tidak pernah faham. mereka cuma faham apa yang mereka mahu beri kepada rakyat tetapi mereka tidak pernah cuba untuk mengambil tahu apa yang rakyat mahu mereka lakukan.
Ini yang selama ini dipraktikkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat. mereka menemui rakyat, mereka berada bersama rakyat, mereka mendengar apa yang rakyat mahukan dan mereka sedaya upaya cuba untuk merealisasikannya walaupun berhadapan dengan berbagai dugaan dan cabaran.
Jika Pakatan Rakyat terus konsisten dengan cara yang mereka praktikkan sekarang, tidak mustahil hampir 6 juta pengundi-pengundi yang belum berdaftar akan tertarik untuk mendaftar sebagai pengundi yang sah seterusnya memilih Pakatan Rakyat dalam mana-mana PRU atau PRK yang bakal diadakan.
Para pengundi muda ini bukan bersama-sama Pakatan Rakyat kerana mahu menjatuhkan UMNO/BN, sebaliknya mereka akan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat kerana keyakinan mereka terhadap apa yang mampu Pakatan Rakyat lakukan demi kehidupan mereka dimasa hadapan.
Golongan muda sekarang tidak akan sekali-kali tertarik dengan 'tawaran" dari mana-mana pihak sebaliknya golongan muda ini lebih tertarik kepada mana-mana pihak yang mampu merealisasikan apa yang mereka mahu.
Mereka ada cita-cita mereka sendiri dan mereka sudah cukup bijak untuk mengaturnya mengikut kemahuan mereka. mereka juga sayangkan Negara Malaysia dan agama mereka, mereka lebih tahu apa yang mereka perlukan kerana mereka lebih terdedah kepada dunia luar.
Mereka ada segala akses ke dunia luar, dunia mereka bukan dunia dengan 1 bangsa sahaja tetapi dunia mereka adalah dunia "Anak Bangsa Malaysia'... semua bangsa dan agama dibawah 1 bumbung dan bumbung itu ialah Negara ini. mereka lebih berminat pada "Ketuanan Rakyat" daripada "Ketuanan Melayu" kerana disekeliling mereka, rakan-rakan mereka terdiri dari semua bangsa.
Mereka tidak lagi mementingkan diri mereka sendiri sebaliknya, mereka akan melakukan apa sahaja untuk membantu semua yang ada disekeliling mereka jika ada antaranya berada dalam kepayahan. mereka bukan hanya melayu, mereka bukan juga cina malah mereka juga bukan india sebaliknya mereka ialah "Anak Bangsa Malaysia".
Mereka inilah yang menolak UMNO/BN yang hanya memerlukan "Melayu". inilah sebab muktamad kenapa UMNO/BN kalah dalam setiap PRK selepas PRU12... tapi UMNO/BN tidak sesekali akan sedar. dulu, kini dan selamanya...
- Bersatu kita bersatu, dengan setia berganding bahu... tipu terus menipu, kita tipu melayu... bersama kita bersama menjunjung hasrat semua... berjasa pada kroni, anak isteri dan bini...
- Lambang kita yang rebah, dipandang keji dan haprak... bersatu bersedia, khianat cogan katanya...
- UMNO terus lara, rompak rakyat Malaysia...