Untuk kesekian kalinya, Utusan Malaysia berjaya membuktikan dirinya sebagi akhbar minda kelas ketiga. Barangkali dikekang oleh statusnya sebagai akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia terpaksa bertindak di luar batas etika kewartawanan. Semalam 27 Januari 2011, muka depannya memaparkan satu fitnah yang maha besar terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Di bawah tajuk besar, “Kuan Yew Takut Jiran”, Utusan memetik kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu yang mencadangkan agar umat Islam mengurangkan pegangan terhadap Islam. Apa yang menjadikan laporan itu hebat ialah ayat ringkas Nik Aziz pertahan Kuan Yew dan juga ruangan Senyum Kambingnya yang mengembek dengan dialog, Apa nak buat, dia Tok Guru celaru.
Nampaknya Utusan Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk memutarkan fakta yang barangkali sukar untuk dipercayai hatta oleh ahli-ahli UMNO sekalipun. Munasabahkah pada pemikiran seorang yang waras, seorang Menteri Besar yang dikenali sebagai orang yang paling kuat berusaha memahamkan rakyat tentang nilai Islam, menjadi orang yang menyokong supaya nilai Islam dikurangkan? Logikkah seorang yang saban minggunya berkuliah menghuraikan tafsiran al-Quran tiba-tiba cenderung agar nilai Islam dikurangkan? Untuk mempercayai premis inipun sudah sukar, lainlah jika pemimpin yang dikenali sebagai tahi judi, kaki rasuah atau sekurang-kurangnya gagal membimbing ahli keluarganya patuh pada agama berkata demikian.
Saya tidak berada di dalam sidang media tersebut yang didakwa dibuat selepas Mesyuarat Exco Kelantan pada 26 Januari 2011. Bagaimanapun, hasil bantuan rakan-rakan wartwan yang lain, rakaman membuktikan bahawa apa yang disebut oleh Nik Aziz ialah,”Tidak pelik jika Lee Kuan Yew menolak Islam, kerana dia bukan Islam. Apa yang pelik ialah orang Melayu yang tolak Islam dan mengambil fahaman nasionalis..” Itu saja. Barangkali tahap penguasaan bahasa Melayu yang rendah di kalangan wartawan Utusan Malaysia menyebabkan mereka gagal memahami premis semudah ini. Mungkin wartawannya lebih baik membuat liputan berkenaan isu-isu kebersihan sahaja kerana ia barangkali lebih mudah dan tidak memerlukan daya penguasaan bahasa yang mantap. Laporan kawan media saya, saudara Yulpisman di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini 28 Januari 2011 boleh dirujuk.
Mudah sahaja mahu memahami hasrat hati media sebegini, mereka mahu Nik Aziz menari seirama dengan mereka. Apabila Lee Kuan Yew dilaporkan mengucapkan kata-kata demikian, mereka mahu Nik Aziz bangkit menentang seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang akan bangun menentang. Barangkali akan adanya kata-kata Jangan jolok sarang tebuan, jangan main api dan sebagainya sebagaimana budaya geng-geng songkok yang tinggi. Jika NIk Aziz seirama dengan mereka, dilihat seolah-olah masyarakat Islam di Malaysia bersatu di bawah kepimpinan UMNO menghadapi apa yang disebut sebagai ancaman luar. Sayangnya, Nik Aziz tidak begitu. Mereka pula dibidas lebih dahsyat daripada Lee Kuan Yew sendiri!
Sewajarnya Utusan Malaysia sebagai akhbar yang ‘paling prihatin’ terhadap nilai-nilai Islam ini melihat kepada kenyataan yang lebih merbahaya yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang terkenal dengan aksinya satu ketika dahulu. Jika Utusan Malaysia terlepas pandang, sukalah saya memaklumkan bahawa orang itu telah berkata di dalam isu bersalaman bukan mahram, "So what is so great about that? That is your religious value which I don't know. How am I to know about the... religious values when I'm not practising that religion? I have the right to say that it's basic manners to shake hands with people. That's my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands,"
Barangkali, kanta Utusan Malaysia terlampau besar sehingga terlihat ‘kuman’ di seberang sehingga terlupa ‘gajah’ di Johor.
Ahmad Fadhli bin Shaari
28 Januari 2011.
-penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.